Xiaomi Redmi Note 5 Mungkin Akan Mula Dijual di Malaysia Pada 24 April

Syarikat Xiaomi baru-baru ini telah mengumumkan pelancaran peranti Xiaomi Redmi Note 5 mereka untuk pasaran antarabangsa. Walaubagaimanapun, pihak Xiaomi Malaysia masih lagi merahsiakan berkenaan tarikh rasmi penjualan peranti tersebut bagi pasaran Malaysia. Akan tetapi, kedai rasmi Xiaomi di LAZADA telah pun memaparkan iklan tentang peranti tersebut yang turut menyatakan Redmi Note 5 akan hadir pada 24 April ini, menurut laporan lowyat.net.



Dalam pada masa yang sama, masih tidak diketahui lebih lanjut sama ada tarikh ini adalah hanya tarikh jualan adalah hanya untuk jualan Lazada Malaysia atau untuk keseluruhan kedai-kedai jualan fizikal di seluruh negara. Peranti yang turut dikenali sebagai Xiaomi Redmi Note 5 di pasaran India ini akan dilancarkan secara rasmi di pasaran Indonesia pada 18 April ini, dan dijangka akan ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat juga.

Untuk pengetahuan semua, peranti ini bakal disokong oleh sistem operasi MIUI terbaru berasaskan Android 8.1 Oreo serta dilengkapi dengan memori sebesar 6 GB. Selain itu, Redmi Note 5 ini juga bakal hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 636 beserta bateri berkapasiti 4000 mAh yang mampu bertahan selama dua hari.



Walaubagaimanapun, berdasarkan semakan terbaru kami di kedai atas talian rasmi Xiaomi di LAZADA, tarikh 24 April telah pun dialih keluar dari paparan iklan berkenaan Xiaomi Redmi Note 5 ini. Maka, penggemar peranti Xiaomi perlu menunggu sedikit masa untuk mendengar pengumuman berkenaan peranti ini daripada pihak Xiaomi Malaysia melalui laman sesawang rasmi atau Facebook rasmi mereka.

Sumber