Ringkasan Ulasan: HONOR Watch 6
Wiser memberi HONOR Watch 6 skor 8/10. Harganya di Malaysia ialah RM699 semasa ulasan ini diterbitkan pada 5 Oktober 2026.
| Produk | HONOR Watch 6 |
|---|---|
| Skor Wiser | 8/10 |
| Harga (semasa ulasan) | RM699 |
| Diulas oleh | Iskandar Afiq Shaharuddin |
| Tarikh ulasan |
Kelebihan
- Skrin AMOLED, 60Hz, 3000 nits
- Binaan premium
- Bateri tahan lama
- Pengecasan pantas
- Tali jam terasa selesa
- IP69, 5ATM
- Ada 4GB storan dalaman
- Banyak ciri kesihatan
- Sokong aplikasi HONOR Health
Kekurangan
- Tiada pengecasan wayarles
- Ciri NFC masih lagi terhad
- Sangat bergantung kepada aplikasi
- Tidak boleh memasang aplikasi ke dalam jam dari HONOR Health
- Pilihan muka jam terhad
HONOR bukan hanya sebuah pengeluar telefon, tablet, dan laptop. Mereka juga telah mengilang jam tangan pintar juga sejak tahun 2018.
Kini, HONOR kembali dengan jam tangan pintar baharu: HONOR Watch 6.
Pada harga RM699, adakah ia berbaloi? Adakah jam tangan ini tampan di luaran sahaja, tapi kekurangan sifat di dalam? Setelah sebulan memakai jam tangan ini, terlihat kelebihannya dan kekurangannya.
Binaan
Perkara pertama yang jelas apabila memegangnya adalah binaan yang premium. Pada julat harga ini, inilah yang saya harapkan.
Tali jam juga terasa lembut dan selesa untuk dipakai seharian kerana ia menggunakan bahan fluoroelastomer. Jika anda rasa tali jam seperti ini tidak selesa, ia boleh dicabut dan ditukar kepada tali jam lain mengikut kesesuaian anda.

Jam tangan ini juga hanya seberat 41g (tanpa tali jam). Ia terasa ringan dan tidak melenguhkan tangan saya walaupun dipakai seharian.
Dari segi ketahanan pula, jam ini mempunyai penarafan 5ATM dan IP69. Ini bermakna, saya boleh sahaja mandi tanpa perlu membuka jam tangan ini. Ia juga tahan debu jikalau saya ingin melakukan aktiviti lasak seperti menaiki kereta ATV di Pantai Klebang.
Setakat ini, binaannya memang premium. Bagaimana pula dengan skrin dan OS?
Skrin dan OS
Apabila masuk bab skrin pula, ia dilengkapi dengan skrin sentuh LTPS AMOLED, resolusi 464×464 piksel yang bersaiz 1.46 inci. Digabungkan dengan kadar segar semula 60Hz dan 317 PPI, skrin jam ini terasa lancar dan segala maklumat yang ditunjukkan pada skrin ini kelihatan tajam.
Dengan kecerahan yang boleh mencecah 3000 nits, saya tidak berhadapan sebarang masalah ketika menggunakannya di bawah matahari. Dengan adanya juga sensor cahaya ambien, kecerahan skrin akan terlaras secara automatik mengikut situasi. Dengan wujudnya juga sensor giroskop, skrin ini boleh dihidupkan dengan hanya mengangkat tangan apabila tetapan “raise to wake” dihidupkan.
Selain skrin yang lancar, MagicOS 10.0 yang menguasakan jam ini juga lancar. Setelah sebulan memakainya, tiada masalah sangkutan, bug, atau glitching pada user interface (UI).
Kalau skrin dan OS dah lancar, apa cerita dengan kawalan pula?
Kawalan
Jam ini menggunakan kombinasi skrin sentuh, butang ‘down’, dan roda tatal. Bagi saya, kawalan-kawalan ini sangat mudah untuk digunakan untuk menavigasi menu, dan ia juga responsif.
Fungsi roda tatal pada jam ini adalah untuk membuka senarai aplikasi yang ada dalam jam, dan untuk menatal skrin. Tetapi, ia hanya boleh menatal melalui senarai aplikasi dan ketika ingin menetapkan masa untuk alarm. Ia tidak boleh digunakan untuk menatal melalui muka-muka jam.

Terdapat haptic feedback, iaitu sensasi bergetar apabila memutarkan roda tatal ketika menavigasi menu. Bagi saya, getarannya tidak rasa murah, dan ada sedikit mirip Apple Watch yang jauh lebih mahal.
Bagi yang tidak gemar dengan sensasi getaran seperti ini, ia boleh dimatikan di dalam ‘Settings’.
Beralih kepada butang ‘down’, fungsi asalnya adalah melancarkan ciri ‘Workout’.

Tetapi, fungsi ini boleh diubah untuk melancarkan aplikasi lain dan ciri-ciri lain juga seperti di bawah:
Jika kawalan intuitif, tetapi tiada kemampuan sebuah jam pintar, tiada guna juga. Tetapi, HONOR tidak kedekut dalam memberikan sebanyak ciri yang mungkin, membuatkan jam ini mantap dari segi kebolehannya.
Kebolehan Utama
Jam ini kaya dengan ciri-ciri, lebih-lebih lagi berkaitan sukan. Dalam laman ‘workout’, terdapat pelbagai jenis aktiviti yang dapat dibaca seperti badminton, bola sepak, mendaki gunung, berenang, dan berjalan kaki.
Satu ciri yang menarik perhatian saya adalah GPS. Digandingkan dengan sensor-sensor seperti accelerometer, magnetometer, dan barometer, ia dapat mengesan bilangan jejak langkah, altitude kawasan sekeliling, penjejakan arah, dan jarak perjalanan saya ketika melakukan aktiviti berjalan kaki di luar. Bacaannya juga hampir tepat, menjadikan jam satu alat praktikal untuk saya pakai ketika berjalan kaki.
Cuma, fungsi GPS hanya boleh digunakan di kawasan luar sahaja, dan tidak boleh digunakan di kawasan berbumbung seperti di pusat beli belah.
Satu perkara yang saya perasan adalah apabila saya mula berjalan secara santai, notifikasi seperti ini akan muncul untuk mengetahui jika saya ingin memulakan mod berjalan kaki atau tidak. Cukup praktikal ketika saya memerlukannya.

Ada juga ciri ‘Sedentary alert’ yang akan mengingatkan saya untuk bergerak jika saya duduk selama sejam di pejabat. Tetapi, ciri ini hanya boleh diaktifkan melalui aplikasi HONOR Health.
Selain bacaan pergerakan, ia juga boleh baca kadar denyutan jantung dengan adanya sensor kadar denyutan jantung optikal. Ia bukan sahaja digunakan ketika melakukan sebarang aktiviti, malah ia juga digunakan untuk menilai kualiti tidur kerana jam ini juga boleh memberikan skor tidur berdasarkan data seperti tempoh jam tidur, perkadaran tidur, dan kualiti pernafasan.
Tetapi, ciri seperti ini memerlukan anda untuk memakai jam ini semalaman. Jadi, jika anda jenis yang kurang gemar memakai jam ketika tidur, anda tidak akan dapat data dan skor mengenai kualiti tidur anda.
Selain menilai kualiti tidur, jam ini juga mempunyai hayat bateri yang panjang.
Dengan adanya kapasiti bateri sebesar 980mAh, jam ini mampu bertahan dalam lingkungan 17-21 hari. Ini pun dengan jam ini sekali sekala disambungkan ke Bluetooth dan Raise to wake dihidupkan pada setiap masa.

Mungkin ada yang tertanya, “Bukankah HONOR mendakwa bahawa jam ini boleh bertahan sehingga 35 hari?”
Ya, HONOR ada mengatakan sedemikian. Tetapi, saya merasakan bahawa hayat bateri itu hanya boleh dikecapi jika jam ini digunakan secara ringan (Always On Display dimatikan, Raise to wake dimatikan, Power Saving Mode dihidupkan, dan tiada sambungan Bluetooth).
Walaubagaimanapun, hayat bateri yang saya dapat masih lagi mantap. Ini pun dengan Bluetooth tidak bersambung secara berterusan. Tidaklah penting untuk sync data ke telefon pada setiap masa, bukan?
Bukan itu sahaja, jam ini juga menyokong pengecasan pantas. Jadi, tidak perlu tunggu terlalu lama untuk cas dari kosong sehingga penuh.

Setakat ini, jam ini memang berkebolehan dari segi pembacaan data berkaitan sukan, kesihatan, dan ia juga tahan lama. Tetapi, bukan itu sahaja kebolehannya.
Kebolehan Lain
Bermula dengan muka jam, ia boleh ditukar kepada muka jam lain, mengikut citarasa dan stail anda. Cuma, pilihan muka jam terhad buat masa ini.
Selain itu, jam ini menyokong NFC. Ini bermakna, anda boleh menyimpan data kad seperti kad pas masuk pagar kondominium dan pas tren. Tetapi, ia tidak boleh menyimpan kad-kad perbankan dan Touch N’ Go kerana ada data sulit yang tidak dapat dibaca.
Berkaitan dengan sambungan wayarles, jam ini dilengkapi Bluetooth versi 5.4. Tetapi, ia bukan hanya untuk menyambung ke telefon, malah earbuds wayarles boleh disambungkan ke jam ini juga. Digabungkan dengan storan dalaman 4GB, ia boleh menyimpan fail-fail audio, seolah-olah sebuah pemain MP3.
Jadi, bolehlah anda membawa jam ini dan earbuds wayarles sahaja untuk pendengaran lagu secara luar talian ketika berjoging. Anda hanya perlu menggunakan aplikasi HONOR Health untuk menghantar fail-fail audio ini ke dalam jam.
Cuma, kelajuan penghantaran fail dari telefon ke jam amat lambat. Ini kerana jam ini menggunakan teknologi lama, iaitu penghantaran fail melalui Bluetooth. Jadi, ia lebih perlahan berbanding Quick Share dan AirDrop. Jadi, digalakkan untuk menghantar fail yang kurang daripada 5MB agar anda tidak perlu tunggu lama.

Diingatkan juga, anda tidak boleh keluar atau tutup aplikasi ketika penghantaran fail sedang berjalan untuk mengelakkan penghantaran fail gagal. Jadi, pastikan telefon anda tidak tertutup ketika fail sedang dihantar.
Satu perkara yang berkaitan dengan Bluetooth adalah mengangkat panggilan kerana jam ini dilengkapi dengan sebuah mikrofon dan speaker. Boleh sahaja guna jam ini untuk mengangkat panggilan yang masuk.
Jikalau Bluetooth tidak disambungkan, mikrofon ini juga boleh digunakan untuk merakam voice note atau nota suara. Untuk menghantar nota suara itu keluar dari jam, anda perlu menggunakan aplikasi HONOR Health untuk backup nota suara tertentu.
Jika speaker jam ini tidak digunakan untuk mendengar suara pemanggil, ia juga berfungsi untuk menghasilkan bunyi alarm dan ‘Find My’.
Keperluan Atau Tidak?
Pada tanda harga RM699 bagi varian warna ‘Shadow Black’ yang saya uji ini, ia adalah sebuah jam pintar yang ada segala ciri yang sebuah jam pintar sepatutnya ada: skrin yang terang, bateri yang tahan lama, dan ciri-ciri kesihatan yang banyak.
Cuma, satu perkara yang jelas adalah jam ini sangat bergantung kepada aplikasi HONOR Health. Tetapi, bagi sebuah jam pintar, ini adalah satu perkara yang normal kerana jam pintar lain buatan Apple, Samsung, Xiaomi, dan Google juga memerlukan aplikasi masing-masing, bermula daripada proses initial setup atau penyediaan awal.
Ciri-ciri seperti NFC, Find My, menambah muka jam, dan voice notes semua memerlukan aplikasi HONOR Health untuk berbuat demikian. Kiranya, perlu ada aplikasi ini, barulah jam ini boleh digunakan pada tahap keupayaan sepenuhnya. Bukan itu sahaja, anda perlu membuka akaun HONOR untuk mula menggunakan aplikasi HONOR Health ini…
Walaubagaimanapun, ini masih lagi sebuah jam yang cukup mantap pada harganya. Pastinya satu keperluan bagi mereka yang ingin mencari jam pintar yang kaya dengan ciri.
Tetapi, katakanlah anda rasa ingin tahu tentang alternatif lain, anda juga boleh mempertimbangkan Xiaomi Watch S3.
{suggest}
































