WhatsApp Uji Ciri Kod QR Untuk Mudah Tambah Kenalan

Ketika ini, menambah kenalan untuk menghantar mesej menggunakan WhatsApp, anda memerlukan nombor telefon pengguna tersebut. Namun kini, WhatsApp dilaporkan sedang menguji ciri kod QR bagi memudahkan lagi proses itu.

Ciri kod QR itu telah dikesan berada dalam versi Beta oleh WABetaInfo dan berada pada bahagian tetapan. Ia menyediakan pilihan untuk paparkan kod QR pengguna ataupun fungsi mengimbas kod QR pengguna lain.



Kod QR yang dijana WhatsApp mengandungi ID serta nombor telefon pengguna, jadi sekiranya anda takut individu lain berkongsikan kod itu tanpa kebenaran, ia boleh dibatalkan menerusi tetapan Reset.

Ciri tambahan kenalan pada WhatsApp ini masih lagi dalam versi Beta 2.20.171 dan tidak pasti bilakah ia akan ditawarkan kepada umum. Menerusi kod QR ini, pengguna lebih mudah berkongsi serta menambah kenalan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang menjalankan perniagaan menerusi WhatsApp.