vivo secara rasmi melancarkan vivo X200 Ultra dalam satu acara besar di China, di mana fokus utama model ini adalah pada keupayaan kameranya yang luar biasa, dipacu oleh dua cip ISP, iaitu vivo V3+ dan vivo VS1 yang bersama-sama mengurus pemprosesan imej, penstabilan, dan penajaman untuk hasil fotografi yang premium.
Di bahagian belakang, X200 Ultra menampilkan sistem tiga kamera, kamera utama 50 MP dengan sensor Sony LYT-818, kamera telefoto 200 MP menggunakan sensor Samsung ISOCELL HP9, dan kamera ultra-lebar 50 MP.
Semua kamera menyokong rakaman video 4K hingga 120fps, termasuk 4K 60fps dengan sokongan Dolby Vision. Kamera swafoto pula menggunakan sensor 50 MP.
Satu ciri unik ialah butang fizikal “V” di sisi kanan telefon, boleh disesuaikan sebagai butang pengatup kamera untuk pengalaman seperti kamera profesional.
vivo juga memperkenalkan aksesori khas Photography Set yang merangkumi teleconverter tambahan (hingga 200mm jarak fokal), lensa tambahan, grip kamera dengan bateri 2,300 mAh terbina, dan aksesori sokongan lain tetapi eksklusif untuk model 16GB + 1TB.
X200 Ultra turut hadir dengan cip Snapdragon 8 Elite, RAM hingga 16 GB LPDDR5X Ultra, storan UFS 4.1 sehingga 1 TB, serta skrin 6.82” AMOLED LTPO QHD+ yang menyokong kadar segar semula 120 Hz dan kecerahan puncak 4,500 nits. Baterinya 6,000 mAh dengan pengecasan 90W berwayar dan 40W tanpa wayar. Ia menjalankan OriginOS berasaskan Android 15.
X200 Ultra ditawarkan dalam warna Hitam, Merah dan Putih (edisi Rimowa), dengan harga bermula dari CNY 6,499 (~RM4,300) untuk model asas. Model tertinggi dengan sokongan komunikasi satelit dan Photography Set berharga CNY 9,699 (~RM6,450).
Turut diumumkan ialah vivo X200s, sebuah model lebih kompak dengan bateri besar 6,200 mAh, kapasiti terbesar dalam siri X. Ia menampilkan cip Dimensity 9400+, skrin AMOLED 6.67”, dan sistem kamera 50 MP tiga lensa.
Walau bagaimanapun, kesemua peranti dilancarkan ini terhad di pasaran China sahaja.
{suggest}