Xiaomi Mi A3 Dijadualkan Pengumumannya Pada 17 Julai Ini

Beberapa hari kebelakangan ini, kita disajikan dengan informasi awal mengenai peranti Xiaomi yang akan menjalankan sistem operasi Android One, Mi A3.

Melihat kepada sebaran imej yang dimuat naik di internet, rekaan luar serta spesifikasi pengganti Mi A2 itu mirip seperti model Mi CC9 yang dilancarkan di China tempoh hari.



Ia ibarat mengesahkan keluaran baru dalam siri Android One ini merupakan model pasaran global yang akan membawa nama Mi A3 serta Mi A3 Lite, yang dijenamakan semula dari Mi CC9 dan MI CC9e.



Kicauan dari Twitter Xiaomi pula mengacah tiga ciri utama yang bakal hadir pada Mi A3 iaitu prestasi lebih baik, imbasan cap jari pada paparan, serta kapasiti bateri lebih besar. Xiaomi Sepanyol mengumumkan bahawa peranti ini bakal dilancarkan pada 17 Julai ini.

Sumber: GSMArena