Kementerian dengan kerjasama JPJ dan PDRM telah melaksanakan lesen digital melalui MyJPJ di mana rakyat Malaysia tidak perlu lagi membawa kad lesen fizikal mahupun melekat cukai jalan pada cermin kereta.
Namun, sejak awal lagi pengguna menghadapi beberapa isu. Contohnya bagi yang sudah mempunyai ID MySikap perlu tetapkan semula kata laluan kerana lebih 3 bulan dan tempoh menunggu TAC juga terlalu serta tidak lancar.
{suggest}
Beberapa jam lalu, kementerian mengumumkan beberapa penambahbaikan di aplikasi MyJPJ dan Portal Awam JPJ.
Kod sekuriti lesen memandu – 8 aksara di belakang kad
Jika anda daftar akaun baharu, maka selain kata laluan dan TAC, anda juga perlu masukkan 8 aksara yang terpapar di belakang kad lesen anda.
8 aksara ini juga dirujuk sebagai “kod sekuriti“. Jadi, kalau disebut kod sekuriti, ketahuilah ia adalah 8 aksara di belakang kad lesen anda.
Ambil kad lesen ada dan lihat di belakangnya, ada aksara kecil seperti dalam gambar dalam gambar di atas. Itulah dia 8 aksara diperlukan (kod sekuriti).
Kod sekuriti untuk dapatkan semula akaun, selesaikan isu “Telah mendaftar”
Ramai juga mendapati notifikasi “telah mendaftar” semasa mula-mula menggunakan MyJPJ tapi anda sendiri tidak ingat bila anda daftar akaun.
Ini kerana anda sudah mempunyai akaun dengan rakan strategik JPJ yang juga diintegrasi dengan sistem JPJ sendiri.
Sekarang, anda perlukan kod sekuriti (8 aksara terakhir di belakang lesen anda) untuk dapatkan akaun anda.
Penetapan semula e-mel
Jika anda terlupa e-mel yang pernah digunakan sebelum ini, maka ada butang baharu yang memudahkan anda tetapkan semula e-mel enda.
Butang “Tetapkan Semula Emel” tersedia di muka hadapan semasa log masuk.
Anda juga perlu masukkan 8 aksara tadi semasa tetapkannya, untuk mengesahkan anda sendiri yang mengubah e-mel.
Butang “Terlupa kata laluan” ditukar ke “Tetapkan semula kata laluan”
Tempoh hari, ramai menggunakan butang “Terlupa kata laluan” kerana kita diberitahu sudah mempunyai akaun namun kata laluan sudah luput.
Kini, ia ditukar label menjadi “Tetapkan semula kata laluan” namun fungsinya sama iaitu tetapkan kata laluan jika anda terlupa dan mahu tukar apabila ia sudah melebihi 3 bulan.
Itu sahaja perubahan dibawakan kali ini.
Bagi saya, agak pantas pihak berkaitan mengambil tindakan kerana selalunya agensi kerajaan akan membiarkan saja aplikasi atau platform mereka tidak mesra pengguna.
Pembaharuan ini dilepaskan secara berperingkat mulai hari ini untuk semua pengguna Android dan iOS.