Bermula Untuk Kamera Dan Kini Untuk Telefon, Ini Sejarah Android Yang Anda Patut Tahu

Android adalah sistem operasi yang digunakan oleh kebanyakan telefon pintar di seluruh dunia ketika ini. Berdasarkan kajian ini, setiap 10 orang pengguna telefon pintar, 7 daripadanya adalah pengguna Android dan selebihnya adalah pengguna iPhone.



Dengan pelancaran Android 14 pada awal Oktober lepas, pasti tidak ramai yang peka bahawa sistem operasi ini telah wujud lebih 10 tahun yang lalu. Jadi, jom kita lihat asal usul sistem operasi Android ini.

Sejarah Kewujudan Android OS


Android mula dibangunkan pada tahun 2003 oleh penciptanya, Andy Rubin sebagai sebuah projek teknologi di Android Inc., Amerika Syarikat.

Pada mulanya, Android adalah sebuah sistem operasi yang dibangunkan sebagai sistem operasi untuk kamera digital. Dan pada 2004, projek tersebut telah ditukarkan menjadi sistem operasi untuk telefon pintar.



Seterusnya, firma teknologi gergasi dunia, Google telah membeli Android Inc. pada 2005 dengan nilai transaksi USD50 juta (~RM236.32 juta). Di Google, pasukan Android membuat keputusan untuk membangunkan Android OS berasaskan Linux kernel yang diubah suai. Linux pula adalah sebuah sistem operasi untuk PC.

Pada 5 November, 2007, Google telah mengasakan Open Handset Alliance, sebuah kerjasama teknologi dengan pelbagai syarikat besar seperti Intel, Motorola, NVIDIA, Samsung, LG, T-Mobile dan banyak lagi.

Tujuan kerjasama ini adalah untuk mempromosikan Android sebagai sebuah sistem operasi sumber terbuka yang percuma dan menyokong aplikasi pihak ketiga.

Dan seperti biasa, peranti Android memerlukan sambungan internet seperti Wi-Fi untuk menggunakan ciri-ciri yang diberikan seperti Google Maps, Chrome, dan lain-lain.

Akhirnya, Android OS telah dilancarkan dengan rasmi pada 23 September 2008, lebih 10 tahun yang lalu. Telefon atau peranti pertama yang menggunakan Android adalah T-Mobile G1 yang dilancarkan pada 22 Oktober pada tahun yang sama juga.

Fakta-Fakta Menarik Tentang Android




Pertama, berikut adalah semua versi Android daripada yang pertama hinggalah versi Android 14:

  • Android 1.0 (2008) – Tiada nama

  • Android 1.1 2009) – Petit Four

  • Android 1.5 (2009) – Cupcake

  • Android 1.6 (2009) – Donut

  • Android 2.0 – 2.1 (2009) – Éclair

  • Android 2.2 – 2.2.3 (2010) – Froyo

  • Android 2.3 – 2.3.7 (2010) – Gingerbread

  • Android 3.0 – 3.2.6 (2011) – Honeycomb

  • Android 4.0 – 4.0.4 (2011) – Ice Cream Sandwich

  • Android 4.1 – 4.3.1 (2012) – Jelly Bean

  • Android 4.4 – 4.4.4 (2013) – KitKat

  • Android 5.0 – 5.1.1 (2014) – Lollipop

  • Android 6.0 – 6.0.1 (2015) – Marshmallow

  • Android 7.0 – 7.1.2 (2016) – Nougat

  • Android 8.0 – 8.1 (2017) – Oreo

  • Android 9.0 (2018) – Pie

  • Android 10 (2019) – Android 10

  • Android 11 (2020) – Android 11

  • Android 12 (2021) – Android 12

  • Android 13 (2022) – Android 13

  • Android 14 (2023) – Android 14


Perkataan atau nama Android itu diambil atau merujuk kepada robot lelaki dan Gynoid pula digunakan untuk robot perempuan.

Sebelum Google, Android Inc. pada mulanya ditawarkan kepada Samsung, namun Samsung pada ketika itu melihat Android ini tidak menarik dan menolak tawaran tersebut.

Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, Android pada asalnya dibangunkan sebagai sistem operasi untuk kamera digital, dan kemudiannya, dikhususkan untuk telefon pintar.

Status Android sebagai sebuah sistem operasi sumber terbuka itu bermaksud kod sumbernya adalah tersedia secara percuma untuk mana-mana pihak gunakan, tukar, tambah perbaharuan dan apa-apa ciri menarik.

Pada tahun 2012, Android menjadi sistem operasi paling popular untuk peranti mudah alih, jauh mengalahkan sistem operasi iOS milik Apple.

Kini, terdapat lebih 2 bilion peranti seperti telefon pintar, tablet dan lain-lain yang menggunakan Google Android OS sebagai sistem operasi mereka.

Ketika ini pada 2023, 7 daripada 10 orang menggunakan telefon pintar Android dan 3 daripadanya pula memilih iPhone iOS.

Jualan peranti yang menggunakan Android juga adalah lebih banyak daripada jualan keseluruhan peranti macOS, iOS, dan Microsoft Windows.



Google Play Store mempunyai lebih 48 bilion aplikasi yang diletakkan di dalamnya dan menarik lagi, kebanyakan daripadanya adalah percuma untuk anda muat turun.

Sebelum kehadiran Android 10 pada 2019, hampir setiap versi Android diberikan nama berdasarkan makanan-makanan manis mengikut susunan abjad.



Oleh itu, untuk menggunakan nama Kit-Kat dalam Android versi 4.4 pada tahun 2013, Google telah membuat perjanjian dan kerjasama dengan Nestlè.

Akhir sekali, Google Maps mengira dan memberikan maklumat trafik berdasarkan bilangan dan kelajuan peranti Android yang ada di atas jalan.

{suggest}

Sumber: Britannica, geeksforgeeks, BankMyCell