Dalam artikel sebelum ini, kita telah melihat sebanyak 5 Syarikat Teknologi Tempatan Yang Mungkin Anda Tak Tahu Wujud Tapi Popular.
Untuk bahagian kedua ini pula, kita akan lihat 5 lagi syarikat tempatan yang wujud dalam bidang sains dan teknologi meliputi pelbagai industri.
TF-AMD Microelectronics (Penang) Sdn. Bhd.
TF-AMD Microelectronics (Penang) Sdn. Bhd. adalah syarikat pelopor dalam industri OSAT (Outsourced Semiconductor Assembly And Test) yang mempunyai kepakaran dalam pemasangan dan pengujian peranti semikonduktor bersepadu meliputi pelbagai industri termasuklah perkomputeran, peralatan elektronik, automotif, telekomunikasi, aplikasi industri, grafik dan pusat data.
Syarikat ini yang sudah berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang lebih 50 tahun ini mempunyai sejarah panjang.
TF-AMD bermula sebagai bahagian khas dalam syarikat terkemuka Advanced Micro Devices (AMD), dengan fokus kepada perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor berkualiti tinggi.
Keupayaannya menyokong pembangunan produk AMD menjadikannya aset penting dalam industri.

Tetapi, pada 29 April 2016, TF-AMD telah menjadi entiti bebas, selepas TongFu Microelectronics Co., Ltd. (TFME) dari China telah memperoleh 85% saham AMD Suzhou dan AMD Penang.
Menjadikan TFME bertindak sebagai rakan kongsi pengawal untuk dua usaha sama baru iaitu TF-AMD, sekali gus membolehkan syarikat ini fokus penuh terhadap kepakaran OSAT.
HeiTech Padu Bhd
HeiTech Padu Bhd merupakan sebuah syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan digital Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1994.
Bermula sebagai syarikat Pemprosesan Data Elektronik (EDP) di Permodalan Nasional Berhad (PNB), ia kemudiannya menukarkan nama kepada PNB Information Technologies Sdn. Bhd. (“PNB IT”) pada 1995.
Hanya pada tahun 1999, barulah tertubuhnya nama rasmi HeiTech Padu Sdn. Bhd.
Kini dikenali sebagai HeiTech Padu Bhd., syarikat ini telah berkembang sebagai salah satu syarikat ICT terkemuka di Malaysia.
Fokus utama perniagaan HeiTech adalah dalam pembangunan sistem aplikasi berskala besar seperti sistem parkir pintar, penyelesaian pusat data, keselamatan siber, perkomputeran awan, teknologi rangkaian serta penyelenggaraan infrastruktur ICT.
Antara kontrak utama yang telah diperoleh syarikat ini adalah penyelenggaraan dan sokongan teknikal untuk Infrastruktur ICT termasuk sistem maklumat kenderaan dan pemandu (MySIKAP), projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) serta untuk projek fasiliti hidroelektrik bernilai RM1.04 bilion dari TNB Penjanaan Kuasa Sdn Bhd.

Gemilang Coachwork Sdn Bhd (GML)
Gemilang Coachwork Sdn Bhd (GML) merupakan sebuah syarikat pengeluar bas dan koc yang berpangkalan di Johor Bahru, Malaysia.
Ditubuhkan pada tahun 1989, GML yang sudah berusia 36 tahun telah berkembang menjadi antara peneraju utama dalam industri pembuatan badan bas di rantau Asia Pasifik.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad, syarikat ini terkenal dengan kepakaran menghasilkan bas yang moden, selamat, dan mesra alam dengan pengeluaran bas elektrik dan bas hibrid yang digunakan secara meluas di bandar-bandar utama Malaysia, Singapura, dan Hong Kong.
Gemilang telah mengeksport lebih 1,000 unit bas mereka ke Singapura dan 500 ke Uzbekistan, serta memasang lebih 100 bas BYD elektrik di Australia.
Antara pencapaian yang baru direkodkan adalah pada September lepas di mana Gemilang dengan kolaborasi MAN Truck & Bus Malaysia, telah melancarkan sebanyak enam buah bas pelancongan dua tingkat KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO) berteknologi Euro VI pertama di Malaysia yang dipasangkan oleh Gemilang.
Pada Februari lalu pula, Gemilang bekerjasama dengan AMA Group Australia untuk memasang bas elektrik di kemudahan pembaikan kenderaan berat AMA di seluruh Australia dengan teknologi badan bas aluminium dari Gemilang yang ringan dan bebas karat.

Aonic Sdn. Bhd.
Mungkin anda mengenali Aerodyne yang terkenal dalam industri penyelesaian perkhidmatan dron.
Tapi sebenarnya terdapat satu lagi syarikat tempatan yang turut terkenal dalam menawarkan penyelesaian dron iaitu Aonic Sdn. Bhd.
Syarikat yang boleh dikatakan sebagai masih agak muda dalam industri ini hanya ditubuhkan pada September 2016 dahulu.
Aonic menumpukan kepakaran dalam bidang perisian, penyelesaian automasi, kecerdasan buatan (AI), serta sistem berasaskan awan yang membantu organisasi meningkatkan kecekapan operasi.

Sejak awal penubuhannya, Aonic telah melebarkan sayap mereka dengan menjadi rakan strategik kepada sektor kerajaan, korporat, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meliputi pelbagai sektor industri seperti gas dan petroleum, pembinaan, tenaga dan lain-lain.
Antara kekuatan utama syarikat ini ialah kemampuan mereka membangunkan penyelesaian tersuai mengikut keperluan pelanggan, dari integrasi sistem sehingga pembangunan aplikasi mudah alih.
Aonic Sdn. Bhd. turut memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan kepakaran dengan melatih bakat tempatan seperti penubuhan Drone Academi Asia pada Januari 2018.
Antara pencapaian terkini yang dibanggakan mereka adalah kejayaan pelancaran dron pertanian dengan keupayaan kapasiti 50 liter.

Dron ini disokong oleh ekosistem perisian Aonic: Airamap Desktop dan Mist Flight App.
Aonic Sdn. Bhd. telah menjadi antara syarikat teknologi tempatan yang paling cepat berkembang di mana hanya dalam tempoh 9 tahun sahaja, syarikat ini telah berjaya mengembangkan operasi mereka ke negara jiran dengan memiliki lebih 30 cawangan meliputi Thailand, Vietnam dan Laos.
Ghost Vision Sdn. Bhd.
Ghost Vision Sdn. Bhd. (Ghost Machine) adalah salah sebuah syarikat pembangun permainan ‘indie’ yang aktif dari Malaysia.
Syarikat yang ditubuhkan oleh Vie Eik (V8) Thong ini diterajui oleh 4 lagi bakat muda tempatan iaitu Gavin Liu Zunxian (Penerbit), Kong (Chaosmore) Nyian Sii (pengaturcara permainan), Seah Chin Yuan (animator) dan Jane Yeoh (admin).
Judul sulung permainan mereka yang telah dilancarkan adalah Katana Rama yang boleh dimuat turun di platform Steam.
Kini, Ghost Machine sedang memfokuskan pula pada pembangunan permainan mereka yang seterusnya berjudul “Zhen: Shattered Legacy”.
Antara pencapaian mereka adalah tersenarai sebagai finalis dalam pertandingan Gamescom asia dan Thailand Game Show yang akan berlangsung dalam bulan Oktober ini.
Ghost Machine bersaing dengan 12 lagi pesaing dari pelbagai negara untuk merebut peluang memenangi 3 pemenang teratas yang bukan sahaja membawa pulang wang tunai bernilai USD 1,500.
Tetapi, lebih penting adalah peluang untuk berkolaborasi dengan pembangun permainan yang lain, menarik pelabur, penerbit dan media, serta pendedahan kepada pasaran serantau.
{suggest}