WiFi Rumah Anda Ada Sambungan 2.4GHz Dan 5GHz? Ini Perbezaannya

Anda mungkin menerima router baru selepas menaik taraf perkhidmatan internet. Selesai proses pemasangan dan tetapan, anda perasan terdapat dua sambungan WiFi yang boleh dipilih, 2.4GHz dan 5Ghz.

Mengapa ada dua? Yang mana satu lebih laju dan sesuai digunakan? Mungkin ini antara persoalan yang bermain difikiran.

Kenapa router rumah anda mempunyai 2.4GHz dan 5GHz, tetapi rumah rakan anda hanya mempunyai satu sambungan sahaja? Ia adalah kerana anda menggunakan router dual band, dan router milik rakan anda adalah single band. Kebanyakkan router dipasaran mempunyai sokongan dua band.

2.4GHz dan 5GHz merupakan jalur frekuensi yang terdiri daripada gelombang radio, berfungsi menghantar data dari router kepada peranti mudah alih.

Dua perbezaan utama antara kedua-duanya adalah dari segi capaian (jarak) dan bandwith(kelajuan). 2.4GHz tawarkan capaian yang lebih luas tetapi kadar pemindahan datanya perlahan. Satu lagi frekuensi, iaitu 5GHz lebih laju memindahkan data tetapi capaiannya tidak jauh/besar.



Diatas merupakan gambaran panjang gelombang kedua-dua frekuensi. Gelombang 2.4GHz lebih panjang dan sesuai untuk diakses dari jarak jauh serta transmisinya mampu menembusi dinding dan objek halangan yang lain.

Jalur 2.4GHz digunakan secara meluas, oleh itu ia terdapat sedikit masalah kerana terdapat lain-lain peranti yang menggunakannya. Seperti contoh perkakasan rumah, konsol permainan, pencetak, sistem audio telefon wayar dan banyak lagi.

Ini menjadikan frekuensi ini lebih cepat sibuk akibat terpaksa berkongsi dengan peranti serta perkakasan yang lain.

Bayangkan frekuensi ini sebagai jalanraya, semua kenderaan nak lalu disitu, pasti anda lambat sampai ke destinasi.

Berbeza pula dengan 5GHz, ia kurang sesak kerana tidak banyak peranti dan perkakasan menggunakan frekuensi ini. Oleh kerana gelombangnya pendek, isyarat yang dipancarkan kurang berupaya menembusi dinding dan halangan yang lain, jadi capaiannya lebih agak terhad daripada 2.4GHz. Walaubagaimanapun, ia mampu menghantar data lebih laju.

Seperkara lagi yang perlu anda tahu, kedua-dua frekuensi mempunyai satu jalur kecil yang dipanggil sebagai saluran WiFi. Saluran ini merupakan medium data dihantar dan diterima.

Kapsyen: Kredit foto: How To Geek


Kebiasaannya frekuensi 2.4Ghz mempunyai 11 saluran dan 5GHz mempunyai 45 saluran. Tidak semua saluran sesuai digunakan kerana ia terdapat gangguan.

Gangguan ini kita bahagikan kepada dua iaitu, gangguan Co-Channel dan gangguan Adjacent.

  • C0-Channel – Gangguan terhasil apabila terlalu banyak peranti bersaing untuk berkomunikasi dalam saluran yang sama.

  • Adjacent – Gangguan terjadi apabila peranti dari saluran bertindih cuba "bercakap" antara satu sama lain.


Kapsyen: Kredit foto: Metageek


Saluran yang mempunyai gangguan dari peranti yang lain dikelaskan sebagai sesak. Penghantaran data akan menjadi lebih lama dan itulah sebab masa anda mengakses sambungan menjadi lambat.

Kebanyakkan router memilih saluran WiFi secara automatik dan ia bergantung kepada perkakasan yang anda gunakan.

Jika anda sering mengalami masalah sambungan WiFi, ia mungkin bukan disebabkan router anda rosak tetapi saluran yang sesak.

Untuk pengetahuan, setiap kali anda reboot router, saluran WiFi yang digunakan akan berubah. Itulah antara sebab jika sambungan WiFi perlahan, anda akan disarankan supaya reboot router.

2.4GHz

  • Kelebihan

    • Capaian yang lebih jauh

    • Mampu tembus objek serta halangan dengan lebih baik



  • Keburukan

    • Mudah terdedah kepada gangguan

    • Perlahan dalam penghantaran data




5GHz

  • Kelebihan

    • Lebih laju dalam penghantaran data

    • Kurang terdedah kepada gangguan



  • Kekurangan

    • Jarak capaian yang tidak jauh/besar.

    • Agak sukar menembusi halangan seperti dinding dan lain-lain.




Jadi mana satu yang lebih baik digunakan? Ia bergantung kepada situasi anda disebabkan kedua-duanya mempunyai kelebihan serta kekurang yang tersendiri.

 

Berkaitan