Xiaomi Mi 10 Ultra Diperkenalkan - Snapdragon 865, Paparan 120Hz, Pengecasan 120W, Dan Zum 120X

Xiaomi hari ini memperkenalkan Mi 10 Ultra bersempena dengan ulang tahun ke-10 syarikat itu. Ia membawakan beberapa teknologi terutamanya dari segi sistem pengecasan dan juga kamera untuk sesebuah peranti pintar.

Paparan peranti berukuran 6.67 inci FHD+ OLED dilengkapi kadar segar semula 120Hz. Seperti model Mi 10 yang lain, skrin melengkung dengan kamera punch-hole disertakan yang memuatkan sensor 20MP.



Menariknya, skrin mempunyai kecerahan sebanyak 800 nit dan mampu dinaikkan maksimum sehingga 1,200 nit. Skrin juga turut menyokong HDR10+.

Xiaomi Mi 10 Ultra dijana cip pemprosesan Snapdragon 865. Agak aneh kerana Xiaomi tidak menggunakan versi 865+ yang lebih berkuasa. RAM sehingga 16GB LPDDR5 dibekalkan manakala storan adalah sehingga 512GB UFS 3.1.

Image

Terdapat sistem penyejukan yang agak hebat pada Mi 10 Ultra dengan penyejukan cecair vapor chamber, lapisan grafit dan grafin serta 8x sensor suhu.

Mi 10 Ultra menggunakan konfigurasi 48MP utama dengan OIS, 20MP sudut lebar juga bertindak sebagai makro, 48MP periskop dengan 120X zum hibrid serta 12MP untuk potret.

Penawaran kamera juga agak manis dengan rakaman 8K serta tambahan autofokus laser dan sensor kelipan.

Image

Apa yang paling mengujakan adalah sistem pengecasan. Buat pertama kalinya dalam industri, Xiaomi menyertakan pengecasan 3 digit 120W pada Mi 10 Ultra yang berkapasiti 4,500mAh.

Dengan kelajuan itu, ia boleh memenuhkan bateri hanya dalam masa 23 minit atau 41% untuk 5 minit. Wow.

Bukan itu sahaja, terdapat pengecasan tanpa wayar pantas 50W, serta tanpa wayar berbalik 10W.

Image

Xiaomi mendakwa teknologi bateri pada Mi 10 Ultra adalah sedikit berlainan kerana ia dari jenis lithium-ion berpandukan grafin. Ini menjadikan bateri lebih tahan dalam jangka masa lama menyebabkan ia kekal 90% walaupun sudah dicas dan nyahcas lebih 800 kali.

Spesifikasi lain peranti termasuklah pengimbas cap jari pada skrin, pemancar inframerah, NFC, pembesar suara stereo, Wi-Fi 6, dan juga rangkaian 5G.

Hanya dijual di China buat masa ini, Mi 10 Ultra dipasarkan bermula harga 5,299 Yuan (~RM3,199). Terdapat juga versi Transparent Edition disamping pilihan warna Obsidian Black dan Mercury Silver.



Rujukan: Mi Blog

Berkaitan