Masih ingatkah anda tentang artikel yang kami keluarkan berkenaan Samsung menghadkan lebih 10,000 prestasi aplikasi? Disebabkan kejadian ini, siri Samsung Galaxy S22 telah dibuang daripada senarai GeekBench.
Hal ini berikutan daripada aplikasi yang tersedia dipasang dalam peranti Samsung dipanggil Game Optimizing Service (GOS). Aplikasi ini bertujuan mengurangkan prestasi aplikasi untuk memberikan jangka hayat bateri yang lebih lama.
Disebabkan itu, ramai pengguna telah membuat aduan kepada Samsung mengatakan prestasi peranti andalan, siri Samsung S22 sangat teruk lebih-lebih lagi ketika memain permainan video seperti Genshin Impact.
Daripada ribuan aplikasi yang dikesan menggunakan GOS, tiada satu pun aplikasi penanda aras (benchmark) yang dikesan. Ini dilihat sebagai penipuan kerana prestasi yang terdapat pada alikasi penanda aras seperti Antutu dan GeekBench 5 berbeza dengan prestasi aplikasi yang lain.
Justeru, GeekBench telah mengambil langkah untuk membuang siri Samsung Galaxy S22 dan semua siri Samsung Galaxy S 4 tahun kebelakang termasuk siri S21, S21 FE, siri S20 dan siri S10 kerana dijangka Samsung juga telah menggunakan GOS pada barisan peranti Galaxy S mereka sebelum ini
Pada pandangan pengguna, tidak dinafikan terdapat antara mereka yang ingin setuju dengan GOS tetapi kita tidak boleh pejamkan mata pada mereka yang tidak meyukai GOS pada Samsung S22. Mereka ini sanggup mengorbankan isu kepanasan dan jangka hayat bateri asalkan dapat melihat prestasi penuh cip Snapdragon 8 Gen 1 dan Exynos 2200 pada peranti andalan yang mereka gunakan.
Oleh itu, Samsung telah berjanji bahawa mereka akan menyertakan kawalan prestasi permainan pada kemas kini yang akan datang.
Ini bukan kejadian pertama di mana syarikat pengeluar telefon menipu pada aplikasi penanda aras. Tahun lepas, OnePlus juga membuat perkara yang sama pada peranti OnePlus 9 dan 9 Pro mereka.
GeekBench tidak akan menyenaraikan semula siri Galaxy S22 pada senarai penanda aras mereka walaupun Samsung akan memberikan kemas kini baharu untuk membetulkan semula isu ini. Jadi kita tidak lagi dapat lihat siri tersebut sehinggalah Samsung keluarkan siri Galaxy S23 pada masa akan datang.
Sumber: Android Police, engadget
Baca juga:
- Lebih 10 Ribu Aplikasi Android Dalam Telefon Pintar Samsung Galaxy Didakwa Dihadkan Prestasinya
- Cara Ubah Ketetapan Tetikus Untuk Pengguna Kidal
- KKM Jelaskan Mengapa Tidak Perlu Jalani Ujian Selepas Tamat Kuarantin