Adakah anda sedang mencari jam pintar, tetapi tidak mahu berbelanja lebih RM1000? Mungkin anda juga mahukan jam yang sesuai untuk membaca data ketika anda melakukan aktiviti-aktiviti kesihatan, dan juga mengesan data tidur dan denyutan jantung, bukan?
Saya boleh jamin bahawa anda tidak perlu berbelanja lebih daripada RM700 untuk mendapatkan jam pintar yang berkualiti dan mempunyai binaan yang premium.
Inilah tiga jam pintar bawah RM700:
HONOR Watch 6

Jam pertama yang baru sahaja saya uji beberapa minggu lepas ialah HONOR Watch 6. Harga jam ini bermula pada harga RM699 bagi warna ‘Shadow Black’.
Memandangkan saya sendiri telah memakainya selama sebulan penuh, apa yang boleh saya katakan adalah jam ini memang sangat solid pada harganya.
Dari segi rekaan, badannya yang bersaiz 46.5mm diperbuat daripada aloi aluminium yang nampak classy dan premium. Ia dipadankan dengan skrin 1.46 inci LTPS AMOLED dengan kadar segar semula 60Hz yang mampu mencapai 3000 nits. Jadi, ia boleh digunakan di bawah cahaya matahari.
Beratnya pula hanya sekitar 41g (tanpa tali jam), jadi ia sangat ringan dan tidak melenguhkan tangan apabila dipakai seharian. Tali jam jenis fluoroelastomer juga boleh ditanggalkan kerana adanya mekanisme spring bar yang membolehkan anda untuk menukarnya kepada tali jam yang lain.
Dari segi ketahanan, ia mempunyai penarafan 5ATM dan IP69. Maksudnya, boleh sahaja ia dibawa untuk berenang atau melakukan aktiviti lasak. Kiranya ia bukan sekadar jam untuk bergaya sahaja.
Untuk peminat aktiviti luar, ia mempunyai sistem HONOR AccuTrack. Ia menggunakan kombinasi cip GNSS, dual-band GPS dengan sensor altitud dan kompas untuk memberikan penjejakan jarak serta laluan yang hampir tepat ketika anda berjalan kaki atau berjoging.
Untuk sukan, ia mempunyai lebih daripada 120 mod seperti badminton, brisk walking, dan pendakian gunung. Cuma, ia tiada mod pickleball.
Bukan itu sahaja, sensor kesihatannya lengkap dengan pemantauan denyutan jantung secara berterusan, skor kualiti tidur, serta bacaan tahap oksigen dalam darah (SpO2).
Jam ini turut dilengkapi storan dalaman 4GB dan sokongan Bluetooth 5.4. Anda boleh memindahkan fail lagu MP3 terus ke dalam jam melalui aplikasi HONOR Health dan menyambungkannya terus ke earbuds wayarles. Ini membolehkan anda menggunakannya untuk berjoging sambil melayan lagu secara offline tanpa perlu membawa telefon.
Dengan adanya bateri sebesar 980mAh, hayat baterinya mampu bertahan sehingga 35 hari dengan penggunaan paling ringan, dan ia juga menyokong pengecasan pantas. Jadi, ia hanya mengambil masa 100 minit untuk penuh semula.
Cuma, ada beberapa perkara yang perlu anda tahu: jam ini tiada pengecasan wayarles, dan anda tidak boleh memasang aplikasi third party pada jam tangan ini.
Tambahan, walaupun ia boleh digunakan dengan peranti Android dan iPhone, anda perlu memuat turun HONOR Health untuk menggunakannya pada keupayaan sepenuhnya.
Jadi, ini salah satu jam yang mantap pada harga bawah RM700.
Harga HONOR Watch 6 di Malaysia
Xiaomi Watch S5

Jam kedua, iaitu Xiaomi Watch S5 juga satu calon yang padu. Model standard jam ini dijual pada harga sekitar RM659, manakala versi dengan kemasan forged carbon berharga sekitar RM719.
Dari segi binaan, ia juga nampak classy dan premium kerana badannya yang bersaiz 46mm diperbuat daripada 316L stainless steel, dan ia hanya seberat 46g. Ia dipadankan dengan skrin 1.48 inci AMOLED, kadar segar semula 60Hz, dengan kecerahan sehingga 2500 nits.
Dari segi hayat bateri, jam ini kurang tahan sedikit kerana ia hanya mampu mencapai sehingga 21 hari dengan penggunaan ringan. Tetapi, itu masih lagi dikira mantap.
Katakan anda seorang pengguna tegar (heavy user) yang menghidupkan kesemua sensor kesihatan sepanjang masa, baterinya masih lagi mampu bertahan sehingga dua minggu tanpa sebarang masalah.
Jam ini juga mampu tahan tumpahan dan rendaman air kerana ia mempunyai penarafan 5ATM. Jadi, ia juga sesuai untuk dibawa untuk berenang dan aktiviti-aktiviti air. Cuma, ia tiada penarafan Ingress Protection (IP rating), jadi anda perlu berhati-hati sedikit dengan debu.
Dari sudut penjejakan sukan, ia juga sama dengan HONOR Watch 6, kerana ia menyokong sistem GPS GNSS yang mampu merakam laluan larian atau aktiviti hiking, biarpun ketika anda berlari di celah-celah bangunan tinggi dengan hampir tepat.
Jam ini juga sokong lebih daripada 150 jenis mod sukan. Namun, sama seperti HONOR Watch 6, ia juga tidak mempunyai mod sukan pickleball. Anda terpaksa menggunakan mod sukan umum jika bermain sukan tersebut.
Sebagai ganti, Xiaomi menyelitkan satu fungsi unik iaitu Passion Mode. Melalui mod ini, jam ini mampu mengesan pergerakan sorakan seperti menepuk tangan, menghayun lengan, atau menggenggam penumbuk ketika anda berada di stadium bola sepak ataupun konsert muzik. Jadinya, jam ini boleh mengira data pembakaran kalori anda dengan lebih tepat.
Jadi, jam kedua ini juga cukup mantap untuk dipertimbangkan jika anda sudah biasa dengan produk Xiaomi.
Harga Xiaomi Watch S5 di Malaysia
HUAWEI WATCH FIT 5

Jam terakhir, iaitu Huawei Watch Fit 5, dikira paling murah dalam senarai ini berdasarkan harga Shopee yang saya lihat ketika saya menulis artikel ini, iaitu serendah RM574. Harga asalnya bermula pada RM649 bagi model biasa, dan RM899 bagi model Pro.
Dari segi binaan dan reka bentuk, ia lain sedikit kerana berbentuk segi empat tepat, dan ia dikira paling ringan, iaitu 27g (tanpa mengira tali jam). Ia dipadankan dengan skrin AMOLED bersaiz 1.82 inci dengan kecerahan mencecah 2500 nits.
Untuk model standard ini, badannya menggunakan binaan polimer sahaja, tidak seperti model Pro yang menggunakan bahan lebih premium, tetapi ia pasti cukup tahan lasak.
Dari segi hayat bateri, ia paling rendah jika dibandingkan dengan HONOR dan Xiaomi, tetapi cukup baik kerana ia mampu bertahan antara 10 hingga 14 hari dengan sekali cas untuk penggunaan biasa. Jadi, anda masih tidak perlu risau untuk mengecasnya setiap malam.
Dari segi penjejakan aktiviti dan kesihatan, ia sehebat jam-jam lain kerana ia juga dilengkapi dengan sistem GPS terbina yang membolehkan anda menjejaki laluan larian atau berbasikal di luar tanpa perlu membawa telefon bersama. Bukan itu sahaja, ia dilengkapi teknologi TruSeen dan TruSleep yang mampu memberikan pengesanan waktu tidur, denyutan nadi, serta paras oksigen dalam darah (SpO2) yang dianggap antara yang paling baik dan konsisten dalam kelas harganya.
Masuk ke sukan pula, ia menyokong lebih daripada 100 mod sukan, termasuk pickleball. Ia juga menyokong aplikasi-aplikasi third party seperti PickleX dan Goodshot.
Namun, satu kekurangannya adalah integrasi yang sedikit terhad jika anda menggunakan iPhone, di mana beberapa ciri kecil seperti membalas teks secara pantas (quick reply) tidak disokong.
Tetapi jika keutamaan anda adalah ketepatan data kesihatan, keselesaan memakai ketika tidur, serta rekaan moden pada bajet paling jimat, ini juga pilihan yang padu.
Harga Huawei Watch Fit 5 di Malaysia
Jika anda mempunyai bajet yang lebih sedikit, anda juga boleh mempertimbangkan versi pro seperti di bawah.

Maka, itulah tiga jam pintar bawah RM700 yang patut anda pertimbangkan jika anda ingin menjimatkan wang anda. Seperti biasa, ingatlah untuk sentiasa melakukan kajian mendalam sebelum membuat keputusan untuk membeli.
Saudara Afiq telah mengulas mengenai Xiaomi Watch S5. Anda boleh tonton di sini:
