Xiaomi Melancarkan Mi TV Master Dan Extreme Edition, TV 5G Dengan Paparan 120Hz

Sebelum ini, Xiaomi mengumumkan barisan TV baharu mereka yang akan menggunakan panel mini-LED serta menyokong 5G. Semalam, mereka telah pun melancarkan dua TV terbaharu mereka iaitu Mi TV Master dan Mi TV Master Extreme Editions.



Mi TV Master merupakan model yang menggunakan panel biasa dengan resolusi 4K. Manakala, Mi TV Master Extreme Edition adalah TV yang menggunakan panel mini-LED dengan resolusi 8K. Kedua-dua model ini hadir dengan skrin bersaiz 82 inci.



Bagi model 4K, ia menggunakan format warna 93% DCI-P3 dengan kecerahan 1000 nits. Dijanakan cip pemproses MediaTek 9650 dengan RAM 4GB dan storan sebesar 64GB serta dijalankan dengan sistem operasi MIUI TV 3.0.



TV ini sesuai untuk dijadikan paparan permainan kerana ia menyokong kadar segar semula 120Hz serta menyokong Dolby Vision. Ia hadir dengan sambungan HDMI 2.1 dan 240 bahagian kawalan cahaya.



Bagi model Mi TV Master Extreme Editions, TV ini hadir dengan spesifikasi yang lebih baik berbanding model 4K dimana ia menggunakan paparan 8K dengan resolusi 7680x4320.



Ia menggunakan panel mini-LED dengan kecerahan 2000 nits serta menyokong kadar segar semula 120Hz. Selain itu, TV ini menggunakan format warna 98% DCI-P3 dan 960 bahagian kawalan cahaya serta sambungan 5G.

Untuk spesifikasi lain, ia dijanakan cip pemproses Novatek 72685 bersama RAM 4GB dengan storan dalaman 256GB. Didatangkan dengan port HDMI 2.1 dan USB 3.0, TV ini juga mempunyai panel 10 bit, HDR 10 dan Dolby Vision yang mampu memaparkan 1.07 billion warna.

Mi TV

Mi TV Master Extreme Editions dan Mi TV Master hanya dipasarkan di China buat masa sekarang. Ia dijual pada harga Yuan 49,999 (~RM 30, 539) bagi model 8K manakala Yuan 9,999 (~RM 6,107) bagi model 4K dan akan dijual pada 21 Oktober 2020.

Sumber: Notebookcheck