Carl Pei Buat 'Review' OnePlus 11, Baru Sedar Kenapa Pengguna Mahu OxygenOS Yang Lama

Hari ini, OnePlus 11 rasmi di Malaysia dengan harga bermula RM3,299. Pengasas bersama OnePlus dan kini mengepalai Nothing, Carl Pei juga berkongsi pendapatnya tentang OnePlus 11.

Terdahulu, Pei mengulas iPhone 14 dan kini, jenama yang dia sendiri pernah tubuhkan. Ia satu kandungan yang menarik dan pastinya sangat digemari pengguna.



Dalam video tersebut, banyak perkara dipuji Pei tentang OnePlus 11 namun ada juga beberapa perkara yang mengganggu pengalaman penggunaannya.

Antara yang dikagumi Pei ialah ketelitian OnePlus dalam membina hardware dan tubuh telefon itu seperti 'seni halus' pada modul kamera.

Selain itu, kesan haptik model kali ini juga turut dipujinya.



Dari segi rekaan, Carl Pei berkata peminat Android pasti dapat mengenal pasti itu adalah telefon OnePlus sekalipun logo OnePlus dan Hasselblad dibuang.

Rekaannya kukuh dan premium, akui Pei. Kemasan sandstone juga menggamit memori dia kerana itulah identiti OnePlus sejak model pertama.



Namun, dia merasakan butang laras suara OnePlus 11 terlalu nipis dan membandingkannya dengan Nothing Phone (1). Ia sukar untuk dikesan pengguna, tambah Pei.



Bercakap soal sistem operasi dan antara muka, Pei berkata dia pada mulanya tidak faham mengapa ramai pengguna merungut mahukan OxygenOS semula.

Hal ini kerana dalam 2 tahun ini, dia banyak menumpukan pada Nothing dan tidak sempat mencuba OxygenOS versi baharu.

{suggest}

Selepas menggunakan OnePlus 11, barulah dia faham perasaan pengguna. Dia juga tidak segan silu menyebut nama 'OPPO', kerana antara muka baharu OxygenOS sekarang adalah berasaskan ColorOS.

Kapsyen: OxygenOS


Menurut Pei, banyak perkara perlu ditambah baik dalam antara muka ini.
Mengulas tentang OxygenOS, Pei berkata OnePlus sudah ada benda yang berfungsi dengan baik, jadi dia tidak faham kenapa ia diubah.

Carl Pei menunjukkan apa yang tidak kena dengan antara muka tersebut contohnya pengguna tidak boleh pulang ke skrin utama selepas senarai aplikasi terbuka penuh dan lain-lain.



Mengesan pepijat-pepijat kecil ini membuktikan Pei sangat teliti dan bukan hanya eksekutif yang tahu jana duit saja.

Bahkan, untuk rekaan fizikal, alert slider yang tidak sekata besar dengan butang kuasa turut bikin Pei terganggu.



Pengasas Nothing itu juga tidak segan silu menunjukkan kedua-dua OnePlus 11 dan Nothing bersebelahan, memegangnya dengan kedua-dua tangan.

Ya, dia turut membandingkan dua telefon itu.



Dia akui kamera OnePlus 11 ditala lebih baik daripada Phone (1) namun dalam banyak situasi lain, tidak banyak perbezaan.
Rumusnya, OnePlus 11 ialah sebuah telefon yang kukuh dari segi tubuh dan perkakasan tapi sistem dalamnya perlu dioptimasi dan diperhalusi lebih mendalam.



Tambah Pei, NothingOS tidak mempunyai banyak ciri tambahan kerana mereka menumpukan kelancaran namun pada Oxygen di OnePlus 11, banyak ciri tambahan tetapi tidak 'digilap' sehabis baik.

Di akhir video, dia mencadangkan iPhone jika pengguna suka iOS dan Pixel untuk anda gemar dengan Android.



Sebagai pengguna yang neutral dengan Nothing dan Pei, saya fikir kandungan sebegini sangat menarik memandangkan Pei antara individu penting di OnePlus dulu dan kini sama bersaing dalam gelanggang yang sama.



Tambah pula Pei yang juga nampak jujur semasa mengulas OnePlus 11 dan iPhone 14, seperti seorang pengguna biasa dan bukan jurujual jenama sendiri.



Banyak perkara yang saya setuju dengan CEO Nothing ini seperti banyak ciri dalam UI kali ini tetapi ia tidak perlu pun untuk penggunaan Pei. Dasarnya dia hanya mahukan sebuah peranti yang betul-betul berfungsi dengan baik dan boleh diharap.

Bercakap tentang harga, dia menganggarkan kosnya pembuatan OnePlus 11 sekitar $480 iaitu ~RM2,088. Tapi, itupun hanya anggaran kasar.



Bagi peminat Android atau telefon, rasanya semua pernah menempuhi fasa gila custom ROM dan terlalu teliti menyusun UI namun selepas beberapa tahun, kita semua sudah berhenti secara tidak sedar kerana banyak lagi perkara yang lebih mustahak.

Beli OnePlus 11:

Apakah anda setuju dengan Carl Pei?

Sumber: Carl Pei