Xiaomi mula membawa model mereka ke arena telefon mercu sebenar dengan memperkenalkan siri Xiaomi Mi 10 pada awal tahun dan melengkapkan perjalanan “flagship 2020″ dengan Mi 10 Ultra pula pada penghujungnya.
Lembaran 2021 pula dibuka, Xiaomi kini telah memperkenalkan Mi 11 selaku telefon pertama mereka di Malaysia dengan Snapdragon 888. Dengan harga tidak mencecah RM3,000 ia boleh dikatakan sangat menarik kerana rata-rata telefon lain dengan cip lama dijual pada harga lebih dari itu.
Tidak disangkal ini merupakan telefon paling terbaik dari Xiaomi jika dilihat dari spesifikasinya, namun adakah segala komponen baharu dan kuasa yang dilengkapkan ini mampu memberikan sebuah pengalaman telefon premium?
Teruskan membaca.
Spesifikasi
- Dimensi: (164.3 x 74.6 x 8.1)mm, 196g
- Skrin: AMOLED, 6.81 inci (1440 x 3200), 20:9, 120Hz, HDR10+
- Cip pemprosesan: 5nm Snapdragon 888 (Adreno 660)
- Memori: RAM 8GB, Storan 128GB (UFS 3.1)
- 4 kamera belakang: 108MP(f/1.9) Utama + 13MP(f/2.4) Sudut Lebar + 5MP(f/2.4) Telemakro
- Swafoto: 20MP(f/2.2)
- Bateri: 4,600mAh (USB Type-C) dengan 55W GaN, Tanpa Wayar 50W, Tanpa Wayar Berbalik 10W
- Perisian: MIUI 12.0 berasaskan Android 11
- Varian: 8GB,128GB: RM2799 / 8GB,256GB: RM2999
Jangan Risau, Masih Lagi Ada Pengecas
Mungkin ada yang takut bahawa set rasmi Malaysia akan tidak mempunyai pengecas sepertimana set di negara China. Jangan risau kerana tengok kotak tebal ini pun dah tahu memang akan ada pengecas.
Di dalam kotak, set Xiaomi Mi 11 masih lagi disertakan dengan pengecas berkuasa 55W yang sama juga boleh didapati pada set global telefon ini. Pengecas ini sebenarnya merupakan dari jenis GaN walaupun tiada label “GaN” padanya.
Selain pengecas, sebuah sarung pelindung lembut TPU anti-bakteria turut disertakan. Sarung pelindung ini walau bagaimanapun masih tidak melindungi bonggol kamera Mi 11.
Melihatkan pengecasnya yang mempunyai sambungan jenis A sedikit mengecewakan kerana ini bermaksud ia tidak menyokong protokol USB-PD jika mahu digunakan untuk mengecas telefon selain Mi 11 ini.
Dalam set jualan rasmi Malaysia, ia turut disertakan dengan penyesuai USB-C kepada 3.5mm namun tidak disertakan dalam unit ulasan kami.
Premium Dalam Pakej Nipis Dan Ringan
Kali pertama memegang dan menggenggamnya selesai membuka kotak, telefon ini dirasakan agak ringan dan nipis. Melihat kepada butiran spesifikasi mengiyakan fizikal 196g dan 8.1mmnya yang tidak seberat dan setebal rata-rata telefon mercu yang lain.
Walaupun begitu, elemen premium tetap dapat dirasai dengan kemasan matte dan juga bingkai aluminium mengelilingi telefon.
Untuk pengguna skrin rata, Mi 11 mungkin mengecewakan anda kerana menggunakan skrin melengkung. Menurut Xiaomi, skrin melengkung digunakan adalah kerana untuk memberi genggaman lebih ergonomik, sedap, dan juga selesa.
Bahagian atas, anda akan melihat kelibat label Sound by Harman Kardon yang mana pembesar suara stereo Mi 11 ini telah diharmonikan oleh jenama audio premium itu.
Kualiti audio yang dikeluarkan oleh pasangan pembesar suara ini sangat menggagumkan. Bunyi pada tahap tertinggi masih lagi enak dan kurang distortion. Sememangnya boleh bersaing dengan kualiti audio dari jenama telefon gaming lain.
Pemancar inframerah pun turut sama diletakkan pada atasnya yang sangat berguna untuk golongan yang tidak rajin bangun dari kerusi untuk menukar suhu pendingin hawa.
Bahagian bawah pula menampilkan satu lagi pembesar suara, yang mana menariknya grilnya direka mengecil pada bahagian tepi. Xiaomi memanggilnya sebagai rekaan gelombang untuk meninggikan lagi aspek aestatik fizikal telefon ini.
Seperti yang diperlihatkan, ia mempunyai bahagian atas dan bawah yang rata. Sudah tentu ini sangat digemari para jurugambar dan juruvideo kerana memudahkan tangkapan gambar/video untuk didirikan tanpa perlu menyandarnya pada benda lain.
Xiaomi Mi 11 menggunakan rekaan modul kamera baharu kali ini dengan 3 tingkat lapisan kaca yang jauh berbeza dengan rekaan menegak tahun lepas.
Saya lebih berminat dengan warna Horizon Blue yang lebih ceria tetapi dapat warna Midnight Gray ni pun cantik juga sebenarnya. Kemasan matte tersebut tidaklah menghindarkan cap jari sepenuhnya. Anda masih boleh melihat kotoran, minyak, dan jap cari, namun ia tidaklah sejelas seperti kemasan glossy.
Xiaomi Mi 11 terasa sangat selesa untuk digenggam kerana fizikalnya ringan dan nipis. Panel belakang matte ini juga turut membantu disebabkan genggaman kukuh ketika memegang dan tidak licin.
Skrin Yang Buatkan Galaxy S21 Ultra Rasa Tercabar
Pada Galaxy S21 Ultra yang diulas sebelum ini, ia adalah antara merupakan skrin terbaik pernah dilihat untuk telefon pintar. Tetapi, nak dapatkan skrin sebegitu, harganya memang mahal.
Kehadiran Xiaomi Mi 11 dalam pasaran adalah sesuatu yang menarik kerana ia mampu menggapai kalibrasi skrin setinggi teknologi Samsung namun dengan harga yang jauh lebih murah.
Kedua-duanya juga berkongsikan spesifikasi dan teknologi skrin yang sama iaitu:
- Resolusi QHD 120Hz
- 1,500 kecerahan maksimum
- Paparan AMOLED
Tetapi bukan kesemuanya sama, Xiaomi Mi 11 mempunyai beberapa kelebihan utama berbanding S21 Ultra seperti input sentuh setinggi 480Hz serta yang paling menarik adalah panel warna 10 bit.
Skrin Mi 11 mampu beraksi di bawah cahaya matahari dengan cemerlang. Dengan warna 10 bit tersebut, Mi 11 boleh mempamerkan lebih banyak spektrum warna yang sudah tentu akan dihargai oleh para penyunting Lightroom Mobile.
Pada S21 Ultra terdahulu pun saya sememangnya tiada keluhan kerana ia merupakan sebuah skrin pada tanda aras yang tinggi. Mi 11 membawanya kepada satu tahap lebih lagi dengan beberapa penambahan teknologi lain.
Namun, keluhan mula terkeluar tanpa diminta mengingatkan ia bukannya skrin rata menjadikan kandungan yang berhampiran sisi skrin sukar untuk ditekan. Jari saya tidaklah terlalu besar yang menyebabkan sentuhan pada sisi skrin secara tidak sengaja kerap terjadi.
Dalam Settings, memang sudah ada tetapan khas untuk memperbaiki isu sentuhan tidak sengaja ini namun apa yang lebih jelas, cara memperbaiki yang terbaik adalah dengan tidak mewujudkan skrin melengkung ini pada mulanya.
Tidak dinafikan ia membantu genggaman agar lebih mencengkam di jari, tetapi saya tidak rasa alasan ini cukup relevan kerana skrin rata bukannya tak boleh digenggam dengan kemas langsung.
Skrin melengkung ini juga membawa kepada satu permasalahan lain iaitu bezel skrin yang tidak sekata jika dilihat dari hadapan. Akibat daripada bezel atas, bawah serta sisi yang nampak sedikit nipis dari penjuru skrin, ia kelihatan jambul yang terkeluar dari 4 arah setiap bucu skrin ini.
Seterusnya disebabkan lengkungan ini juga, mana-mana pelindung skrin yang tidak berkredibiliti akan mengasarkan pengalaman penggunaan gestur. Nampaknya kena beli yang skrin pelindung yang mahal baru dapat jenis yang elok tutup kesemua lengkung.
Ketika menggunakan S21 Ultra, saya begitu sukakan pengimbas cap jari ultrasonik kerana ia boleh mengimbas hanya dengan tap sahaja. Ia jauh berbeza dengan Mi 11 yang bergantung dengan pengimbas optikal.
Sebagai penanda aras, pengimbas pada Mi 11 adalah pantas untuk sebuah teknologi optikal, tetapi untuk si berjari sejuk, anda mungkin perlu menekannya kuat untuk sensor mengesan cap jari anda.
Makluman kepada pembaca, buat masa ini ciri pengimbas nadi masih lagi belum tersedia pada Mi 11 namun akan tiba pada masa selanjutnya. Sehubungan dengan itu, kami tidak berpeluang untuk menguji ciri ini yang sudahpun ada untuk pasaran global.
Untuk kualiti keseluruhan skrin, ini adalah antara yang terbaik dalam pasaran, baik segi warna, kecerahan, kadar segar semula, kepantasan input, dan ketajamannya.
Disebabkan ia terlalu bagus, terserlah kesalahan yang ketara dan jelas iaitu skrin melengkungnya. Lengkungannya ini nasib baik tidak seekstrem pada Huawei Mate 40 Pro, yang mana masih lagi boleh dibawa berbincang.
Untuk sesetengah pengguna lain yang tidak mempunyai masalah dengan skrin begini, memang sudah tidak ada perkara lain lagi yang akan mengecewakan anda kerana lengkungan itulah satu-satunya isu untuk kebanyakan pengguna.
Snapdragon 888 Pemegang Takhta Cip Terpantas Android
Memegang status sebagai telefon pertama dengan Snapdragon 888 di Malaysia, Xiaomi Mi 11 turut membawa air muka Qualcomm bersama-sama mereka.
Pelbagai ulasan diperolehi dari internet mengatakan Snapdragon 888 seorang yang panas baran, pantang ditegur, melentinglah beliau.
Jadi dengan Xiaomi Mi 11 yang sudah berada di tangan, ujian ukur aras prestasi dari Geekbench 5 dan juga AnTuTu mendapati ia lebih berkuasa dari Exynos 2100 S21 Ultra sebelum ini.
Jika dibandingkan, CPU pada Snapdragon 888 adalah sekitar 20% lebih laju dari Snapdragon 865+ dari segi teras tunggal dan juga 10% untuk multi-teras.
Walaupun sudah dijangka belum setanding A14 Bionic pada siri iPhone 12, percubaan wakil rumah sukan Android ini tetap perlu dibanggakan.
Untuk prestasi grafik, ujian 3DMark Wild Rife, skor yang diperolehi adalah 5769 dengan purata 34.50fps.
Penggunaan Mi 11 Seharian
Melalui penggunaan beberapa hari, Xiaomi Mi 11 dirasakan sangat responsif dan lancar menerusi antara mukanya.
Ditambah lagi dengan resolusi QHD pada kadar segar semula 120Hz, serius ini merupakan pengalaman navigasi telefon paling memuaskan di atas muka bumi.
Saya pada sesuatu ketika ada juga berfikiran QHD 120Hz pada S21 Ultra lebih puas berbanding Mi 11 pada resolusi sama. Namun itu mungkin atas faktor S21 Ultra yang lebih mengutamakan animasi dan visual yang lebih mencair.
Unit Mi 11 yang kami terima sebenarnya menjalankan MIUI 12.0 dan bukannya versi MIUI 12.5 yang terbaharu, sehubungan dengan ada beberapa ciri dan fungsi yang masih belum didapati buat masa ini.
Saya sebelum ini pernah menggunakan telefon Xiaomi, jadi sudah agak cerna dengan navigasi isi dalam MIUI. Namun, antara perkara yang jauh berbeza berbanding jenama lain adalah MIUI menggunakan menu multi-tasking dengan rekaan tatal menegak.
Saya secara peribadi tidak menyukai rekaan menu multi-tasking sebegini namun untuk pengguna Xiaomi yang sudah lama menggunakan telefon Xiaomi mungkin tiada masalah mengenainya.
Difahamkan unit ulasan yang kami terima ini masih lagi belum berada di fasa akhir perisian. Ini bermakna segala kelemahan dan isu yang dijumpai mungkin akan dibaik pulih ketika Xiaomi Mi 11 mula dijual secara rasmi nanti.
Menggunakan Mi 11 ini, tiada pepijat yang dirasakan mengganggu penggunaan seharian namun ada sesuatu yang sangat ketara pada Mi 11 (yang mana ia akan menjadi tema utama mana-mana ulasan yang anda akan jumpa untuk telefon ini).
Snapdragon 888 ini sememangnya berkuasa, memainkan kesemua permainan dengan grafik tertinggi langsung tanpa masalah. Akan tetapi, ia mudah panas.
Adat yang kebiasaannya diikuti oleh kebanyakan telefon adalah apabila ia memanas, kelajuan CPU dan GPU akan dikurangkan untuk memelihara suhu supaya tidak lebih panas dari sepatutnya. Lain pula ceritanya dengan Snapdragon 888 pada Xiaomi Mi 11.
Memainkan Genshin Impact pada tetapan tertinggi menyaksikan suhu telefon meningkat kepada 44°C walaupun baru dimainkan tidak sampai 10 minit.
Tetapi menariknya, sepanjang pemerhatian, fps pada permainan kekal pada 60fps dan tidak menurun. Nampak macam sesuatu yang bagus tetapi sebenarnya bukanlah sesuatu yang sihat walaupun prestasi visual dan kualiti grafik masih di tahap tertinggi.
Pada mulanya mungkin ia menjadi cepat panas disebabkan ia bermain pada resolusi QHD. Tetapi alasan ini agak pelik kerana memainkan Genshin Impact pada tetapan sama di S21 Ultra tidaklah pula memanas seperti ini.
Saya menurunkan resolusi kepada FHD untuk melihat adakah ada perubahan pada suhu tetapi masih tiada. Suhu masih mencapai 43-44°C belum pun dimainkan pada jangka masa 10 minit.
Dengan suhu sebegitu, kawasan yang paling tidak selesa adalah pada bahagian kamera dan juga bahagian atas pada bingkai aluminium telefon.
Beberapa permainan lain turut saya cuba untuk memastikan bukan Genshin Impact sahaja yang membuat telefon menjadi panas.
Permainan lain yang saya cuba adalah Fortnite dengan suhu 41°C selepas 12 minit, PUBG Mobile dengan suhu 40°C selepas 30 minit, dan Asphalt 9 pada suhu 40°C dalam masa 15 minit.
Jika dibandingkan Genshin Impact adalah permainan yang paling membebankan Xiaomi Mi 11 dengan kepanasan yang tidak selesa.
Untuk melihat kadar kelajuan CPU seiring suhu meningkat, saya membuka aplikasi 3DMark Wild Life Stress Test.
Dalam tempoh 20 minit ujian, Mi 11 mencapai skor 89.2% dengan penurunan bateri agak ketara dari dari 50% kepada 35%. Lagi parah melihatkan suhu dari 35°C darjah naik kepada 51°C di hujung ujian. Akan tetapi, jika melihat kepada graf, trend prestasi fps nampak seakan tidak berganjak.
Ini bermakna Mi 11 masih mahu mengekalkan prestasi walaupun suhu mencapai pada tahap tidak stabil. Nah siap ada overheating notice lagi.
Dari pemahaman saya, jika ada ruang dan peluang, Snapdragon 888 akan cuba sedaya upaya mencapai prestasi fps tertinggi. Saya tiada masalah dengan perkara itu, cumanya keputusan Mi 11 yang tidak mahu menurunkan kelajuan CPU (throttling) untuk memelihara suhu sebenarnya patut dipersoalkan.
Selain dari bermain permainan, rakaman 8K juga pun sama turut menjadi panas. Namun ini rasanya tiada isu sangat pun memandangkan siapa je yang rakam 8K pada telefon mereka.
Jika menggunakan telefon seperti biasa iaitu untuk tujuan Facebook, Twitter, Instagram atau aplikasi lain seharian, kebanyakan masanya ia tidak sepanas bermain permainan grafik berat.
Namun ada seketikanya ia mula menunjukkan baran mungkin akibat terlalu banyak aplikasi yang berada pada latar belakang.
Perlu diingatkan Xiaomi masih boleh membaik pulih isu panas Mi 11 ini dengan kaedah throttling CPU lebih agresif ataupun kemaskini perisian MIUI yang lebih baik pada masa akan datang.
Kamera
Bergerak kepada spesifikasi kamera, berbanding kebanyakan telefon mercu lain, sistem kamera belakang Xiaomi Mi 11 lebih ringkas.
-
- Utama: 108MP, OIS, f/1.9, 0.8μm
- Sudut Lebar: 13MP, 123 darjah, f/2.4, 1.12μm
- Telemakro: 5MP, f/2.4, 1.12µm
- Swafoto: 20MP, f/2.2, 0.8 μm
Dari dapatan saya kamera utama mempunyai ketajaman yang sangat tinggi. Walaupun sudah dizum dari jarak jauh, imej masih lagi mengekalkan butiran yang sangat banyak dari sensor 108MP utamanya itu.
Namun, untuk mengatakan ia sebagai kamera bertaraf flagship setaraf Samsung, Huawei, atau iPhone agak sukar kerana terdapat tema ‘tidak konsisten’ pada kameranya.
Ada masanya HDR mempunyai masalah untuk menyeimbangkan bahagian shadow dan highlight membuatkan gambar sama ada overexpose ataupun gelap.
White balance gambar juga kadang-kadang mempunyai perubahan drastik walaupun posisi telefon hanya bergerak sedikit sahaja. Bayangkan gambar dari biru menjadi kuning disebabkan perkara ini.
Sudut lebar 13MPnya pula bukanlah yang terbaik, tetapi sekadar mencukupi. Segala pasca pemprosesan yang tidak konsisten pada kamera utama akan lebih ketara dilihat pada lensa sudut lebar ini.
Mi 11 hadir dengan kamera telemakro 5MP. Apa bezanya dengan makro biasa? Menurut Xiaomi, telemakro sedikit berbeza dengan makro yang lain kerana ia mempunyai jarak fokal 50mm seperti sebuah telefoto.
Ini bermakna jarak anda dengan subjek tidak perlu terlampau dekat disebabkan penggunaan fokal 50mm tersebut yang mempunyai sudut pandangan lebih tirus. Selain itu, penggunaan 50mm ini juga menjadikan bokeh lebih berkrim berbanding kamera utama.
Pelaksanaan kaedah makro menggunakan telemakro ini sebenarnya menarik kerana ia sesuatu yang unik dengan hasil dan cara mengambil gambar yang berbeza dari kamera makro biasa.
Walaupun cuma 5MP, ia adalah lebih baik berbanding 2MP pada rata-rata lensa makro pada telefon lain. Ketajaman gambar lebih dapat dihargai dan tesktur makro itu sendiri kita dapat lihat dengan lebih terperinci.
Gambar malam pula suatu pengalaman yang sedikit berlainan. Night Modenya tiada masalah. Mungkin ada kelemahan dari segi pengawalan exposure, warna kurang oomph tetapi secara keseluruhan, ia baik-baik sahaja.
Akan tetapi saya memang kurang gemar bagaimana Mi 11 menggunakan shutter speed yang perlahan untuk gambar malam biasa. Saya ingatkan ini sekadar pepijat, ataupun isu perisian.
Tetapi berkali-kali gambar diambil pada waktu malam, hasilnya tetap sama, shutter speednya sama seperti gambar Night Mode diambil. Perlahan.
Ingatkan jadi pada waktu malam sahaja, saya mencuba mengambil gambar pada waktu siang tetapi dengan menutup kamera. Pun shutter speed tetap perlahan.
Boleh disimpulkan apabila lensa mengesan cahaya tidak mencukupi, ia terus memilih untuk memanjangkan shutter speed. Jangan macam ni Xiaomi. Gambar memanglah cerah, tetapi bukan setiap masa kita mahu ambil gambar stail Night Mode pada waktu kurang cahaya.
Rakaman video
Kemampuan video adalah sehingga 8K 30fps yang mana kualitinya boleh dikatakan agak baik juga. Rakaman 8K ini mempunyai had sehingga 6 minit. Pun begitu, saya tidak menyarankan anda untuk merakam penuh durasi tersebut kerana telefon akan terasa panas mencecah suhu sekitar 44-45 darjah.
Untuk rakaman 4K 60fps, videonya adalah sangat baik dengan penstabilan dan HDR yang kemas.
Xiaomi Mi 11 juga memperkenalkan beberapa efek rakaman “Movie effects” seperti Magic Zoom, Slow shutter, Time Freeze, Night time lapse, dan Parallel World. Ia agak seronok digunakan untuk sekadar video kreatif dan mengisi masa lapang.
Untuk rakaman kamera hadapan, agak mengecewakan ia masih lagi pada 1080p 60fps bukannya 4K 60fps walaupun sudah berbekalkan cip berkuasa.
Manual/Pro Mode
Mod manual atau pro bukan perkara baharu dalam telefon pintar, tetapi kaedah pelaksanaan ciri ada yang berbeza-beza antara jenama dan model.
Mod Pro pada Xiaomi Mi 11 turut menyertakan graf histogram ringkas sebagai panduan pencahayaan. Selain itu, fungsi Focus peaking membantu anda melihat ketepatan pemfokusan. Satu lagi yang menarik adalah Exposure verification, memudahkan anda melihat kawasan yang cerah atau gelap untuk mengelakkan masalah overexpose atau underexpose.
Mod manual atau pro ini memang sudah didapati pada kebanyakan telefon pintar, namun alat tambahan seperti Histogram, Focus peaking, dan Exposure Verification turut menyenangkan gambar diambil dalam mod ini.
Untuk video pula lebih hebat, selain 3 ciri yang dinyatakan tadi, pengguna turut boleh merakam dalam mod LOG. Secara ringkasnya, LOG adalah profil logarithma yang mempunyai metadata lebih banyak seumpama tangkapan RAW pada gambar.
Dengan mod LOG, warna video akan sedikit pudar, namun ketika disunting, anda akan mendapati warna lebih cantik, dan juga julat dinamik lebih tinggi.
Selain sesuai digunakan untuk peminat fotografi/videografi, ia juga secara tidak langsung boleh digunakan sebagai kaedah mengajar kamera dalam bidang pendidikan.
Rumusan kamera
Secara keseluruhan, saya berpendapat perkakas Mi 11 sudah cukup berkuasa untuk menghasilkan gambar yang berkualiti. Namun begitu, perkakas sahaja tidak cukup kerana isu pasca pemprosesan untuk kualiti gambar turut perlu diberikan penekanan utama.
Kelamahan yang didapati pada kamera Mi 11 kebanyakannya adalah berkisarkan ketidak konsisten isu pasca pemprosesan seperti white balance, HDR, dan yang paling tidak digemari adalah shutter speed yang lama pada situasi kurang cahaya.
Apa yang saya boleh puji mengenai kamera ini adalah dari segi ketajaman dan butiran serta pelajuan pemprosesan (terima kasih Snapdragon 888) untuk menyimpan media ke storan.
Rata-rata masalah ini sudah tentu boleh sangatlah jika diperbaiki melalui kemaskini namun dengan apa yang disajikan pada kami, inilah yang Mi 11 boleh tawarkan buat masa ini.
Bateri SOT Sekitar 5 Jam, Cukup Atau Tidak?
Kapasiti bateri pada Xiaomi Mi 11 adalah 4,600mAh yang mana adalah sedikit kecil dari Mi 10 tahun lepas (4,780mAh). Dengan keperkakasan dan skrin lebih berkuasa (QHD 120Hz), adakah bateri yang lebih kecil ini tidak mampu bertahan lama?
Screen-on-time yang saya dapat adalah sekitar 5 jam sahaja. Apa yang perasan sekiranya telefon menggunakan cip untuk kerja berat seperti bermain permainan, peratusan bateri agak cepat menurun.
Untuk 5 jam tersebut adalah dari bermain permainan berat, bermain emulator, melihat video HDR10+, pemasangan pelbagai aplikasi, muat turun berbagai fail, ujian kamera, dan lain-lain yang bukan melibatkan aplikasi media sosial.
5 jam itu juga diperolehi pada tetapan sentiasa QHD 120Hz. Bagi saya ia satu jangka hayat yang sangat baik untuk penggunaan berat.
Saya menjangkakan SOT boleh mencecah 6 jam ke atas jika kurang bermain permainan berat ataupun mengubah tetapan kepada WQHD+ dinamik untuk resolusi berubah secara automatik kepada FHD+ jika tiada keperluan.
Pengecas 55W yang disertakan mampu mengecas sekitar 50 minit, tetapi jika anda bercadang untuk menggunakannya ketika mengecas, ia akan melambatkan tempoh penuh. Jadi, biarkan sahaja ia penuh tanpa gangguan untuk kurang dari 1 jam.
Selain mengecas 55W melalui pengecas yang diberikan, telefon ini turut menyokong protokol USB-PD 3.0, pengecasan tanpa wayar 50W, dan tanpa wayar berbalik 10W.
Saya tidak mampu untuk menguji pengecasan tanpa wayar berbalik 50W itu kerana tiada modul pengecasnya. Namun jangkaannya mungkin mengambil masa sekitar 1 jam berdasarkan Watt yang diterima.
Saya asyik terfikir mengapa Xiaomi membuang pengecas untuk unit Mi 11 di China tetapi menyertakannya untuk pasaran global pula. Ia kelihatan seperti Xiaomi agak keliru dengan keputusan mereka membuang pengecas di China dan mahu melihat reaksi pengguna di serata dunia mengenai ketiadaannya.
Walau apapun, jika selepas-selepas ini Xiaomi membuat keputusan untuk terus tidak menyertakan pengecas, dirasakan pengguna sudah bersedia dan menerimanya kerana jenama-jenama lain seperti Samsung dan Apple sudah menjadi medium kecaman terlebih dahulu.
Penerimaan mengenai ketiadaan pengecas ini mungkin berbeza bagi setiap orang. Namun, mahu atau tidak ini adalah haluan baharu syarikat telefon pintar untuk menjaga kesihatan bumi.
Perlu Sangatkah Snapdragon 888?
Buat masa ini, Xiaomi Mi 11 adalah merupakan satu-satunya telefon pintar rasmi untuk pasaran Malaysia dengan cip Snapdragon 888.
Dengan harga jualan permulaan RM2,799, ia boleh dikatakan agak mampu milik memandangkan ia hadir dengan cip paling berkuasa dan terkini dari Qualcomm.
Akan tetapi melihat kepada implementasi Snapdragon 888 pada Xiaomi Mi 11 ini, agak sukar untuk menilai tahap berbaloinya.
Seperti yang dinyatakan, Snapdragon 888 ini sememangnya sangat berkuasa dan mampu memainkan visual dan grafik tertinggi permainan. Namun memikirkan ia datang dengan isu hangat mungkin menyebabkan pengguna pun hanya memainkan permainan pada tetapan yang sedikit rendah untuk menjaga kesihatan bateri.
Jika begitu, tiada beza pun jika anda memainkan permainan dengan grafik rendah menggunakan cip Snapdragon 865 atau lebih rendah kerana ia sama sahaja.
Pengguna juga perlu faham, perletakan cip Snapdragon 888 bukanlah penyelesaian magik untuk sebuah telefon pintar yang hebat. Tidak semudah letak Snapdragon 888, terus kamera jadi power.
Terdapat banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh Xiaomi untuk dari segi kameranya agar ia seiring dengan pembawaan teknologi baharu dalam cip Snapdragon 888.
Jika menolak tepi cip Snapdragon 888 ini, Xiaomi Mi 11 itu sendiri pun sudah cukup bagus dengan kualiti audio cemerlang, panel skrin antara yang terbaik dalam pasaran, dan rekaan yang premium dalam pakej nipis serta ringan berbanding pesaing lain.
Harapan saya, Xiaomi boleh mengemaskini kelemahan dan isu-isu yang dinyatakan baik dari segi pemanasan dan juga kamera pada masa akan datang.
Keperkakasan dan spesifikasi berkuasa tiada gunanya juga jika tidak diiringi dengan perisian serta kepenggunaan yang memuaskan.
Dari segi perspektif berbeza, amat menarik juga bagaimana jenama-jenama lain akan cuba kaedah mereka masing-masing bagaimana mahu menjinakkan cip Snapdragon 888 ini pada model telefon mereka.
Jika anda berminat dengan Xiaomi Mi 11, pilihan terbaik adalah menunggu jika Xiaomi akan mengeluarkan kemaskini untuk membaik pulih beberapa isu dan juga kelemahan telefon ini agar ia lebih berbaloi untuk dimiliki dan digunakan.
Kelebihan
- Rekaan dan binaan premium
- Fizikal ringan dan nipis berbanding pesaing
- Antara skrin dengan teknologi terbaik dalam pasaran telefon pintar
- Butiran gambar cemerlang pada siang hari
- Audio dari Harman Kardon yang menggagumkan
- Snapdragon 888 yang berkuasa
- Mod manual kamera antara yang terbaik lengkap dengan alat tambahan seperti histogram, LOG, Focus peaking, dan Exposure Verification
Kekurangan
- Telefon agak mudah memanas
- White balance, HDR, dan beberapa elemen pasca pemprosesan pada kamera masih memerlukan kemaskini baikpulih
- Kamera yang menggunakan shutter speed perlahan pada waktu kurang cahaya