YouTube Kini Menyekat Mod Picture in Picture Melalui Pelayar Pada iOS 14

Dalam kemaskini iOS 14 yang dilepaskan baru-baru ini, Apple telah memperkenalkan mod Picture in Picture (PiP). Dengan menggunakan mod ini, pengguna boleh menonton video dengan skrin kecil sambil melayari aplikasi-aplikasi lain.

Ciri baharu ini memerlukan sokongan daripada pembangun aplikasi. Bagi aplikasi YouTube, tiada sokongan dari platform itu untuk menggunakan mod Picture in Picture pada iOS 14.



Sebagai alternatif, pengguna boleh menonton YouTube versi web dengan menggunakan mod PiP jika ditonton melalui mana-mana pelayar.

Terbaru, YouTube dikatakan telah menyekat akses mod PiP melalui pelayar. Ini bermakna, pengguna tidak lagi dapat menggunakan pelayar sebagai alternatif untuk mengaktifkan mod PiP pada iPhone.



Seperti dalam video yang disertakan, tontonan video akan berbalik kepada YouTube web atau menghilang apabila mod ini diaktifkan.

youtube pip iphone

Dalam pada itu, tiada pengesahan jika perubahan ini dibuat oleh pihak Google atau sebaliknya. Namun, mod ini masih boleh digunakan jika video YouTube tersebut dimasukkan ke mana-mana web dan dimainkan melaluinya.



Sebagai alternatif lain, pengguna juga masih boleh menggunakan mod ini apabila membuka YouTube di pelayar dan pilih "Request Desktop Website".

Bagi pengguna dengan langganan YouTube Premium, mod Picture in Picture pada YouTube versi web mudah alih di pelayar masih boleh digunakan. Ini mungkin bermakna, ianya bukanlah sebahagian daripada pepijat.

Sumber: MacRumors