Roket Eris-1, roket pertama yang dibina sepenuhnya oleh syarikat Australia, Gilmour Space Technologies , terhempas hanya 14 saat selepas berlepas dari Bowen Orbital Spaceport, Queensland.
Ini merupakan cubaan pertama Australia untuk melancarkan roket ke orbit sejak tahun 1971.
Roket setinggi 23 meter dan seberat 30 tan itu, dikuasakan oleh teknologi pendorong hibrid baru.
Ia berjaya dilancarkan yang dilihat berlepas seperti biasa, namun tidak lama kemudian ia mula hilang kawalan, tersasar ke sisi dan jatuh kembali ke bumi sebelum meletup dan terbakar.
Tiada letupan besar berlaku, dan tiada kecederaan atau kesan alam sekitar dilaporkan. Punca kegagalan roket itu meneruskan misi masih belum didedahkan setakat ini.
Walaupun misi itu gagal mencapai orbit, Gilmour Space menyifatkan ia sebagai satu kejayaan besar dan langkah penting ke hadapan, memandangkan pelancaran roket sulung biasanya sering gagal melepasi tapak pelancaran.
“Ruang angkasa adalah sukar. SpaceX, Rocket Lab dan lain-lain memerlukan beberapa penerbangan ujian untuk mencapai orbit. Kami telah belajar banyak yang akan terus digunakan untuk memperbaiki roket kami yang seterusnya, yang sudah dalam proses pengeluaran.” Adam Gilmour, CEO Gilmour Space Technologies.
https://x.com/GilmourSpace/status/1950350700728504527
Roket Eris direka untuk menghantar muatan sehingga 300 kilogram ke orbit rendah Bumi, termasuk satelit komunikasi kecil yang turut dibangunkan oleh syarikat tersebut.
Walaupun tarikh pelancaran seterusnya masih belum diumumkan, Gilmour Space memaklumkan mereka dari sekarang akan menyemak data penerbangan dan ambil pengajaran daripada insiden ini kepada roket Eris berikutnya yang dirancang untuk dilancarkan sekali lagi dalam tempoh 6 hingga 8 bulan akan datang.