Berhadapan Isu Kualiti Lensa Kamera, Pelancaran iPhone 12 Tidak Terjejas - Ming-Chi Kuo

Melalui laporan dari penganalisis Ming-Chi Kuo, salah satu daripada pembekal lensa kamera Apple untuk model iPhone 12 berhadapan isu kualiti. Bagaimanapun, pelancaran iPhone 12 dikatakan tidak akan terjejas dengan beberapa pembekal utama Apple yang lain dijangka akan mengatasi masalah tersebut.

Laporan itu mendedahkan pembekal Genius Electronic Optical telah menemui masalah tersebut dengan keretakan pada lapisan lensa kamera sudut lebar yang direka untuk model iPhone 12 bagi saiz 5.4 inci dan 6.1 inci.

kualiti kamera iPhone 12

Masalah itu dikatakan muncul ketika ujian suhu tinggi / kelembapan tinggi (HTHH) dilakukan. Ia mengakibatkan kelewatan Genius untuk membekalkan komponen tersebut kepada pihak Apple. Sementara, pembekal lensa Largan dilaporkan tidak berhadapan dengan sebarang isu kualiti.

Walaupun isu lensa kamera itu dapat diselesaikan, Genius mungkin perlu mengurangkan harganya sekitar 30% sebagai insentif untuk memastikan ia tidak kehilangan saham syarikat.

Terdahulu, Apple telah mengesahkan pelancaran siri iPhone 12 mungkin akan menghadapi kelewatan beberapa minggu dengan pelancaran secara berperingkat dimana kedua-dua model 6.1 inci mungkin akan tiba terlebih dahulu. Manakala, model 5.4 inci dan 6.7 inci akan dilancarkan selepas itu.

Sumber: MacRumors