Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
vietnam tiktok

Vietnam Kuat Kuasakan Undang-Undang AI Pertama Di Asia Tenggara

Diterbitkan Mac 2, 2026 · Dikemas kini Mac 2, 2026 oleh ariff bukhari

Satu undang-undang yang mengawal selia kecerdasan buatan (AI) mula berkuat kuasa di Vietnam pada Ahad, menjadikannya negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai rangka kerja komprehensif terhadap teknologi yang sedang berkembang pesat itu.

Diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan pada Disember lalu, undang-undang tersebut memberi tumpuan kepada risiko yang dibawa oleh AI generatif, termasuk keperluan pengawasan dan kawalan manusia, selaras dengan pendekatan Akta AI Kesatuan Eropah.

Banyak negara kini berusaha menangani bahaya chatbot dan penjana imej — daripada penyebaran maklumat palsu hingga penyalahgunaan dalam talian serta pelanggaran hak cipta — namun hanya segelintir yang telah menggubal undang-undang khusus.

Perundangan yang berkuat kuasa mulai 1 Mac itu “membuka jalan untuk Vietnam menyelaraskan diri dengan piawaian antarabangsa sambil mengekalkan kedaulatan digital,” menurut laporan kerajaan pada Disember.

Syarikat diwajibkan melabel dengan jelas kandungan yang dijana AI seperti deepfake yang sukar dibezakan daripada realiti.

Mereka juga perlu memaklumkan kepada pelanggan sekiranya interaksi berlaku dengan sistem buatan dan bukannya manusia.

Undang-undang ini terpakai kepada pembangun, penyedia serta pengendali teknologi AI, sama ada organisasi Vietnam atau entiti asing yang beroperasi di negara tersebut.

Vietnam menetapkan sasaran pertumbuhan dua angka yang bercita-cita tinggi untuk lima tahun akan datang, dengan pengembangan ekonomi digital sebagai komponen utama strategi pembangunannya.

AI dan ekonomi data dianggap sebagai “tonggak” model pembangunan baharu yang lebih mampan dan pintar, menurut Perdana Menteri Pham Minh Chinh dalam kenyataan di laman web kerajaan pada Rabu.

Di bawah undang-undang baharu itu, kerajaan akan menubuhkan pusat pengkomputeran AI nasional, memperkukuh sumber data serta membangunkan model bahasa besar dalam bahasa Vietnam.

‘Bukan Kata Putus’

Setakat ini, hanya beberapa negara melaksanakan rangka kerja kawal selia AI yang menyeluruh.

Amerika Syarikat menentang apa yang disifatkan oleh Naib Presiden JD Vance sebagai “peraturan berlebihan”, dengan amaran bahawa ia boleh mengekang inovasi dalam sektor penting itu.

Pada Januari, Korea Selatan menjadi negara pertama yang undang-undang AInya berkuat kuasa sepenuhnya, manakala Kesatuan Eropah sedang melaksanakan peraturan secara berperingkat yang akan terpakai sepenuhnya menjelang 2027.

Walaupun undang-undang Vietnam dianggap sebagai pencapaian penting, penganalisis berkata kesannya bergantung kepada cara kerajaan menguatkuasakan peraturan serta garis panduan pelaksanaannya.

Firma guaman LNT & Partners yang berpangkalan di Vietnam menyifatkan undang-undang itu sebagai “bukan kata putus” sebaliknya satu “titik permulaan yang tegas”.

“Ia menetapkan tanggungjawab, kawalan manusia dan pengurusan risiko sebagai tema utama kawal selia AI,” menurut firma tersebut.

Namun, kesan sebenar bergantung kepada peraturan pelaksanaan, peraturan sektoral dan amalan penguatkuasaan.

Penasihat undang-undang kanan DFDL, Patrick Keil, menyifatkan undang-undang itu sebagai “kenyataan penting mengenai cita-cita nasional”, tetapi menambah bahawa perniagaan masih berdepan ketidakpastian sehingga panduan lanjut dikeluarkan kerajaan.

Dalam satu sidang kemuncak AI di New Delhi pada Februari, 91 negara dan organisasi antarabangsa menyeru pembangunan AI yang “selamat, boleh dipercayai dan kukuh”.

Namun, deklarasi yang ditandatangani oleh Amerika Syarikat dan China itu dikritik oleh aktivis keselamatan AI kerana dianggap terlalu umum untuk benar-benar melindungi orang ramai. – AFP.

Berkaitan

  • Kami Dah Putus Asa “Dera” vivo V60 Lite 5G Ni
  • Jepun Perkenal 'Buddharoid', Robot Sami AI Beri Nasihat Kerohanian
  • Rangkaian Maxis Kini Dipacu Firewall AI Saring Panggilan Suara Dan SMS

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Senarai Penuh Peranti OPPO, OnePlus Dan realme Yang Dijadual Terima Kemas Kini ColorOS 17
  • OPPO Kerjasama Dengan Manus, Bawakan Keupayaan AI Berasaskan Ejen Ke Telefon Pintar
  • TNB Sedang Teroka Potensi Tenaga Angin Di Sabah
  • MR D.I.Y. Perkenal 13 Perkakas Rumah Baharu, Harga Bermula RM27.90
  • OPPO Perkenal ColorOS 17 Secara Global - Bawa Ciri AI Baharu, Prestasi Lebih Lancar, Keselamatan Dipertingkatkan
  • 3 Headphone ANC Bawah RM100
  • Kos DRAM Dan Storan SSD Kini Sumbang Hampir 40% Harga Sebuah PC
  • NEXAL Rasmi Dilancarkan Di Malaysia, Perkenal Tablet NEXAL Pad Berharga RM1,099
©2026 WISER.MY