CES 2024 - MSI Umum Ketibaan Barisan 'Laptop AI' Dengan Harga Serendah RM5,999

Selain daripada keluaran produk MSI Claw dan siri terbaru kad grafik NVIDIA RTX 40 SUPER, kini syarikat MSI mengumumkan beberapa barisan komputer riba dengan teknologi kecerdasan buatan yang terdiri kepada beberapa siri yang akan dihuraikan di bawah.

Antara ciri kecerdasan buatan yang akan disertakan dalam barisan komputer riba di bawah adalah AI Engine yang berperanan menyelaraskan tetapan mengikut penggunaan tertentu dari sudut paparan video, audio output dan lampu latar papan kekunci.

Ciri AI Artist pula hadir sebagai perkhidmatan offline penukaran teks kepada imej, imej kepada imej dan imej kepada teks.

Tambahan pula, AI Noise Cancellation Pro merupakan ciri kecerdasan buatan yang membolehkan perkakasan mikrofon berteknologi tinggi menerima tetapan perisian pembatalan hingar.

Komputer Riba Gaming 18 Inci




Untuk keluaran komputer riba Titan 18 HX, Raider 18 HX dan Stealth 18 AI Studio, ketiga-tiganya menggunakan paparan skrin MiniLED 4K bersaiz 18 inci yang disokong oleh Display HDR 1000 pada kadar segar semula 120Hz.

Selain itu, model Titan 18 HX dan Raider 18 HX dilengkapi cip pemprosesan Intel Core i9 Gen 14 dan GPU NVIDIA GeForce RTX 4090. Manakala, model Stealth AI Studio menggunakan cip Intel Core Ultra yang terkini.

Ketiga-tiga model ini juga lengkap dengan pad sentuh Seamless RGB Haptic dan papan kekunci Cherry Switch Mechanical.

Namun begitu, model Titan 18 HX dilengkapi dengan empat slot memori konfigurasi yang boleh dikembangkan pada tahap 128GB dan mempunyai tiga slot storan SSD M.2 dengan had kapasiti 12TB.

Harga bagi Raider 18 HX adalah bermula RM16,999. Sementara model Titan 18 HX pula bermula RM21,499.


Komputer Riba Khas Gaming




Bagi siri komputer yang dibina khas untuk kegunaan gaming, MSI tampilkan siri Vector 16/17 HX, Crosshair 16/17 HX dan Pulse 16/17 AI.

Untuk model Vector 16/17 HX, ia dilengkapi dengan teknologi MSI Overboost bagi penggunaan gaming berpanjangan serta penguasaan 250W.

Model Crosshair 16/17 HX pula hadir dengan kaedah pengaliran haba 6 saluran dan papan kekunci dengan 24 sudut lampu latar RGB yang turut disediakan untuk model Pulse 16/17 AI.

Komputer Riba Siri Prestige




Komputer riba siri Prestige yang tampil dengan model 16 inci, 14 inci dan 13 inci ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 serta penggunaan kad grafik NVIDIA GeForce RTX siri 40 bagi model 16 inci dan 14 inci manakala model 13 inci dibekalkan dengan kad grafik Intel Arc.

Paparan skrin yang digunakan pula adalah skrin OLED bagi model 16 inci dan 13 inci serta penguasaan bateri 99.9WHr, 90WHr dan 75WHr bagi model 16, 14 dan 13.

Namun, hanya model Prestige 13 AI yang akan memasuki pasaran Malaysia pada harga permulaan RM5,999 dengan tarikh yang belum ditetapkan.



Untuk maklumat lanjut mengenai produk komputer riba terbaru dari MSI, anda boleh layari laman web rasmi mereka di SINI.

{suggest}

Sumber: Siaran Media MSI