Pernah dikhabarkan kira-kira dua bulan yang lepas, ciri mesej terpadam secara automatik untuk aplikasi WhatsApp versi Beta sudah dikemaskini.
Berdasarkan laporan oleh WABetaInfo, kemaskini ciri tersebut telah dikesan pada WhatsApp Beta 2.19.348. Pada awalnya, ciri ini dinamakan sebagai Disappearing Messages namun yang terbaru, ia diubah kepada Delete Messages.
Perubahan pada tetapan tempoh masa mesej terpadam juga dikesan, dimana ia menawarkan pilihan 1 jam, 1 hari, 1 minggu, 1 bulan dan 1 tahun. Sebelum ini iaitu pada Beta versi awal, ia hanya menyediakan pilihan 5 saat dan 1 jam sahaja. Selain itu, ciri ini turut diuji dengan tema gelap.
Masih berada dalam fasa ujian lagi, tarikh penawaran Delete Messages untuk pengguna umum masih belum dapat dipastikan lagi.
Kehadiran Delete Messages pada masa akan datang pastinya memberikan lebih kawalan kepada pengguna dalam memadam mesej yang dikehendaki. Tambahan pula, ia sudah tersedia digunakan pada aplikasi pesaing, Telegram serta aplikasi milik syarikat induk mereka, Messenger.