Ketika ini Qualcomm sedang melangsungkan acara Snapdragon Tech Summit 2019 yang mana ia telah dan akan mengumumkan sejumlah teknologi baru. Tidak ketinggalan turut serta dalam acara itu adalah Xiaomi yang turut mengumumkan penggunaan cip terbaru dari Qualcomm.
Tampil dengan nama Snapdragon 865, ia bakal dilengkapkan pada peranti akan datang Xiaomi iaitu Mi 10, menjadikannya salah sebuah telefon pintar terawal yang menggunapakai cip tersebut.
Selain daripada itu, peranti flagship daripada Xiaomi itu juga digambarkan bakal mempunyai keupayaan kamera sama seperti Mi CC9 dan Mi Note 10 iaitu lensa 108MP. Tidak banyak maklumat yang didedahkan berkenaan peranti berkenaan tetapi kita boleh menjangkakan kelengkapan RAM dan storan yang tinggi akan disediakan pengeluar, sesuai dengan status flagship yang dibawa.
Xiaomi juga ada menyatakan jam tangan pintar mereka, Mi Watch akan dipasang dengan modem 5G dan ini bermakna peranti tersebut menjadi jam tangan pintar pertama yang mempunyai kebolehan bersambung dengan rangkaian generasi kelima.
Sumber: Notebook Check