Baring atas katil, sebelah tangan sedang ‘add to cart’ sebelah lagi sambil menggaru hidung. Begitulah mudahnya membeli belah secara online di era digital ini. Tidak perlu lagi bangun dari katil untuk ke kedai fizikal. Hanya menonton video review di Youtube dan membaca komen sudah memadai untuk seseorang membuat keputusan. Sebelum menekan butang ‘Buy Now’ tiba-tiba terlihat pilihan lebih murah ditawarkan oleh penjual lain.
Harganya lebih murah kerana penghantaran terus dari luar negara. Jimat, dan pada ketika itulah rasa seperti manusia paling bijak di dunia. Berbekalkan kesabaran dan iman yang teguh, bungkusan yang ditunggu-tunggu akhirnya selamat tiba di tangan pembeli. Kad sim juga sudah sedia dikeluarkan daripada telefon lama untuk dimasukkan ke dalam peranti baru yang dibeli pada harga rendah.
Senyum terukir di bibir kerana pembelian bijak itu. Telefon dihidupkan dan langkah-langkah log-masuk akaun email dan sebagainya juga telah dilakukan. Senyuman semakin lebar lantas pembeli meninggalkan komen “Good seller, fast response, recommended” dan penilaian 5 bintang!
Gara-Gara Nak Jimat Sedikit, Akibatnya Hantuk Kepala Ke Dinding Tanda Menyesal
Namun hari demi hari, pelbagai masalah yang timbul. Peranti mempunyai masalah signal rangkaian yang tidak konsisten malah seringkali mengeluarkan haba yang sangat panas pada tahap melecur tangan. Apabila mahu menghubungi tentang isu ini, penjual tersebut sudah hilang daripada radar.
Senyuman bertukar menjadi tidak siuman. Terpaksa hantar ke kedai untuk dibaiki dan menukar bateri baru. Apabila dikira semula, kos terpaksa ditanggung adalah 2 kali ganda lebih mahal jika dibeli daripada kedai penjual sah yang menawarkan waranti dan aksesori tambahan.
Pada ketika itulah pembeli tersebut menghentuk kepala ke dinding rasa seperti manusia paling bodoh di dunia.
Pentingnya label MCMC Pada Peranti Yang Dibeli
Tahukah anda peranti yang dibeli terus daripada luar negara tidak melalui semakan dan perakuan daripada SIRIM. Oleh kerana itu, kebanyakan peranti dijual pada harga lebih rendah berbanding pengedar dan kedai jualan sah.
Peranti yang dibekal oleh pengedar dan kedai jualan sah sudah pasti mempunyai label MCMC. Peranti tanpa label MCMC berkemungkinan boleh menjejaskan keselamatan kepada pengguna.
Pengguna berkemungkinan berhadapan dengan risiko besar dan masalah serius seperti renjatan elektrik atau sambungan komunikasi terjejas.
Contohnya ramai yang berminat untuk mendapatkan iPhone 12 set Hong Kong kerana ia mempunyai sokongan dwi-sim, tetapi menurut pihak Apple, ia tidak serasi dengan rangkaian 5G di Malaysia.
Jadi adalah penting untuk setiap peralatan komunikasi yang dijual di pasaran tempatan perlu diperakui oleh SIRIM yang merupakan agensi pemerakuan berdaftar MCMC demi menjaga keselamatan dan juga melindungi hak pengguna. Untuk ketenangan jiwa, beli lah dari penjual sah.
Bagaimana Untuk Semak Peranti Anda Mempunyai label MCMC Yang Sah
Perakuan pematuhan oleh SIRIM mengkhususkan kepada produk atau peranti yang mempunyai sambungan kepada rangkaian komunikasi awam atau peranti yang dilengkapi dengan modul komunikasi seperti Wi-Fi dan Bluetooth. Antaranya ialah seperti telefon pintar, kamera digital, RFID, Wifi Booster, dekoder Android dan sebagainya.
- Muat turun aplikasi Check Your Label di App Store dan Google Playstore
- Semakan boleh dibuat dengan memasukkan nombor IMEI atau nombor siri produk
Pastikan ada label, baru beli!
Harus diingatkan penjualan peralatan komunikasi tanpa perakuan sah MCMC adalah satu kesalahan undang-undang. Jangan mudah terpedaya terutamanya dengan skim bisnes ‘dropship buat duit di rumah’ barangan daripada luar negara. Jika tersilap langkah, masuk gaung jawabnya.
Sebelum membeli, lihat dahulu ‘rating’ dan testimoni daripada pembeli. Pastikan anda berkomunikasi dahulu dengan penjual jika ada keraguan. Bayar terus di platform jual beli dan jangan sesekali buat pembayaran di luar aplikasi. Selamat membeli belah menjelang Sale 12/12 dan juga sambutan tahun baru. Semoga bermanfaat kepada semua.
Untuk maklumat lanjut mengenai perakuan dan label MCMC, layari laman sesawang www.cyl.mcmc.gov.my dan follow FB dan IG @checkyourlabel_mcmc.
Artikel ini dibawakan oleh MCMC
Baca juga: Jawapan Mufti Mengenai Hukum Pembelian Android Box
Baca juga: Kantoi Scam Tetikus Palsu, Penjual Selamba Pulangkan Wang