5 Percubaan Telefon Gaming Sebelum Era Telefon Pintar Sekarang

Bulan hadapan, ASUS bakal memperkenalkan ROG Phone 5 sebagai telefon gaming terkini mereka.

Era telefon gaming sekarang sangat meriah dengan lambakan pelbagai model yang boleh dipilih terdiri dari pelbagai jenama diyakini seperti Black Shark, Nubia, Lenovo, Razer, dan lain-lain.

Kapsyen: Black Shark 3 Pro


Sebelum era telefon gaming sekarang ini, industri telefon sudah menyaksikan suatu ketika dahulu pun sudah ramai yang mencuba untuk menghasilkan telefon gaming mereka tersendiri. Ada yang gagal, ada yang kurang sambutan. Lumrah dalam persaingan.

Artikel kali ini akan membawa anda ke zaman nostalgia telefon gaming sebelum era sekarang yang pernah menghiasi memori anda pada satu masa dahulu. Mungkin dalam senarai ini, ada yang belum pernah dengar sepanjang hidup anda.

Siri Nokia N-Gage


Tahun 2003 memperlihatkan Nintendo begitu berjaya menawan hati gamer dengan konsol mudah-alih mereka, Game Boy Advance.

Kapsyen: Game Boy Advance


Pada ketika ini, pasaran telefon masih lagi didominasi oleh Nokia (RIP). Melihatkan kejayaan Game Boy Advance, Nokia cuba pula membawa konsep gaming kepada telefon mereka dan seterusnya memperkenalkan Nokia N-Gage.

Kapsyen: Nokia N-Gage


Strategi mereka senang sahaja, Nokia cuba untuk mengumpan gamer dengan sebuah konsol yang juga adalah sebuah telefon.

Memimikkan Game Boy, N-Gage mempunyai rekaan melintang dengan skrin 2 inci dan pad kekunci bersebelahan skrin. Sambutan awam terhadap telefon ini adalah biasa-biasa sahaja namun ia popular disebabkan rekaannya unik dan digelar sebagai telefon "taco".

Ia mempunyai kelemahan nyata seperti perlu membuka panel belakang dan mencabut bateri semata-mata untuk memasukkan kartrij untuk bermain permainan.

Kapsyen: Nokia N-Gage yang perlu dibuka untuk memainkan permainan kartrij


Paling diingati adalah pembesar suaranya berada pada posisi canggung menyebabkan anda terpaksa menjawab panggilan seperti dalam gambar di bawah.

Kapsyen: Menjawab panggilan telefon di Nokia N-Gage


Nokia cuba memperbaiki kelemahan N-Gage dengan melancarkan model terbaharu N-Gage QD pada 2004. Ia juga dijual dengan harga lebih murah untuk menarik lebih ramai pembeli.

Nokia N-Gage QD juga mempunyai slot kartrij khas tanpa perlu membuka bateri dan panel belakang memudahkan lagi sesi menukar permainan baharu. Pembesar suaranya juga diubah kepada posisi yang betul supaya pengguna tidak lagi rasa pelik apabila menjawab dan membuat panggilan telefon.

Kapsyen: Nokia N-Gage QD


Pun begitu, model yang terbaharu ini masih gagal menarik perhatian ramai sepertimana kejayaan Game Boy Advance.

Hanya 3 juta unit sahaja terjual yang mana untuk penanda aras Nokia, ia merupakan satu kegagalan kerana biasanya mereka menjual telefon sehingga beratus juta unit.

Tahukah anda, sepanjang siri N-Gage ini dijual, hanya ada sekitar 60 permainan sahaja untuk telefon itu? Nak banding dengan pustaka Nintendo Game Boy Advance yang mempunyai hampir 1,500 permainan ibarat seperti langit dengan bumi.

Samsung SPH-B5200


Pada tahun 2006, Samsung pula mencuba versi telefon gaming mereka sendiri melalui Samsung SPH-B5200. Namun, seserabut namanya, telefon ini hanya untuk pasaran Korea sahaja, dan tidak dijual untuk pasaran antarabangsa.

Kapsyen: Samsung SPH-B5200 yang hanya untuk pasaran Korea sahaja


Rekaan telefon adalah unik dengan 2 landasan gelongsor, melintang dan menegak untuk bermain permainan dalam dua posisi telefon.

Lengkap dengan pad arah, ia hadir dengan skrin 3 inci, pemain MP3, dan cip khusus untuk memainkan permainan 3D.

Disebabkan telefon ini tidak dijumpai di luar pasaran Korea, maklumat mengenainya sangat sedikit jika dicari di internet.

Apa-apa pun, sekurang-kurangnya kita tahu bahawa Samsung pun pernah terpengaruh dengan idea telefon gaming ini.

N-Gage 2.0


Selepas siri Nokia N-Gage diberhentikan pada Februari 2006, Nokia cuba memfokuskan pula portfolio gaming mereka secara perisian pula.

Diumumkan pada tahun 2007, N-Gage 2.0 adalah platform gaming untuk telefon Nokia S60 terpilih. Pada ketika ini juga iPhone pertama pun turut sama dilancarkan.

Kapsyen: Permainan N-Gage 2.0 di Nokia N81


N-Gage 2.0 membawakan permainan grafik 3D dalam sebuah servis atas talian dinamakan N-Gage Arena. Sehubungan dengan itu, platform N-Gage ditujukan pada siri Nokia S60 (Symbian) seperti siri Nokia N, XpressMusic, Navigator, dan lain-lain.

Kapsyen: Antaramuka N-Gage Arena


Hampir 2 tahun sejak pelancarannya, Nokia mengumumkan permainan baharu untuk N-Gage 2.0 tidak lagi akan dibangunkan.

Kegagalannya adalah dikaitkan dengan kejayaan Apple dalam gedung aplikasi App Store mereka, model sistem yang kurang sesuai, serta pemasaran yang kurang efektif.

https://youtu.be/QDdAJThb-Ks

Sebanyak 49 permainan telah dilepaskan sepanjang N-Gage 2.0 beroperasi hampir 2 tahun itu. Nokia kemudiannya mengalihkan kesemua permainan N-Gage 2.0 kepada gedung aplikasi Ovi Store mereka tersendiri. Sehinggalah N-Gage 2.0 ditutup buat selama-lamanya pada September 2010.

Sony Ericsson Xperia Play


Populariti PlayStation Portable (PSP) mengilhamkan Sony untuk membangunkan telefon gaming mereka sendiri pada tahun 2011 dengan Sony Ericsson Xperia Play.

Kapsyen: Sony Ericsson Xperia Play


Di bawah nama Xperia Play, telefon ini hadir dengan rekaan gelongsor berserta butang sama seperti PSP Go mereka. Nampak seperti sebuah resepi yang lengkap untuk sebuah mesin permainan konsol mudah alih, bukan?

Tetapi ia gagal pada ujian sebenar iaitu apabila ditanyakan permainan apa yang ada pada Xperia Play.

Disebabkan ia menjalankan perisian Android, ia bergantung kepada permainan gedung aplikasi tersebut. Masalahnya adalah permainan Android banyak memfokuskan skrin sesentuh berbanding menggunakan butang fizikal pada Xperia Play.

Sony menyedari hal ini dan cuba membangunkan permainan khas ekslusif untuk Xperia Play. Tetapi usaha mereka nampak hangat-hangat tahi ayam, hanya 10 permainan dari PS1 sahaja yang dialihkan untuk Xperia Play seperti Crash Bandicoot, Fifa, dan lain-lain.

Kapsyen: Crash Bandicoot di Sony Ericsson Xperia Play


Pemprosesan CPU dan GPU juga bukanlah yang terpantas pada ketika itu untuk tahun 2011. Sudahnya butang kekunci itu sangat jarang digunakan berikutan kurangnya permainan khusus yang boleh memanfaatkannya.

Sony langsung tidak menghasilkan generasi seterusnya Xperia Play, namun beberapa bulan lalu, pihak XDA telah mendedahkan rekaan prototaip Xperia Play 2 yang tidak pernah dilancarkan.

Kapsyen: Rekaan Prototaip Xperia Play 2 yang tidak dilancarkan


Mungkin disebabkan jualan Xperia Play yang rendah, atau kegagalan PlayStation Vita sendiri memaksa Sony untuk memfokuskan kepada produk lain.

Acer Predator 6


Yang terakhir. Sebelum siri ASUS ROG Phone diperkenalkan, jiran terdekat yang juga mempunyai sub-jenama gaming iaitu Acer dengan Acer Predator 6.

Kapsyen: Acer Predator 6


Telefon ini dipertontonkan pada acara IFA 2015 dengan skrin HD besar 6 inci dan hadir dengan cip pemprosesan 10 teras dari MediaTek Helio X20. Ia juga turut mempunyai 4 pembesar suara di sekelilingnya.

Walaupun telefon ini diperlihatkan pada acara tersebut dimana para pengunjung boleh memegang untuk bermain dengannya, telefon ini tidak pernah dijual secara rasmi kepada orang awam.

Kapsyen: Acer Predator 6 ketika acara IFA 2015


Acer tidak pula memperincikan mengapa mereka tidak menjual Predator 6 ini secara rasmi. Namun, ketika pengenalan Predator 6, Acer turut melancarkan tablet dengan rekaan sama iaitu Acer Predator 8.

Kapsyen: Tablet Acer Predator 8 yang mempunyai rekaan hampir sama dengan Predator 6


Untuk tablet Predator 8 ini, ia dijual sahaja seperti biasa tetapi bukan telefon gaming Predator 6 itu.

Rujukan: