Tahun 2020 lepas, ramai yang kecewa kerana tidak dapat kereta terbang seperti yang dilukis sewaktu kecil-kecil dahulu.
Jika kerajaan tidak dapat melunaskan impian masa hadapan futuristik yang diimpikan anda, Xiaomi kini nampaknya bakal bawa masa hadapan lebih dekat kepada pengguna.
Namun ia bukan dalam bentuk kereta terbang. Tetapi teknologi pengecasan tanpa wayar jarak jauh dipanggil Space Charging menerusi produk Mi Air Charging.
Jika teknologi pengecasan tanpa wayar memerlukan pengguna untuk meletakkan peranti yang dicas secara dekat dan bertindih, Mi Air Charging ini boleh dicas pada jarak yang lebih jauh dari itu.
Melalui perkongsian Xiaomi di Weibo, teknologi yang digunakan adalah dari pembangunan sendiri menggabungkan 17 paten. Bukan sahaja ia boleh dicas secara jarak jauh pada kuasa 5W, bahkan boleh juga mengecas beberapa peranti sekaligus.
Alat pengecas tersebut direka agak besar menyerupai seperti sebuah air purifier. Teknologi yang digunakan juga tidak berkait dengan piawaian Qi yang biasa digunakan pada teknologi pengecasan tanpa wayar sekarang.
Melalui Mi Air Charging, ia mempunyai 5 fasa antenna gangguan yang digunakan untuk mengesan lokasi peranti yang dicas. Kemudiannya, peranti akan dicas melalui pancaran tenaga dari 144 antenna yang disusun khas menggunakan gelombang millimiter.
Xiaomi memberi penekanan bahawa teknologi ini dibangunkan untuk jam pintar, penjejak kesihatan, dan lain-lain IoT.
Xiaomi buat masa ini masih belum lagi mengumumkan sama ada teknologi ini bakal menemui pengguna awam atau dijual secara rasmi,
Namun hanya satu perkara yang pasti, ia sudah tentu bakal dipasarkan pada harga yang mahal dek kemampuannya yang pertama dalam industri teknologi.
Sumber: Xiaomi