Amazon hari ini mengumumkan perjanjian besar bersama syarikat penerbangan terkemuka, Delta Air Lines, untuk membawa teknologi satelit Amazon Leo ke ratusan pesawat mereka. Kerjasama ini bakal menyaksikan bermulanya era baharu ketersambungan internet di udara yang lebih pantas dan stabil bermula tahun 2028.
Melalui penggunaan antena khas berasaskan Leo Ultra, setiap pesawat Delta akan dilengkapi dengan sistem yang mampu menyokong kelajuan muat turun sehingga 1 Gbps dan muat naik sehingga 400 Mbps.
Kelajuan ini membolehkan penumpang melakukan aktiviti berat seperti penstriman video 4K, bermain permua (gaming), dan melakukan panggilan video tanpa gangguan latency yang tinggi.

Tidak seperti sistem satelit tradisional yang berada jauh di orbit geopegun, satelit Amazon Leo beroperasi di orbit rendah bumi (LEO) iaitu sekitar 370 batu sahaja dari permukaan planet. Kedudukan yang 50 kali lebih dekat ini menjadi kunci utama kepada pengurangan latency yang drastik, sekali gus memberikan pengalaman internet yang hampir sama dengan rangkaian di daratan.
Satu berita baik buat penumpang, perkhidmatan Wi-Fi berkuasa tinggi ini akan ditawarkan secara percuma kepada semua ahli Delta SkyMiles.
Sebagai fasa permulaan, Delta merancang untuk memasang teknologi ini pada 500 buah pesawat mereka seawal tahun 2028 sebelum diperluaskan ke seluruh armada global mereka.
Selain internet untuk penumpang, kerjasama ini juga melibatkan integrasi sistem Amazon Web Services (AWS) dan teknologi AI untuk meningkatkan kecekapan operasi Delta. Ini termasuklah sistem tempahan yang lebih lancar serta aplikasi pengurusan krew yang lebih pantas.
Langkah Amazon ini dilihat sebagai cabaran terus kepada perkhidmatan Starlink milik SpaceX yang sebelum ini telah pun mula menembusi pasaran penerbangan komersial. Pada masa sama, Amazon turut meletakkan sasaran pelancaran lebih 100 misi satelit akan datang.
{suggest}
