China Dilapor Mahu Jadikan Angkasa Lepas Sebagai Ladang Solar Bumi Baharu

Kita biasanya melihat ladang solar dipasang di kawasan gurun ataupun di daratan. Terkini, China sedang menjalankan ujian untuk menjadikan angkasa lepas sebagai ladang solar Bumi baharu.

Para saintis di China dilaporkan telah berjaya menguji teknologi yang mungkin membantu dalam penjanaan elektrik daripada kuasa solar di angkasa.

Prototaip itu kini sedang dibina di Universiti Xidian di Wilayah Shaanxi, dan menurut Bloomberg, konsepnya diuji untuk menangkap cahaya matahari di orbit dan mengubahnya menjadi pancaran gelombang mikro yang boleh ditukar menjadi elektrik melalui stesen penerima di bumi.

China telah merancang untuk melancarkan loji tenaga solar ke angkasa pada tahun 2028 untuk mendapatkan kuasa tanpa had.

Menurut majalah penyelidikan Chinese Space Science and Technology, negara itu akan melancarkan satelit pada tahun 2028 untuk menguji teknologi penghantaran kuasa tanpa wayar dari angkasa ke bumi.

Dilaporkan peranti itu akan disediakan pada ketinggian 400 kilometer dan boleh menghantar elektrik merentasi 55 meter melalui udara.

Walau bagaimanapun, para penyelidik berharap sistem itu boleh diperluaskan untuk menyampaikan kuasa daripada panel solar yang mengorbit ke Bumi.

Tambahan lagi, pasukan saintifik China ini baru-baru ini telah menyelesaikan ujian di hadapan panel pakar bebas, yang mengesahkan kejayaannya pada 5 Jun.

Kumpulan saintis ini percaya bahawa projek untuk menghantar tenaga suria dari angkasa akan menyelesaikan masalah terbesar teknologi tenaga bersih, iaitu ketidakupayaan untuk berfungsi dalam kegelapan.

Mereka merancang untuk meletakkan panel di orbit di mana mereka boleh mengelakkan bayang Bumi.

Sementara itu, laporan mendakwa bahawa komponen tertentu teknologi telah berjaya diuji sebelum ini tetapi penyelidik China merupakan yang pertama menguji model sistem penuh.

Sumber dan gambar utama: Bloomberg

Baca juga:

Berkaitan