Xiaomi Mi CC9 Pro Kini Rasmi Diperkenalkan, Kamera 108MP Dan Bateri 5260mAh

Setelah beberapa ketika peminat Xiaomi dijamu dengan spesifikasi-spesifikasi yang bakal hadir pada Mi CC9 Pro, model itu akhirnya tampil diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran China sebentar tadi.



Pertaruhan utama Mi CC9 Pro pastinya diberikan pada bahagian kamera dimana ia didatangkan dengan lima kamera belakang diketuai oleh lensa utama 108MP, 5MP telefoto dengan 5x zoom optikal sehingga 50x zoom digital, 12MP potret, 20MP ultra lebar dan 2MP super makro.



Lensa 108MP yang digunapakai ini merupakan hasil kerjasama antara Xiaomi dan Samsung yang mana ia pertama kali hadir pada peranti konsep Mi Mix Alpha. Sementara itu, fungsi rakaman hadapan pula diberikan kepada lensa 32MP yang diletakkan pada rekaan takuk paparan skrin.

Turut sama dimuatkan dalam peranti adalah cip pemproses Snapdragon 730G (Adreno 618), skrin paparan Super AMOLED berukuran 6.47 inci dengan resolusi FHD+.

Janaan kuasa pula disalurkan melalui bateri berkapasiti 5260mAh dengan daya pengecasan pantas 30W (USBC) yang mana tempoh untuk isian penuh mengambil masa lebih kurang 65 minit sahaja.

Konfigurasi memori pula ditawarkan dalam pilihan RAM 6GB/128GB serta RAM 8GB/128GB yang masing-masing diletakkan pada harga 2799 yuan (~RM1655) dan 3099 yuan (~RM1831).



Pada acara yang sama, sebuah lagi variasi turut diperkenalkan dengan nama Mi CC9 Pro Premium Edition. Pada versi ini, ia akan disertakan dengan lensa 8P (F/1.7) (versi biasa hanya 7P) yang menjadikannya sebagai peranti pertama didunia dengan kamera seumpama itu. Bersama kelengkapan ini, ia dijanjikan dengan hasil rakaman waktu malam yang lebih perincian.



Edisi premium tersebut akan dijual di China pada harga 3499 yuan (~RM2066) dengan hanya pilihan memori RAM 8GB/256GB.