Ketua Pegawai Eksekutif Mark Zuckerberg berkata pada Rabu bahawa beliau kesal dengan kelewatan Meta dalam mengenal pasti pengguna bawah umur di Instagram, ketika berdepan kritikan tajam dalam satu perbicaraan penting media sosial berhubung dakwaan syarikatnya sengaja menarik kanak-kanak menggunakan platform itu.
Diminta mengulas aduan dalaman bahawa usaha tidak mencukupi dilakukan untuk mengesahkan sama ada kanak-kanak bawah 13 tahun menggunakan platform berkenaan, ketua Meta berusia 41 tahun — yang turut memiliki Facebook dan WhatsApp — berkata penambahbaikan telah dibuat.
Namun, beliau menambah,
“Saya sentiasa berharap kami dapat mencapainya lebih awal.”
Zuckerberg merupakan saksi paling dinanti dalam perbicaraan di California itu, yang pertama dalam siri saman difailkan keluarga Amerika terhadap platform media sosial.
Perbicaraan ini menandakan kali pertama bilionair tersebut menjawab secara langsung mengenai keselamatan platform globalnya di hadapan juri dan di bawah sumpah.
Menurut wartawan AFP di mahkamah, Zuckerberg pada awalnya kelihatan sangat tenang.
Namun beliau kemudian menjadi lebih beremosi, menunjukkan tanda-tanda kurang senang dengan menggelengkan kepala dan melambai tangan ketika berpaling ke arah juri.
Seramai 12 juri di Los Angeles mendengar keterangan yang semakin tegang apabila peguam plaintif, Mark Lanier, menekan Zuckerberg mengenai pengesahan umur serta falsafah utama beliau dalam membuat keputusan di syarikat media sosial gergasi itu.
Ketika disoal peguamnya sendiri, Zuckerberg yang kelihatan lebih santai menyifatkan masa yang dihabiskan dalam aplikasi sebagai “kesan sampingan” daripada pengalaman berkualiti, dan sering bercakap terus kepada juri bagi menegaskan hujahnya.
Beliau turut menekankan bahawa Apple dan Google — syarikat di sebalik sistem operasi yang menguasai kebanyakan telefon pintar dunia — sepatutnya melaksanakan pengesahan umur pada peringkat peranti, bukannya membiarkan setiap aplikasi melakukannya secara berasingan.
“Melakukannya pada peringkat telefon adalah jauh lebih jelas berbanding setiap aplikasi perlu melaksanakannya sendiri,” kata Zuckerberg. “Ia sepatutnya agak mudah untuk mereka.”
Zuckerberg turut berdepan lambakan e-mel dalaman, termasuk amaran bahawa sistem pengesahan umur tidak berkesan serta mesej yang menunjukkan galakan untuk meningkatkan masa penggunaan Instagram telah lama menjadi matlamat utama syarikat.
Perbicaraan dijangka berlanjutan hingga akhir Mac, apabila juri akan menentukan sama ada Meta serta YouTube milik Google bertanggungjawab terhadap masalah kesihatan mental dialami Kaley G.M., seorang wanita berusia 20 tahun dari California yang menjadi pengguna tegar media sosial sejak kecil.
Kaley mula menggunakan YouTube pada usia enam tahun, Instagram pada usia sembilan tahun, kemudian TikTok dan Snapchat.
Kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan menggunakan Instagram, dan Lanier menekan Zuckerberg mengenai hakikat bahawa Kaley dapat mendaftar dengan mudah di platform itu.
‘Di landasan yang betul sekarang’
Zuckerberg turut berdepan dokumen dalaman yang menyatakan Instagram mempunyai empat juta pengguna bawah 13 tahun pada 2015, ketika plaintif mula menggunakan aplikasi itu, dan bahawa 30 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun di Amerika Syarikat adalah pengguna.
Beliau berkata bahawa “kami kini berada di landasan yang betul” dari segi pengesahan umur.
Lanier berhujah bahawa golongan muda seperti Kaley terdedah kepada usaha Meta untuk meningkatkan masa penggunaan aplikasi popularnya, walaupun Zuckerberg sebelum ini memberitahu Kongres AS di bawah sumpah bahawa perkara itu tidak berlaku.
Apabila ditunjukkan e-mel mengenai sasaran dalaman berkaitan tempoh penggunaan, Zuckerberg mengakui bahawa “kami dahulu memang mempunyai sasaran berkaitan masa,” tetapi menegaskan matlamat syarikat sentiasa untuk “membina perkhidmatan yang berguna” yang menghubungkan orang ramai.
Beliau turut dibacakan e-mel lama daripada bekas ketua dasar awam, Nick Clegg, yang menyatakan:
“Hakikat bahawa kita mengatakan tidak membenarkan pengguna bawah 13 tahun di platform, tetapi tiada cara untuk menguatkuasakannya, adalah sesuatu yang tidak dapat dipertahankan.”
Perbicaraan ini akan menentukan sama ada Google dan Meta sengaja mereka platform mereka untuk menggalakkan penggunaan secara kompulsif dalam kalangan golongan muda sehingga menjejaskan kesihatan mental.
Kes ini dijangka menjadi penanda aras dalam menyelesaikan ribuan saman yang menyalahkan media sosial kerana mencetuskan peningkatan kemurungan, kebimbangan, gangguan pemakanan dan bunuh diri dalam kalangan remaja.
TikTok dan Snapchat, yang turut dinamakan dalam saman, telah mencapai penyelesaian dengan plaintif sebelum perbicaraan bermula. – AFP.
{suggest}
