Wahed Invest (Amerika) Didakwa Atas Tuduhan Tidak Telus Dalam Pengurusan Pelaburan Syariah Mereka

KEMASKINI: Wahed Keluar Kenyataan Rasmi, Pelabur Di Malaysia Tiada Kaitan Dan Tidak Terkesan

Wahed Invest merupakan platform pelaburan patuh syariah dan juga merupakan pelaburan penasihat robo pertama secara global.

Hari ini, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak Wahed Invest didakwa mengelirukan pelabur/pengguna serta gagal untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh SEC.

Menurut SEC, pada September 2018 sehingga Julai 2019, Wahed Invest menggunakan duit pelabur mereka untuk menyuntik modal dana Wahed ETF serta tidak melakukan penyeimbangan (rebalancing) secara berkala untuk akaun pelabur seperti yang dijanjikan dalam persetujuan pelabur.

Tambahan, dalam tempoh yang sama juga, Wahed Invest turut melabur dalam ekuiti yang tidak diiktiraf patuh syariah.

Demikian kesalahan yang dinyatakan, Wahed Invest memilih untuk membayar denda sebanyak $300 ribu kepada SEC.

Terlebih dahulu, sebelum membuat apa-apa komen, perlu diingatkan kejadian ini telah pun berlaku pada awal-awal penubuhan Wahed Invest.

Secara kronologi, pelaburan Wahed Invest telah diumumkan pada tahun 2017, dan kemudiannya pada Julai 2019 baru mereka menubuhkan dana untuk Wahed FTSE USA Shariah ETF (HLAL) yang menjejak pelbagai syarikat patuh syariah di Amerika Syarikat.

Sekitar Oktober 2019, barulah Wahed Invest menemui pelabur Malaysia setelah melancarkannya secara rasmi.

Apa-apa pun, kita tunggu sahaja kenyataan rasmi dari pihak Wahed Invest sendiri mengenai perkara ini.

Sumber: SEC