Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

AppleCare One Untuk Siapa Sebenarnya? Ini Pendapat Saya

Posted on Julai 24, 2025Julai 24, 2025

Apple baru-baru ini memperkenalkan pelan perlindungan terbaru yang dinamakan AppleCare One, eksklusif buat masa ini untuk pasaran Amerika Syarikat.

Namun, seperti biasa, bila Apple perkenalkan sesuatu yang baharu, besar kemungkinan ia akan dikembangkan ke pasaran lain termasuk Malaysia. Cuma tunggu masa sahaja.

Sebelum ini, kita di Malaysia hanya ada akses kepada AppleCare+, pelan perlindungan berbayar yang merangkumi pelbagai jenis peranti seperti iPhone, iPad, Apple Watch dan sebagainya. Harga AppleCare+ di Malaysia bergantung kepada jenis peranti, contoh mudah:

  • iPad: RM299
  • iPhone: RM379
  • Apple Watch: RM249

Jumlah keseluruhan untuk 3 peranti selama 2 tahun (24 bulan), ialah RM927. Manakala, AppleCare One untuk peranti sama adalah $19.99 (~RM84) sebulan. Jika melanggan selama 12 bulan, kosnya sekitar RM1,008. Tambahan $5.99 (~RM24) untuk peranti yang keempat dan seterusnya.

Jadi, kalau anda baru beli beberapa peranti Apple sekali gus, memang AppleCare+ adalah pilihan yang lebih berbaloi.

Kos pelindungan menyeluruh selama 2 tahun masih munasabah berbanding kos membaiki skrin, bateri atau komponen lain secara individu.

Tapi, bagaimana pula dengan AppleCare One?

AppleCare One ini untuk siapa?

Inilah persoalan utama yang ramai pengguna mungkin tertanya-tanya.

Saya berpendapat yang AppleCare One direka lebih fleksibel, dan sesuai untuk pengguna yang masih guna peranti lama, peranti sudah tamat waranti asal (1 tahun) dan terlepas untuk membeli AppleCare+ kerana syarat utama adalah kena beli bersama peranti baharu atau dalam tempoh 60 hari selepas pembelian peranti.

Selain itu, ia juga sesuai untuk individu yang tidak mahu tukar peranti Apple baharu buat masa ini.

Akhir sekali, buat pengguna yang suka melanggan servis secara bulanan di mana boleh berhenti langganan bila-bila masa.

Tambahan lagi, pengguna boleh daftar peranti lama yang masih elok dan terus dapat perlindungan macam AppleCare+.

Contohnya, kalau iPhone lama anda masih dalam keadaan baik tapi dah habis waranti, anda masih boleh masuk dalam pelan ni dan nikmati perlindungan termasuk servis skrin pecah, bateri rosak dan lain-lain.

Namun, peranti lama ini perlu menjalani proses diagnostik terlebih dahulu untuk pastikan ia layak. Kemudian, peranti lama ini mestilah usianya kurang daripada 4 tahun dan fon kepala pula kurang 1 tahun. Hanya peranti dalam akaun Apple pelanggan sahaja boleh dilindungi di bawah AppleCare One.

Jelas?

Konsep langganan ni sama macam Netflix atau YouTube Premium atau apa-apa servis sekalipun. Bila dah tak nak, boleh batal bila-bila masa.

Tiada komitmen jangka panjang. Tapi selagi anda langgan, anda dapat akses kepada lebih 5,000 pusat servis Apple di seluruh dunia. Global coverage.

Kenapa Apple buat pelan ni?

Pada pendapat saya, mungkin ada dua sebab utama mengapa pelan ini wujud:

  1. Meningkatkan keterikatan pengguna dalam ekosistem Apple – Bila peranti lama masih dijaga elok dan ada perlindungan, orang tak tergesa-gesa nak tukar ke jenama lain.
  2. Bisnes servis dan langganan sangat menguntungkan – Buat pengetahuan, salah satu pendapatan terbesar Apple adalah servis langganan. Bukan penjualan peranti. Jadi, tidak peliklah mengapa servis ini ditawarkan. Apple boleh sentiasa menjana pendapatan dari pelanggan sedia ada.

Berbaloi ke?

Kalau anda baru beli peranti Apple, AppleCare+ masih pilihan terbaik. Perlindungan 2 tahun pada harga tetap lebih murah daripada langgan AppleCare One setiap bulan untuk jangka masa panjang.

Tetapi kalau anda pengguna peranti lama yang masih nak jaga iPhone atau iPad anda tanpa tukar baharu, AppleCare One adalah pilihan yang sangat fleksibel dan berbaloi.

Terutamanya untuk pengguna yang kerap jatuhkan telefon, malas guna casing, dan tak gemar kerap menaik taraf ke peranti baharu.

Perlu diingatkan juga, seperti saya kata tadi, servis Apple adalah global. Andai kata anda beli peranti di Malaysia dan mahu tuntut waranti di negara lain, tidak ada masalah. Tiada istilah waranti Malaysia, waranti China, atau waranti Jepun.

Akhir sekali, AppleCare One bukan pengganti kepada AppleCare+, tapi ia pelengkap kepada pilihan pengguna — ikut situasi dan gaya penggunaan masing-masing.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress