Untuk memberikan perasaan pengalaman sebenar dalam perlumbaan Formula 1 (F1), Apple telah mencipta kamera khas bagi pembikinan filem F1.
Perkara ini didedahkan oleh YouTuber Bobby Tonelli yang menyatakan beliau telah mengikuti pembentangan khas Apple semasa acara WWDC 2025 berkaitan teknologi kamera yang dibangunkan Apple untuk filem tersebut.

Beliau berkata, jurutera Apple mencipta kamera khas itu menggunakan sensor kamera iPhone 15 Pro, cip pemproses A-series, bateri iPhone dan penapis cahaya khas di mana semuanya dimuatkan ke dalam modul kecil yang dipasang pada kereta lumba APX GP yang direka khas untuk filem ini.
Kamera ini dibina untuk merakam sudut pandang dalam kokpit pemandu yang biasa dilihat dalam siaran F1, tetapi pada tahap kualiti layar lebar yang menyokong format rakaman Apple ProRes serta memaparkan segala maklumat penting untuk proses rakaman dan suntingan.
Ia bagi menyampaikan debaran aksi sebenar perlumbaan dalam filem ini dengan lebih berkesan kepada penonton menerusi sudut sinematografi menakjubkan.

Menariknya, kamera ini diuji agar tahan pada kelajuan lebih 350 km/j dan keupayaan daya-G tinggi, sambil mengekalkan berat minimum mengikut piawaian F1.
Selain itu, oleh kerana peraturan FIA melarang kawalan tanpa wayar, pasukan produksi menggunakan iPad yang disambung terus ke kamera untuk mengawalnya secara manual.
Filem F1 terbitan Apple Original Films ini diarahkan oleh pengarah Joseph Kosinski (Top Gun: Maverick), menyaksikan lakonan hebat Brad Pitt beraksi di litar lumba F1 yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh dunia.
{suggest}