Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuhkan lagi peranannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan inovasi apabila melancarkan Mesin Pengimbas Bagasi Mini, sebuah inovasi berasaskan teknologi pengimejan.
Pembangunan mesin ini adalah hasil projek penyelidikan yang diterajui oleh Prof. Dr. Mohd Shafry dengan kerjasama rakan strategik industri, Billion Prima Sdn. Bhd.
Teknologi ini diadaptasi daripada sistem pengimbasan keselamatan lapangan terbang yang diubah suai bagi tujuan pemeriksaan hasil pertanian, khususnya buah durian, tanpa merosakkan struktur fizikalnya.

Mesin tersebut menggunakan teknologi sinar-X berasaskan karbon nanotube yang membolehkan pengambilan imej dari pelbagai sudut secara pantas.
Berbanding mesin CT perubatan konvensional yang memerlukan komponen berputar pada kelajuan tinggi, sistem ini bersaiz lebih kecil, lebih stabil dan sesuai digunakan dalam persekitaran penyelidikan makmal.
Proses pengimbasan melibatkan dua tahap tenaga sinar-X, iaitu tenaga rendah dan tenaga tinggi, bagi meningkatkan kejelasan struktur dalaman buah.

Setiap proses pengimbasan menghasilkan imej tiga dimensi yang lengkap dalam tempoh kira-kira 30 saat, merangkumi pengimejan dan pembinaan semula imej.
Imej ini kemudiannya digunakan untuk menganalisis struktur dalaman durian seperti bilangan dan saiz biji tanpa menjejaskan keadaan fizikal buah.
UTM menyatakan, pembangunan Mesin Pengimbas Bagasi Mini ini dilihat berpotensi menangani isu penolakan durian eksport yang sering dihadapi pengusaha tempatan, khususnya bagi pasaran berkeperluan ketat seperti China.
Teknologi ini membolehkan pematuhan spesifikasi kualiti dilakukan lebih awal sebelum penghantaran, sekali gus mengurangkan risiko kerugian kewangan dan meningkatkan kecekapan rantaian eksport hasil pertanian negara.
UTM memaklumkan bahawa mereka kini sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan teknologi ini dapat digunakan secara rasmi dalam proses pensijilan eksport.
{suggest}
