Tempoh hari, kami ada membuat tinjauan di saluran-saluran media sosial, bertanya apakah aplikasi perbankan digunakan mereka dan maklum balas penggunaannya.
Ringkasnya, majoriti pengikut Wiser menggunakan MAE/M2U, diikuti CIMB Clicks dan kemudian Go by Bank Islam.
Korang guna aplikasi perbankan apa, dan kenapa? And adakah korang pus hati?
Kalau takde dlm list boleh reply/quote.
— wiser.my (@officialwisermy) January 29, 2023
Namun, pengguna Go by Bank Islam mengadu dan meluahkan rasa tertekan mereka dengan aplikasi itu.
Antara yang mencuit hati, salah seorang pengikut berkongsi pengalaman rakannya yang mengambil masa terlalu lama untuk membayar dengan Go Bank Islam sehinggakan ada gadis membayarkan untuknya.
Bank Islam, apakah pertemuan jodoh menjadi ciri tersembunyi aplikasi Go?
Masalah besar dengan Go yang perlu “go”
Perkara paling menyakitkan hati pengguna ialah masa yang terlalu lama untuk dimuatkan (loading) apatah lagi untuk mencapai ciri imbasan kod QR DuitNow.
Bagai mencurah minyak ke api, isu ini bukan baru terjadi semalam sudah sekian lama.
Ini belum lagi kita bongkar masalah keselamatan mahupun antara muka yang sangat ketinggalan.
Selain itu, apabila timbul satu-satu isu, adakalanya Bank Islam mengambil masa yang lama sehingga berhari-hari untuk menyelesaikannya.
Saya mempunyai tahap hormat yang tinggi pada mereka yang menjadikan Bank Islam sebagai bank utama kerana saya sendiri tidak boleh tahan dengan antara mukanya sejak pertama kali menggunakannya.
Be U bukan pengganti Go
Jika anda tidak tahu, Bank Islam juga mengeluarkan aplikasi Be U namun ia bukan seperti Go kerana ia merupakan bank digital. Jadi, ia bukan pengganti Go seperti MAE dengan M2U mahupun CIMB Octo dengan Clicks.
Aplikasi Be U mempunyai antara muka yang moden yang jelas menyasarkan golongan muda tapi sayang anda tidak boleh mengakses akaun Bank Islam sedia ada seperti Go.
Adakah Bank Islam lebih menumpukan Be U berbanding menambah baik Go? Laman web Be U mengatakan 2 produk Bank Islam ini tidak berkongsi visi walaupun mempunyai misi yang sama.
Tambah baik sebelum pengguna berhijrah
Tidak mampu atau tidak mahu? Itulah yang saya dan pengguna lain fikir tentang Bank Islam dengan perbankan atas talian mereka.
Apakah ia juga disebabkan kekangan kewangan? Sebagai sebuah bank, apakah mereka mengalami kerugian yang teruk sehingga terpaksa menolak perkhidmatan online ke tepi? Tuhan saja tahu.
Sebagai pengguna yang celik IT, kebanyakan kita faham saja jika ada isu tidak dijangka berlaku ataupun tuntutan penyelenggaraan.
Namun, ia berlaku dengan kerap, ambil masa lama untuk kembali pulih, bermakna ada perkara tidak kena dengan pasukan yang menguruskannya.
Dengan apa yang berlaku dengan aplikasi Go, ia seperti terbengkalai atau tidak ada usaha yang serius untuk betul-betul memperbaikinya apatah lagi menambah baik untuk jangka masa panjang.
Melalui twit undian Wiser di Twitter, Bank Islam membalas pada pengguna yang mengadu dengan berkata bahawa bank tersebut sedang meneliti isu aplikasi tersebut.
@encikISWAN terima kasih di atas maklumbalas yang diberikan berkenaan applikasi GO by Bank Islam. Untuk makluman, perkara ini sedang di atasi oleh jabatan berkenaan dan kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami.
— Bank Islam (@myBankIslam) January 31, 2023
Bank lain sudah mula tukar sistem
Kita lihat CIMB, ramai yang mempunyai isu dengan bank itu kerana faktor keselamatan dan sebagainya. Beberapa bulan lalu, CIMB telah melancarkan aplikasi baharu sebagai pengganti CIMB Clicks yang dinamakan CIMB Octo.
Ia sebuah aplikasi yang ternyata lebih baik kerana sangat responsif, terasa jauh lebih ringan dan lebih tersusun. Bank itu juga telah memperkenal beberapa ciri keselamatan seperti pengehadan 1 peranti selepas diarahkan BNM.
Maybank pula sejak awal lagi sudah keluarkan MAE untuk menggantikan M2U sepenuhnya. RHB Bank juga akan beralih daripada RHB Now ke RHB Online/Mobile Banking.
Ini bermakna Bank Islam juga harus membangunkan sistem baharu lansung kerana itulah yang sebaiknya untuk jangka masa panjang, bukan hanya menyelesaikan isu seperti sesetengah pihak menampal jalan berlubang di Cyberjaya.
Kami berharap Bank Islam mengambil berat dan betul-betul memperbaiki perkhidmatan perbankan atas talian mereka seperti laman web dan aplikasi Go.
{suggest}
Zaman digital ini, jika pelanggan tidak selesa dengan perkhidmatan atas talian satu-satu syarikat, mereka akan terus mencari alternatif lain tanpa fikir panjang.