GeekBench sebelum ini telah mengalih keluar siri Galaxy S22 daripada senarai mereka disebabkan Samsung telah menipu markah penanda aras pada platform tersebut. Hal ini disebabkan Samsung telah menggunakan satu aplikasi tersembunyi Gaming Operating Service (GOS) yang mengehadkan prestasi aplikasi.
GOS ini dikesan telah mengehadkan hampir 10,000 aplikasi dengan tujuan mengurangkan penggunaan kuasa untuk ketahanan bateri yang lebih lama. Namun, Samsung menyangkal kenyataan tersebut kerana GOS hanya mengehadkan prestasi permainan video sahaja.
Tidak terjadi pada siri Galaxy S22 sahaja, malah GeekBench turut mengalih keluar siri Galaxy S 4 tahun kebelakang sehingga siri Galaxy S10.
Kini, GeekBench juga telah berhasrat untuk membuang siri Galaxy Tab S8 dari senarai mereka. Hal ini berikutan daripada markah penanda aras GeekBench dengan pakej Genshin dilihat menjunam daripada penanda aras standard.
Namun jika dilihat pada markah penanda aras siri Galaxy Tab S7 dan Galaxy Tab S5e tiada perubahan yang ketara berlaku pada ujian pakej Genshin. Ini bermakna Samsung baru menerapkan GOS pada siri tablet mereka tahun ini.
Menurut Samsung, mereka telah pun membuang GOS pada kemas kini baharu mereka. Buat masa ini, kemas kini tersebut hanya terdapat di pasaran Korea dan Eropah serta akan menyusur ke pasaran lain dalam masa yang terdekat.
Siri Galaxy Tab S8 masih belum dimasukkan dalam senarai GeekBench tetapi syarikat tersebut sudah merancang untuk mengalih keluar tablet tersebut dari senarai seperti yang dilakukan pada siri Galaxy S22. Menjadi polisi kepada GeekBench jika peranti telah dibuang dari senarai, mereka tidak akan menyertakan semula peranti tersebut walaupun sudah menerima kemas kini yang memperbetulkan semula isu sedia ada.
Sumber: Android Police
Baca juga: