(Ulasan) Vivo V11 & V11i - Kedua-duanya Cun, Tapi Mana Satu Yang Bakal Pikat Hati Anda

Terlalu banyak pilihan telefon pintar yang ada pada hari ini. Pelbagai cara telah diambil oleh pihak pengeluar untuk menambat hati pengguna. Ada yang gunakan spesifikasi dalaman yang power, harga yang mampu milik mahupun kamera yang berkualiti sebagai 'modal' untuk menarik minat pembeli.



Namun bagi Vivo, mereka nampaknya lebih suka untuk menggunakan reka bentuk yang menarik menjadi senjata mereka. Perkara ini sekali lagi dapat disaksikan semasa mereka memperkenalkan model Vivo V11 dan V11i baru-baru ini.

Okay lah, saya pun tak mahu membebel panjang. Tanpa melengahkan masa lagi, jom kita selami setiap inci luaran dan dalaman keluaran terbaru Vivo ini.

REKAAN LUARAN


Macam yang saya katakan tadi, sejak kebelakangan ini, Vivo lebih mengutamakan rekaan luaran yang elegan dan nampak handsome untuk memenangi hati pengguna, wanita terutamanya.



Bermula di bahagian hadapannya, siri Vivo V11 kali ini muncul sebagai peranti pertama yang menggunakan skrin dengan waterdrop design, iaitu takuk yang kelihatan seperti titisan air. Panel paparan telefon V11 menggunakan skrin SuperAMOLED 6.41-inci dengan resolusi FHD+ manakala panel IPS LCD FHD+ bersaiz 6.3-inci bagi Vivo V11i.

Pada asalnya, saya menjangkakan rekaan takuk sedemikian adalah untuk memaksimakan nisbah paparan. Namun, saya dapati peranti berkenaan hanya merangkumi sekitar 85.2%(V11) dan 84%(V11i) daripada panel hadapan peranti, menurut GSMArena. Sekurang-kurangnya peranti ini perlu mempunyai nisbah sekitar 88%-90% pada pendapat saya.



Bagaimanapun, dengan paparan skrin yang agak besar dan luas, menonton video dan bermain permainan mudah alih memang puas habis. Selain itu, tiada sensor imbasan cap jari fizikal pada Vivo V11 manakala imbasan cap jari di panel belakang bagi Vivo V11i.

Beralih ke bahagian belakang pula, V11 menggunakan kecerunan warna yang hampir sama dengan 'sahabatnya', Oppo R15 Pro. Reka bentuk ini dilihat semakin menjadi pilihan terutamanya kepada pengeluar-pengeluar dari China. Kamera utama dwi-lensa pula dipasang secara menegak pada bahagian bucu kiri sebelah atas panel belakang peranti.



Vivo V11 dan V11i ini dilancarkan dengan dua pilihan warna iaitu Starry Night dan Nebula. Model V11 yang berada di tangan saya ialah berwarna Starry Night. V11i yang ada pada saya ini pula adalah edisi istimewa bewarna merah jambu(Fairy Pink). Selain daripada sensor imbasan cap jari, tiada sebarang perbezaan ketara lain yang dapat dilihat pada model ini.



Manakala pada bahagian sisi, kedua-dua ini tidak mempunyai terlalu berbeza berbanding peranti-peranti Android yang lain. Pot pengecasan mikroUSB, bicu audio 3.5mm dan pembesar suara diletakkan di bahagian bawah.

Butang kuasa dan kawalan bunyi di sisi kanan, manakala ruangan kad sim pula di bahagian kiri peranti. Menariknya, Vivo menyediakan dua slot kad sim dan satu slot kad mikroSD pada siri Vivo V11 kali ini.

Akhir sekali, walaupun telefon ini bersaiz agak besar, saya dapati ianya sangat selesa dipegang. Namun, untuk penggunaan sebelah tangan adalah agak sukar.

ANTARAMUKA


Vivo V11 dan V11i menggunakan FunTouch OS 4.5 berlandaskan Android 8.1 Oreo dari dalam kotak. Seperti yang kita ketahui, FunTouch OS ini boleh dikatakan sebagai antaramuka Android yang paling hampir menyerupai iOS yang digunakan oleh iPhone.



Pengguna boleh memilih untuk menggunakan butang navigasi fizikal seperti biasa, atau menggunakan isyarat tangan sepenuhnya. Bagi saya, saya lebih gemarkan butang navigasi biasa. Untuk mengakses panel kawalan pula, anda perlu swipe bahagian bawah paparan ke atas.



Dari segi ikon, tidak banyak perbezaan yang kita dapat lihat berbanding siri-siri FunTouch OS sebelum ini. Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah fungsi-fungsi yang dimilikinya. Siri Vivo V11 mempunyai fungsi-fungsi pintar menarik seperti Motorbike Mode, Game Mode, Split-Screen, App Clone dan Smart Click.

SPESIFIKASI DALAMAN


Model V11 ini dikuasakan dengan cip pemprosesan dari Qualcomm, Snapdragon 660 dengan pemproses grafik Adreno 512 GPU. Perkara ini sedikit mengecewakan kerana ramai pengguna yang semakin mementingkan kebolehan pemprosesan CPU dan GPU yang lebih baik pada hari ini.

Bagaimanapun, Vivo V11 ini dibantu oleh saiz memori yang besar iaitu 6GB RAM. Ia membolehkan peranti ini menjalankan tugas dengan baik termasuklah bermain permainan video mudah alih seperti PUBG Mobile dan Need For Speed.

Multi-tasking dan penggunaan aplikasi latarbelakang yang banyak tidak memberikan sebarang masalah kepada telefon pintar dari Vivo ini. Suhu peranti juga saya dapati hanya suam-suam kuku walaupun bermain permainan video dan menonton YouTube secara berterusan selama 3 ke 4 jam.

Dengan skrin SuperAMOLED-nya, kualiti video peranti ini tidak perlu dipersoalkan lagi. Akan tetapi, dari segi sistem audio, speaker mono yang ada pada Vivo V11 ini bukanlah yang terbaik.



Berlainan dengan Vivo V11, model ini dijalankan dengan sistem cip Mediatek Helio P60 lapan teras dengan unit pemprosesan grafik Mali-G72. Jika Vivo V11 sudah mengecewakan, apa lagi dengan cip yang dimiliki oleh Vivo V11i ini.

Namun, tidak mahu terlalu cepat menghukum, saya terus menguji kemampuan peranti ini. Hasilnya, bermain PUBG Mobile dengan grafik Medium dapat dilakukan tanpa sebarang masalah.

Malah, penggunaan secara berterusan juga bagi saya cuma meningkatkan suhu peranti secara minimal, lebih baik berbanding Vivo V11.

Wow! Betul lah kata pepatah Inggeris, "Don't judge a book by it's cover, Don't judge a phone by it's processor". Jangan pandang rendah dengan MediaTek lagi lepas ni.

PRESTASI KAMERA


*Disebabkan Vivo V11 dan V11i mempunyai spesifikasi kamera yang serupa, maka saya akan gabungkan sekali ulasan bagi prestasi kamera kali ini.

Seperti Oppo, kualiti kamera juga sentiasa menjadi keutamaan Vivo dalam setiap keluaran kelas perdana mereka. Malah, ia juga sudah mula diketengahkan pada peranti-peranti kelas pertengahan kini.

Perkara itu terbukti dengan prestasi kamera yang cemerlang dari kedua-dua belah kamera yang ada pada model Vivo V11 dan V11i ini.

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang kami ambil dari kamera utama 12MP+5MP dan kamera swafoto 25MP Vivo V11 dan V11i:



Tangkapan imej menggunakan kamera hadapan 25MP juga tidak mengecewakan. Teknologi kecerdasan buatan pastinya membantu serba sedikit dalam menghasilkan imej yang baik.



Bagi rakaman video pula, Vivo V11 boleh dianggap berada di tahap memuaskan. Tanpa sebairang penstabilan imej, tidak hairanlah sedikit gegaran dapat dilihat pada rakaman videonya.

Namun beberapa fungsi menarik seperi Slow-Mo dan Time Lapse turut hadir bersama kamera peranti Vivo V11 dan V11i. Tiada maklumat mengenai kualiti rakaman Slow-Mo yang ditemui, namun selepas diuji, rakaman gerak perlahan itu kelihatan seperti berada pada kualiti 720p/120fps atau 240fps.

Jika perlu digredkan, saya memberikan gred B+ bagi rakaman video menggunakan telefon baru Vivo ini.

KETAHANAN BATERI


Dengan bateri berkapasiti 3,400mAh, saya berjaya menghabiskan 5 perlawanan PUBG Mobile(3 daripadanya Chicken Dinner) dan masih berbaki kira-kira 6%-8%. Untuk penggunaan harian biasa pula, Vivo V11 ini mampu bertahan selama satu hari tanpa sebarang masalah.

Dari segi pengecasan pula, Vivo V11 menyokong pengecasan pantas Dual-Engine 18W dari dalam kotak. Melaluinya, ia mampu mengecas sehingga 50% dalam masa 35 minit manakala 1 jam 44 minit diperlukan untuk pengecasan penuh.



Vivo V11i pula dibekalkan dengan bateri berkapasiti 3,315mAh yang boleh digunakan dalam tempoh sehari dengan penggunaan normal. Bermain game Asphalt 8 untuk tempoh 15 minit mengurangkan kapasiti bateri sebanyak 22%.

Vivo membekalkan peranti ini dengan pengecasan pantas, namun bukanlah Dual-Engine Fast Charging seperti mana V11. Pengecasan penuh pada bagi model ini mengambil masa sekitar 1 jam 55 minit.

KESELURUHAN


Bagi saya, siri telefon Vivo V11 ini mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan peranti-peranti kelas pertengahan lain di luar sana.

Malah, ia turut memiliki beberapa ciri yang ada pada peranti kelas atasan, antaranya sistem imbasan cap jari dalam skrin(V11), kamera yang berkualiti tinggi serta binaannya yang menawan.



Namun, dengan harga pasaran RM 1,699 untuk V11 dan RM 1,299, kami rasakan ia akan menjadi antara punca untuk pembeli beralih ke peranti-peranti lain yang mempunyai spesifikasi lebih baik.

Untuk berlaku adil, peranti-peranti dengan spesifikasi lebih baik itu kebanyakannya tidak memiliki kecantikan binaan seperti yang ada pada siri Vivo V11 ini.

Kesimpulannya, "tepuk dada, tanya selera".

Berkaitan