Siri Xiaomi Redmi Note 10 adalah merupakan pertaruhan terkini Xiaomi dalam kelas pertengahan bajet dan pengganti kepada siri Redmi Note 9 tahun lepas.
Jika pada siri Redmi Note 9, Xiaomi Malaysia memperkenalkan 3 model. Namun untuk pasaran tempatan, hanya 2 model utama sahaja yang dibawa masuk untuk siri Redmi Note 10 iaitu Redmi Note 10 dan Redmi Note 10 Pro.
Yang paling menarik sudah tentunya Redmi Note 10 Pro yang didatangkan dengan ciri AMOLED 120Hz, pembesar suara stereo, kamera 108MP, dan rekaan serba baharu.
Apa yang lagi menyeronokkan adalah dengan ciri sebegitu harga jualan Redmi Note 10 Pro masih sama lagi ketika Redmi Note 9 Pro dilancarkan iaitu RM999.
Sememangnya agak mengujakan kerana Xiaomi adalah yang pertama cuba untuk memecahkan ciri dan spesifikasi paling berbaloi dengan harganya.
Dengan harga yang rendah ini, sudah tentu ia sangat mudah untuk dimiliki oleh ramai pengguna dan dengan harga jualannya juga, lebih ramai akan diperkenalkan dengan ciri seperti AMOLED FHD dan pembesar suara.
Dua ciri ini sebelum ini memang sudah mesra dengan harga telefon lebih mahal, jadi membawanya kepada kategori kelas pertengahan bajet semestinya menggembirakan ramai pihak.
Dengan Redmi Note 10 Pro di tangan, saya sudah menguji telefon ini digunakan secara seharian. Teruskan membaca untuk mengetahui pengalaman saya menggunakannya.
Spesifikasi
- Dimensi: (164 x 76.5 x 8.1) mm, 193g
- Skrin: AMOLED, 6.81 inci (1080 x 2400), 20:9, 120Hz, HDR10
- Cip pemprosesan: 8nm Snapdragon 732G (Adreno 618)
- Memori: RAM 8GB, Storan 128GB (UFS 2.2)
- 4 kamera belakang: 108MP(f/1.9) Utama + 8MP(f/2.2) Sudut Lebar + 5MP(f/2.4) Telemakro + 2MP(f/2.4) Depth
- Swafoto: 16MP(f/2.5)
- Bateri: 5,020mAh (USB Type-C) dengan 33W
- Perisian: MIUI 12.0 berasaskan Android 11
- Varian: 6GB,128GB: RM999 / 8GB,128GB: RM1,099
Pegangan Di Tangan
Kewujudan Redmi Note 10 Pro sebenarnya nampak lebih dekat kepada POCO X3 NFC yang merupakan telefon dalam kategori sama iaitu pertengahan bajet.
Akan tetapi implementasi Xiaomi dalam menghasilkan Redmi Note 10 Pro sangat berbeza dari POCO X3 NFC.
Ini adalah kerana Note 10 Pro mempunyai rekaan lebih elegan dan sedap mata memandang berbanding POCO X3 NFC secara keseluruhan.
Bingkai sisi Note 10 Pro masih lagi mempunyai rekaan plastik namun dilihat pada panel kaca belakangnya, ia diberikan layanan persis sebuah telefon lebih premium terutamanya modul kamera lebih kemas, teratur dan kemasan ala-ala telefon mahal.
Xiaomi tidak meletakkan pengimbas cap jari pada skrin walaupun ia dari AMOLED tetapi menyertakan sensor itu pada bahagian sisi kerana mahu menjimatkan kos. Pengimbas cap jari ini berfungsi dengan sangat baik dan juga pantas.
Melalui siri Redmi Note 10, Xiaomi meletakkan pembesar suara Stereo. Kualiti pembesar suara ini adalah sangat baik untuk harganya. Ia agak lantang dengan fokus kepada treble namun bass dirasakan sedikit kurang. Ia tidak setaraf seperti sebuah telefon andalan, tetapi jauh lebih baik dari hanya sekadar pembesar suara mono.
Memang jauh bezanya dengan POCO X3 NFC kerana bahagian belakang POCO X3 lebih menakutkan dengan bonggol kamera sebesar alam dan kemasan seperti kebudak-budakan.
Perletakan perkataan “ULTRA” dan “PREMIUM” pada modul kamera belakangnya dirasakan tidak perlu pun, tetapi selain dari itu, rekaan pada Redmi Note 10 Pro sememangnya perlu diberikan kredit.
Apa yang saya perasan, Redmi Note 10 Pro adalah lebih ringan dan nipis di tangan berbanding POCO X3 NFC terdahulu. Ini menjadikan pengalaman menggunakannya lebih selesa kerana beban yang berkurang.
Skrin FHD AMOLED 120Hz
Melihat paparan skrin, tidak salah lagi ini merupakan kelas pertengahan kerana saiz bezel yang tidak senipis mana.
Tetapi, itu bukan perkara yang perlu dikisahkan mengenai harganya yang mampu milik.
Dengan harga RM999, Redmi Note 10 Pro adalah telefon pertama dengan panel ala-ala kelas andalan dengan ciri 120Hz AMOLED FHD.
Saiz paparan ini sama sahaja seperti Redmi Note 9 Pro sebelum ini berkeluasan 6.67 inci namun dengan kecerahan maksimum lebih tinggi 1,200 nits.
Lubang kamera swafoto hadapan juga boleh dikatakan agak kecil memberi rupa paras yang lebih kemas.
Menggunakan Redmi Note 10 Pro di bawah cahaya matahari lebih mudah dilihat dan sebenarnya hampir menyaingi pengalaman melihat paparan pada sebuah telefon andalan lebih mahal.
Panel AMOLED yang digunakan masih lagi sebuah panel yang bagus dengan warna yang hidup. Ia tidaklah sebagus AMOLED kelas andalan kerana masih memaparkan sedikit perubahan warna apabila disengetkan.
Note 10 Pro menyokong kandungan sehingga HDR10. Apa yang saya perasan warna tiba-tiba berubah dari warna asal. Saya mendapati Redmi Note 10 Pro akan bertukar kepada skema warna HDR jika terdapat ia memainkan kandungan itu.
Untuk pengalaman 120Hznya, tiada tetapan untuk membolehkan pengguna mengubah skrin secara dinamik antara 60Hz dan 120Hz.
Kelajuan 120Hz memang boleh terasa dengan animasi penuh ketika menavigasi telefon. Serius memang tidak terfikir dengan harga RM999 kita akan mendapat sebuah telefon dengan pengalaman AMOLED siap 120Hz pada masa sekarang ini.
Antaramuka Dan Perisian
Redmi Note 10 Pro menjalankan MIUI 12 berasaskan Android 11. Antaramuka ini adalah sedikit berat dan jauh berbeza dari Android asli namun ia masih dirasakan laju seiring dengan paparan 120Hznya.
Terdapat banyak fungsi dan juga pengubahsuaian seperti stail Control Centre. Pengguna boleh memilih sama ada untuk menggunakan stail lama atau baharu. Stail baharu adalah cara yang sama digunakan pada iPhone dengan takuk iaitu tatal bahagian kiri untuk notifikasi manakala bahagian kanan untuk Quick Setting.
MIUI 12 juga mempunyai ciri Floating Windows yang mana sesebuah aplikasi boleh dibuka secara terus di atas satu aplikasi lain.
Pengguna juga boleh memilih untuk menggunakan App Drawer atau tidak, mengubah saiz ikon, grid paparan jumlah aplikasi di Home Screen.
Jika anda tidak suka dengan gaya MIUI mengendalikan menu multitasking iaitu secara bertingkat, anda boleh mengubahnya kepada gaya biasa. Pengguna juga mempunyai pilihan untuk menggunakan Google Discover pada Home Screen.
Sepertimana telefon Xiaomi lain, pelbagai tema dan gambar latar boleh diubah melalui gedung yang disediakan.
Antara fungsi khusus menarik lain adalah Game Turbo iaitu perisian khas memantau prestasi permainan ketika bermain dan Video Toolbox perisian untuk efek khas dan ciri main balik video.
Sepanjang menggunakan Redmi Note 10 Pro, saya hanya perasan ada satu sahaja iklan muncul tiba-tiba di notifikasi. Umum mengetahui iklan adalah merupakan cara Xiaomi menjana pendapatan disebabkan telefon mereka dijual pada harga rendah.
Jika anda merasakan iklan ini menyemak, anda boleh menyahaktifkannya sahaja di Settings melalui Settings > Passwords & security > Authorisation & revocation > Nyahaktif msa.
Nama panjang msa adalah MIUI System Ads jadi seperti namanya, modul ini adalah yang bertanggungjawab mewujudkan iklan dalam telefon anda.
Prestasi, Penggunaan Dan Bermain Permainan
Redmi Note 10 Pro dijana oleh Snapdragon 732G yang merupakan cip sama terdapat pada POCO X3 NFC. Atas kertas, prestasi CPU cip ini adalah sama sahaja dengan Snapdragon 720G pada Redmi Note 9 Pro.
Naik taraf Snapdragon 732G adalah dari segi GPU, sedikit lebih berkuasa dari Snapdragon 720G. Sedikit kuasa lebihan ini sudah tentu cukup membantu disebabkan panel yang digunakan 120Hz Redmi Note 10 Pro adalah lebih berkuasa dari 60Hz Redmi Note 9 Pro.
Saya tidak dapat menguji beberapa aplikasi ukur aras prestasi seperti Geekbench dan 3DMark kerana masalah teknikal kecuali markah AnTuTu yang diperoleh iaitu263,805.
Menerusi prestasi permainan. Note 10 Pro boleh memainkan League of Legends: Wild Rift dan Mobile Legends: Bang Bang pada kualiti grafik tertinggi 60fps tanpa masalah.
Pada PUBG Mobile, saya mendapati pilihan hanya terhad pada Smooth Ultra dan HD High sahaja. Tiada pilihan fps Extreme ataupun grafik HDR buat masa ini. FPS paling tinggi boleh dicapai adalah sekitar 42fps.
Untuk Call of Duty Mobile pula, anda boleh memainkan tetapan 60fps melalui kedua-dua pilihan grafik Very High atau Max.
Genshin Impact menerusi tetapan kesemua rendah dan 60fps, purata fps adalah sekitar 43fps namun ia tidak menentu. Boleh mencapai 57fps pada kawasan lapang namun boleh menjunam kepada 20fps jika terlalu banyak aksi dalam skrin.
Sepanjang sesi bermain, telefon tidak dirasakan panas melampau-lampau. Jadi memang sesuai sangatlah telefon ini untuk dibuat sebagai telefon gaming bajet.
Jika melihat di media sosial, ramai pengguna telefon Xiaomi terutamanya kelas bajet dan pertengahan melaporkan masalah penerimaan data atau rangkaian yang lemah.
Sepanjang menggunakan Redmi Note 10 Pro ini, saya boleh menyimpulkan secara keseluruhan prestasi rangkaian adalah baik. Membuat panggilan atau menggunakan aplikasi GPS, serta Wi-Fi masih lagi elok dan manakala menggunakannya di kawasan lapangan tidak mendatangkan masalah.
Pun begitu, terdapat satu pengalaman tidak elok apabila telefon ini dirasakan perlahan apabila saya cuba untuk melayari internet dalam pusat membeli-belah IOI City Mall Putrajaya.
Ada antara aplikasi juga memerlukan pengguna untuk Force Close dan membukanya kembali jika mahu menggunakan internet.
Ini memberikan pengalaman memalukan apabila terpaksa Force Close MySejahtera ketika beratur sambil dipandang ramai orang. Bukan sekali, tetapi 2 kali. Disebabkan tidak mahu isu ini berulang banyak kali, saya akan memastikan aplikasi tersebut Force Close dahulu sebelum menggunakannya seperti biasa.
Lebih parah lagi apabila aras Lower Ground tidak dapat memaparkan data, dan tidak boleh membuat panggilan.
Saya tidak menjangka perkara ini akan terjadi kerana sebelum-sebelum ini tidak pernah terjadi lagi isu sebegini pada telefon saya lain.
Sudah tentu ia mengecewakan kerana apabila terputus hubungan dan tidak boleh membuat panggilan. Ia akan menyukarkan anda jika mahu berkomunikasi dengan kenalan lain terutamanya apabila dalam kesusahan.
Saya cuba untuk mereplikasikan pengalaman ini dalam sebuah set data dengan membandingkan dengan telefon lain namun ia dirasakan tidak terlalu tepat kerana banyak pemboleh ubah manipulasi.
Pusat membeli-belah IOI itu sering kali juga dihadiri namun apabila menggunakan Redmi Note 10 Pro barulah masalah itu muncul.
Saya berharap ia hanya sekadar masalah perisian dan boleh diperbaiki pada masa akan datang.
Kamera 108MP Beraksi
Salah satu perkara yang saya jangka telefon ini bahagian kekurangannya adalah pada kamera.
Pun begitu, saya merasakan seperti ditampar sekuat hati oleh realiti sebenar kamera Redmi Note 10 Pro kerana ia sangat baik pada harganya.
Terdapat 5 lensa kamera kesemuanya pada Note 10 Pro. 4 belakang 1 hadapan iaitu:
- Utama: 108MP, f/1.9, 0.7μm
- Sudut Lebar: 8MP, 118 darjah, f/2.2, 1.12μm
- Telemakro: 5MP, f/2.4
- Depth: 2MP, f/2.4
- Swafoto: 16MP, f/2.5
Keperincian gambar sememangnya boleh dipuji. Warna gambar adalah kearah sedikit pekat dan boleh dilihat terutamanya warna hijau atau merah. HDR agak baik, pada harga ini saya tidak menjangkakan prestasi HDR yang sangat bagus, namun Note 10 Pro ternyata tidak mengecewakan saya.
Pada waktu malam, saya fikir kamera akan menjadi teruk, namun sekali lagi ditampar oleh Note 10 Pro. Waktu malam memang hingar lebih kelihatan namun dari segi butiran, ia agak tajam dan pengawalan cahaya juga amat baik.
Penggunaan Night Mode hanya ada pada kamera 108MP utama sahaja. Tiada Night Mode untuk lensa sudut lebar.
Warna tona kulit kadang kala sedikit pudar terutamanya untuk pencayahaan indoor dan elemen smoothening agak ketara dilihat.
Untuk kamera telemakronya, ia didatangkan dengan lensa telefoto. Gambar 5MP yang terhasil kebiasaanya baik namun hanya pada situasi pencahayaan yang terang sahaja.
Video yang boleh dirakam maksimum adalah 4K 30fps ataupun 1080p 60fps. Jika anda mahukan penstabilan elektronik, ia hanya ada pada mod 1080p 30fps.
Redmi Note 10 Pro tiada OIS, jadi penstabilan sedikit kurang. Namun lain-lain aspek seperti hingar, butiran, warna dan kontras adalah sangat baik.
Bateri Dan Pengecasan
Redmi Note 10 Pro dikuasakan kapasiti bateri 5,020mAh, sedikit lebih besar dari Redmi Note 10 biasa dengan 5,020mAh.
Melalui kapasiti bateri besar ini, screen-on-time (SOT) yang sama dapat adalah sekitar 6 jam. Boleh sahaja berkurang atau lebih dari ini bergantung kepada bagaimana anda menggunakan telefon.
Pengecasan sebenarnya dinaik taraf dari 30W sebelum ini kepada 33W. Mengecas penuh telefon mengambil masa dari 0% ke 100% mengambil masa sekitar 1 jam 20 minit.
Rumusan
Siri Redmi Note sekali lagi berjaya menambat hati pengguna melalui penengahan teknologi dan ciri baharu. Kali ini versi Pro untuk siri Note 10 ini lebih menarik untuk dimiliki kerana penambahan ciri premium iaitu 120Hz AMOLED, pembesar suara stereo, dan juga kamera utama 108MP.
Pada harga RM999 sukar untuk anda tidak berhenti duduk dan mengamati sendiri spesifikasi yang ditawarkan pada Redmi Note 10 Pro ini. Saya akui prestasi rangkaian data agak meragukan, namun kebanyakan masanya ia tidak mendatangkan masalah besar.
Saya harap masalah tersebut akan diperkemaskini pada masa akan datang kerana jika diikutkan, tiada kelemahan langsung untuk telefon ini pada harganya secara keseluruhan.
Kelebihan
- Skrin AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz
- Pembesar suara stereo
- Rekaan nampak lebih matang dan kemas
- Kamera 108MP yang berkemampuan dengan butiran yang cukup sifat
- Prestasi gambar malam sangat baik
- Tiada kepanasan ditemui ketika menguji telefon
- Fizikal lebih nipis dan ringan dari model sebelumnya
Kekurangan
- Prestasi rangkaian yang sedikit meragukan