Video YouTube yang memainkan bunyi rendah untuk menggetarkan air daripada pembesar suara, sebenarnya berfungsi, menurut David Pierce dari The Verge dan iFixit.
Video yang dimaksudkan, bertajuk “Sound To Remove Water From Phone Speaker (GUARANTEED)”, telah mencatatkan kira-kira 45 juta tontonan dan lebih 140,000 komen dalam tempoh empat tahun.
Untuk lebih jelas, Pierce pada awal tahun ini telah memainkan video berkenaan pada telefon yang dimasuki air, dan menariknya, langkah itu berhasil. Bagaimanapun, ia menimbulkan persoalan sama ada video itu benar-benar berfungsi.
Ia kemudiannya bertanya kepada pembuat telefon, tetapi tidak menemui jawapan menarik daripada Apple, Google atau Samsung, selain menunjukkan halaman sokongan “apa yang perlu dilakukan jika telefon anda basah”. Walaupun begitu, beberapa pihak menunjukkan bahawa mereka berfikir teori mengenai video itu kelihatan cukup munasabah.
Teori penolakan udara
Teorinya begini – semua yang dilakukan oleh pembesar suara ialah menolak udara di sekeliling, dan jika pengguna boleh membuatnya menolak udara yang mencukupi, dengan daya yang mencukupi, titisan cecair akan keluar dari tempat tersebut. Pengarah Kanan Penyelidikan Bose berkata,
Nada paling rendah yang boleh dikeluarkan oleh pembesar suara itu, pada tahap paling kuat yang boleh dimainkannya. Itu akan menghasilkan pergerakan udara yang paling banyak, yang akan menolak air yang terperangkap di dalam telefon. Jadi video YouTube itu, ia bukan, seperti, bass yang sangat dalam. Tetapi ia berada dalam julat rendah di mana telefon boleh membuat bunyi.
Ujian iFixit
Bagi menyelesaikan “misteri” video itu, Pierce juga telah menghubungi iFixit. Carsten Frauenheim, seorang jurutera kebolehbaikan di syarikat itu berkata “ia hanyalah nada tertentu yang menolak air keluar dari jeriji pembesar suara”.
Syarikat itu juga telah melakukan ujian dengan mencelupkan empat telefon, iaitu iPhone 13, Pixel 7 Pro, Pixel 3 dan Nokia 7.1. Setiap telefon dimasukkan ke dalam air dengan pewarna UV selama kira-kira seminit, mengeluarkannya, memainkan video dan membiarkan semalaman untuk kering.
Mengenai peranan video YouTube itu, buktinya agak jelas dan berkesan. Semasa memainkan video pada setiap telefon, ia serta-merta mengeluarkan titisan cecair.
Walaupun begitu, ia bukanlah penyelesaian lengkap kepada telefon yang dimasuki air, dan sebaliknya hanya terhad kepada pembesar suara. Bermakna, jika telefon dimasuki air pada bahagian port USB, slot SIM atau di bawah butang, video tersebut tidak akan membantu.
{suggest}
Sumber: The Verge