Pada Ogos lalu, Xiaomi telah melancarkan Mi 10 Ultra yang merupakan telefon pintar pertama yang dilengkapi dengan ciri pengecasan pantas 120W. Bagaimanapun, ia hanya terhad untuk pasaran China dan tidak dijual secara rasmi di Malaysia.
Terbaru, laporan dari Digital Chat Station mendedahkan Xiaomi bakal memperkenalkan pengecasan pantas 200W+ pada tahun hadapan.
Ia turut menyatakan 2021 bakal menyaksikan pengeluaran besar-besaran peranti dengan teknologi kamera bawah paparan, serta telefon boleh lipat dengan reka bentuk lipatan dalaman.
Buat masa ini, peranti andalan dari Xiaomi hanya menyokong resolusi Full HD+. Syarikat dari China itu dijangka akan memperkenalkan peranti dengan paparan Quad HD+ pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, Digital Chat Station mendakwa Xiaomi tidak akan melancarkan model baharu Mi MIX pada tahun ini. Ia selari dengan kenyataan CEO Xiaomi sebelum ini yang menjelaskan dengan inovasi baharu yang lebih canggih bakal dihasilkan, ia akan mengambil sedikit masa untuk diperkenalkan.
Sumber: Digital Chat Station via GizmoChina