YouTube Didakwa Menyumbang Kepada Kebangkitan Teori "Flat Earth"

Sejak kebelakangan ini, teori Bumi datar atau "Flat Earth" dilihat semakin merebak ke seluruh dunia, termasuklah ke negara kita.

Ia menjadi bualan hangat kerana salah seorang yang mempercayai bahawa Bumi ini datar dan bukan sfera adalah seorang selebriti tempatan.

Kebangkitan mendadak teori ini turut mendapat perhatian pakar antarabangsa. Antaranya ialah Dr Asheley Landrum dari Texas Tech University.

Menurut satu uji kaji dan soal selidik yang dijalankan, beliau mendapati bahawa YouTube menjadi salah satu punca peningkatan golongan yang mempercayai Bumi itu adalah rata dan tidak bulat(sfera).

Kapsyen: YouTube


Pada soal selidik yang diadakan, daripada 30 orang peserta terlibat, 29 orang menyatakan bahawa mereka mula meragui kenyataan Bumi berbentuk sfera selepas menonton video-video mengenai teori Flat Earth di YouTube.

Video-video sebegini akan muncul di ruangan "Recommendation" apabila pengguna YouTube menonton video konspirasi lain seperti 9/11, pendaratan NASA ke Bulan dan sebagainya.

Antara video konspirasi Flat Earth yang paling popular di YouTube adalah bertajuk "Eric Dubay: 200 Proofs Earth is Not a Spinning Ball" dengan lebih 700 ribu tontonan.

Dalam pada itu, sebahagian besar dari golongan pakar dan para pengkaji di seluruh dunia menegaskan bahawa Bumi berbentuk sfera atau globe tanpa sebarang keraguan.

 

Sumber: The Guardian    HuffPost    Express UK