(Ulasan) Vivo V15 Pro - Dilengkapi Pop-Up Kamera Dengan Pilihan Warna Yang Menarik

Imbas kembali penawaran peranti sepanjang tahun lalu, tren takuk sangat popular dalam kalangan pengeluar. Bermacam-macam jenis rekaan takuk ditampilkan, dari yang lebar hinggalah sekecil "titisan air".

Bagi yang tidak mahu mencacatkan pandangan panel hadapan, tampil pula inovasi menarik, seperti contoh Vivo melalui sistem kamera pop-up.



Pertama kali dilengkapkan pada Vivo Nex, kini ia diwarisi pada Vivo V15 Pro. Sudah ditawarkan secara rasmi sejak penghujung Februari yang lalu, ikuti kupasan lanjut kami mengenai pertaruhan dari Vivo ini.



Spesifikasi yang dibawa pada Vivo V15 Pro

  • Skrin paparan 6.39 inci Super AMOLED (2340 x 1080)

  • Snapdragon 675

  • RAM 6GB

  • Storan 128GB (sokongan kad MikroSD sehingga 256GB)

  • Tiga kamera belakang (48MP sensor utama + 8MP  sensor sudut lebar + 5MP sensor kedalaman)

  • Kamera swafoto 32MP

  • Bateri 3700mAh dengan pengecasan Dual Engine Fast Charging

  • Sambungan WiFi 2.4GHz/5 GHz, Bluetooth, USB 2.0, dwi slot kad sim Nano, satu slot kad MikroSD


Panel belakang dengan kemasan dan warna yang menawan

Dilihat dari luaran, bahagian yang menarik perhatian kami adalah panel belakang yang dilapisi dengan corak dan warna yang cukup menarik.



Jika diteliti secara lebih dekat, anda akan melihat jaluran yang dipanggil sebagai 'Ripple Spectrum'. Ia sangat menarik bagi sebuah peranti berstatus kelas pertengahan. Mudah kata, ia lebih bergaya berbanding edisi sebelumnya Vivo V11 Pro. Ada dua warna pilihan yang boleh anda dapatkan, Topaz Blue dan Coral Red.



Panel belakang pula memperlihatkan modul tiga kamera dan kawasan tersebut sedikit tebal.





Sisi kanan diletakkan butang kuasa dan pelaras kelantangan bunyi. Sisi kiri pula ditempatkan dengan butang untuk mengaktifkan Google Assistant dan diatasnya ialah slot kad MikroSD.



Melihat kebahagian bawah, terdapat port MikroUSB diapit oleh corong pembesar suara dan dwi slot kad sim Nano. Bingkai atas peranti terdapat bicu audio 3.5mm dan disebelahnya, ciri utama V15 Pro, kamera swafoto yang boleh disembunyikan. Kamera ini keluar masuk diiringi dengan bunyi khas yang boleh ditukar-tukar seperti Sci-Fi, Machine, Rhythm ataupun boleh ditetapkan tanpa bunyi.

Bagi sistem sekuriti berasaskan biometrik, model ini menggunakan ciri imbasan wajah dan juga sensor pengimbas cap jari terbina pada skrin.

Funtouch OS yang disertakan dengan pelbagai ciri menarik

Vivo V15 Pro menjalankan antaramuka Funtouch OS yang berasaskan Android 9 Pie. Ia tidak mempunyai App Drawer dimana semua aplikasi berada pada paparan utama.



Sapuan jari ke kanan dari paparan utama akan membawa anda kepada halaman widget bagi pintasan untuk ciri dan pembantu maya, Jovi.

Ruang paparan pelaras kecerahan dan bunyi serta butang pintasan yang lain dipaparkan melalui leretan bawah keatas, ala-ala iOS. Paparan notifikasi pula boleh diakses dari atas kebawah, seperti Android yang lain.

Tidak ketinggalan adalah ciri navigasi sentuhan yang boleh dibuat dari bahagian bawah paparan (kiri, tengah dan kanan).

Antara ciri-ciri yang disediakan adalah ...

  • Face beauty for video call - Contohnya anda buat panggilan video melalui WhatsApp, ciri ini akan "mencantikkan" wajah anda.

  • Mod motosikal - Boleh tetapkan untuk halang panggilan masuk jika anda menunggang melebihi kelajuan 10km/j.

  • Butang pintar -  Boleh tetapkan ciri yang akan diaktifkan apabila anda menekan butang pintar disisi kiri peranti.

  • Ciri sentuhan - Leret jari atas kebawah untuk lancarkan aplikasi, leret jari membentuk huruf W untuk buka WhatsApp dan lain-lain.


Prestasi Snapdragon 675 

Peranti ini merupakan antara peranti yang terawal menggunakan Snapdragon 675. Berdasarkan pengalaman menggunakannya lebih kurang sebulan, Vivo V15 Pro memberikan prestasi yang baik sebagai peranti pertengahan.

Pendek kata, tiada keluhan ketika menggunakannya kerana ia berjalan dengan lancar. Cuma sekali dua sahaja terasa lembap, tetapi secara keseluruhannya ia tidak menghampakan. Tiada masalah untuk memainkan aplikasi bergrafik berat seperti PUBG, Modern Combat 5, Mobile Legends dan Asphalt 9.



Dari segi nyahkunci skrin, ia menampilkan dua jenis pengimbasan biometrik; wajah dan cap jari.



Pengimbasan wajah dibuat dengan pantas melalui pergerakan keluar masuk kamera swafoto yang lancar. Berdasarkan pengalaman menggunakan Vivo Nex dahulu, gerak keluar masuk V15 Pro dilihat lebih laju.

Begitu juga dengan imbasan cap jari melalui sensor terbina pada skrin. Ia dirasakan lebih pantas berbanding Vivo Nex dan hanya sesekali tidak beraksi dengan prestasi sepatutnya. Apabila skrin tidak menyala, anda perlu sentuh paparan terlebih dahulu untuk mengaktifkan sensor tersebut.



Kualiti dan kelantangan audio dari penggunaan fon telinga dan pembesar suara mono talaan bawah pula adalah sederhana sahaja.

Paparan dari skrin Super AMOLED beraksi baik

Paparan kandungan 1080p melalui skrin Super AMOLED yang disediakan pada peranti mempamerkan ketajaman yang baik, namun ketepatan warna boleh dikatakan biasa sahaja.



Kecerahan maksimum Vivo V15 Pro juga berada ditahap yang baik dimana penggunaan dibawah cahaya matahari tidak mendatangkan masalah seperti paparan tidak jelas atau sebagainya.

Vivo V15 Pro tidak mempunyai sokongan Wideline L1, bermaksud anda tidak boleh menonton kandungan HD di Netflix.

Kamera swafoto pop-up 32MP

Bahagian yang sudah semestinya menarik perhatian adalah kamera swafoto pop-up 32MP dari sensor Samsung ISOCELL GD1. Kamera utama belakang 48 MP pula menggunakan Samsung ISOCELL GM1.



Ini bermakna kamera menggunakan teknologi Quad Bayer yang menggabungkan 4 piksel menjadi satu piksel. Ia memberikan hasil foto 8MP (kamera swafoto) dan 12MP (kamera belakang 48MP) secara lalai (default).

Sensor utama kamera belakang menghasilkan imej yang tajam dan perincian yang baik disamping ketepatan dalam penghasilan warna. Pada keadaan kurang cahaya, imej kelihatan masih baik dengan memperlihatkan perincian objek.

Untuk meningkatkan lagi mutu gambar, terdapat mod Night yang boleh anda gunakan. Gambar lebih cerah tetapi kehilangan sedikit perincian pada objek.

Lensa lain yang terdapat pada bahagian belakang adalah 8MP (f/2.2, ultra lebar), 5MP (sensor kedalaman). Contoh gambar boleh dilihat dibawah.





Kiri rakaman normal, kanan rakaman Night Mode.

Rakaman video 4K, Full HD  dan ultra lebar boleh dibuat pada kadar 30fps. Kualiti yang lebih baik boleh didapati pada rakaman Full HD kerana ia akan mengaktifkan penstabilan imej elektronik (EIS).

Bateri 3700mAh dapat bertahan hampir sehari pada penggunaan sederhana

Penggunaan Snapdragon 675 mampu menguruskan kuasa dengan efisien. Aktiviti yang dilakukan pada peranti secara sederhana, memberikan penggunaan hampir satu hari.

Vivo V15 Pro menyokong pengecasan pantas melalui teknologi Dual Engine Fast Charging. Daya isian kuasa dari 0% sehingga 100% dilakukan dalam tempoh sekitar 1 jam 45 minit.

Agak menghampakan sedikit rekaan yang cantik menawan ini tidak diiringi dengan port USB-C. Selain itu, tempoh yang agak panjang diambil untuk mengisi penuh bateri, namun kemampuan bateri bertahan boleh diberi pujian.

Keseluruhan

Vivo V15 Pro diletakkan pada nilai RM 1799. Mungkin sebahagian daripada anda merasakan harga ini agak "keras" jika dibandingkan dengan peranti dalam kelas pertengahan yang lain.



Lupakan seketika tentang harga. Berdasarkan pengalaman menggunakannya, ia menghidangkan prestasi yang baik, paparan Super AMOLED yang luas tanpa bezel, kelancaran dalam menguruskan aplikasi, jangka hayat bateri mampu memberikan anda penggunaan hampir sehari, ciri kamera swafoto keluar masuk yang mengujakan, V15 Pro nampak lebih menonjol dalam kelasnya.

Ditambah pula rekaan dengan warna yang cukup menawan, pasti membuatkan anda ingin memiliki peranti ini. Adakah anda berminat untuk mendapatkan peranti ini atau baru sahaja memilikinya? Boleh "payung" satu dua pendapat diruangan komen.