Setiap tahun pasti ada laporan berkaitan Astro yang dikongsi di media sosial dengan tajuknya hampir sama, iaitu rugi lagi, atau keuntungan merosot. Sebagai pengguna yang membesar dengan piring satelit di bumbung rumah, keadaan ini memang menyedihkan tetapi tidaklah mengejutkan.
Dunia hiburan telah berubah dengan pantas, dan kita kini sedang bergerak ke tahun 2026. Malangnya, model operasi Astro masih banyak terikat dengan cara lama.
Astro sebenarnya sedar mereka perlu bergerak ke arah baharu. Mereka membawa masuk Netflix, Disney+ Hotstar, Viu, iQIYI dan lain-lain ke dalam ekosistem mereka. Mereka memperkenalkan pek baharu dengan harga yang kelihatan kompetitif.
Tetapi masalah utama bukan pada kandungan atau harga. Masalah paling besar ialah obsesi terhadap perkakasan (hardware) dan kontrak.
Kotak Ultra/Ulti dan kontrak panjang

Sebagai pengguna biasa, jika saya mahu menonton saluran Astro seperti Ria, Prima, Citra atau saluran lain dalam pek hiburan mereka, saya mesti melanggan pelan Astro yang memerlukan penggunaan Ultra atau Ulti Box. Semua akses penuh tertumpu kepada kotak tersebut. Masalahnya, pelan ini hadir bersama kontrak 24 bulan.

Dalam era di mana langganan streaming boleh dibatal pada bila-bila masa, komitmen dua tahun terasa sangat tidak masuk akal. Golongan bandar dan generasi muda hari ini semakin “anti-kontrak”. Mereka mahukan fleksibiliti, bukan komitmen jangka panjang.

Alternatif seperti NJOI pula tidak benar-benar menyelesaikan masalah. Saya sendiri sudah beralih kepada NJOI. Walaupun ia prabayar, NJOI masih terikat kepada satelit, kualiti siaran terjejas bila hujan, dan tidak boleh digunakan bersama Astro GO.
Untuk pengguna moden yang sudah biasa menonton di telefon, tablet atau smart TV, pengalaman ini terasa lapuk.
“Tapi kan ada Sooka?”

Memang Astro ada Sooka, dan ia langkah ke arah yang betul. Cuma, Sooka masih jauh daripada keselesaan model streaming sebenar. Live TV di Sooka terhad, dan tidak mencerminkan penawaran penuh Astro.

Sedangkan kita tahu Astro memiliki banyak “hero show” seperti Gegar Vaganza, Muzikal Lawak Superstar, serta drama Astro Originals yang berkualiti tinggi. Sayangnya, kebanyakan ini tidak tersedia dalam bentuk fleksibel seperti yang pengguna harapkan.

Mana pergi senarai penuh siaran TV yang ada dalam ‘Astro TV Packs’? Tiada.
Realiti hari ini, majoriti pelanggan Sooka ialah peminat bola sepak. Jika seseorang mahu pengalaman penuh Astro, mereka tetap perlu kembali kepada kotak dan kontrak.
Sebenarnya masih ramai yang mahu tonton rancangan tersebut tetapi tidak mahu komitmen.
Unifi TV 2.0 tunjuk contoh fleksibiliti moden

Jika Astro mahu melihat contoh yang sudah berjaya, lihat sahaja Unifi TV 2.0. Pengguna kini boleh melanggan saluran Unifi TV serendah RM8 tanpa memerlukan set-top box.
Muat turun aplikasi pada smart TV, telefon atau laptop, dan terus menonton. Tiada kontrak, tiada pemasangan. Satu model yang ringkas tetapi bijak.
Saya menyebut unifi TV 2.0 bukan hanya disebabkan penawarannya tetapi kita semua tahu yang unifi adalah syarikat gergasi di Malaysia, sama besar dengan Astro.
Astro mempunyai kelebihan kandungan yang jauh lebih kuat, tetapi model perniagaannya belum mengikuti standard moden ini.
Model “app-only” tanpa dekoder, tanpa kontrak
Apa yang pengguna mahu sangat mudah:
- Langgan pek Astro terus melalui aplikasi
- Boleh digunakan pada smart TV, telefon dan tablet
- Bayar bulan-ke-bulan
- Tiada kotak, tiada kontrak
Bayangkan betapa mudahnya akses kepada Astro Ria, Prima, Oasis, Citra dan saluran lain jika ia boleh dilanggan terus dari aplikasi, sama ada sebulan, tiga bulan atau setahun. Model begini bukan sahaja lebih fleksibel, malah lebih inklusif untuk pengguna bandar dan luar bandar.
Astro masih ada penonton, tetapi cara mereka menawarkan kandungan tidak lagi selari dengan cara pengguna menonton. Kandungan Astro sebenarnya kuat, cuma cara penyampaiannya sudah ketinggalan.
Jika Astro mahu keluar daripada kitaran kerugian setiap tahun dan mahu kembali menarik minat pengguna, mereka perlu berani melepaskan kebergantungan kepada kotak dan kontrak. Jangan paksa pengguna, sebaliknya pengguna sendiri yang akan cari jika ia benar-benar seiring dengan kemahuan.
{suggest}
