(Ulasan) Vivo Nex Dual Display - Bukan Hanya Berharap Pada Skrinnya

Pada penghujung tahun lepas, Vivo telah memperkenalkan peranti generasi kedua bagi siri Vivo Nex mereka.

Dinamakan sebagai Vivo Nex Dual Display(Vivo Nex 2), peranti ini mempunyai dua panel skrin iaitu dibahagian hadapan dan belakang.

Namun, adakah kedua-dua skrin peranti ini dapat berfungsi dengan sempurna? Atau sekadar menjadi "modal" untuk menarik hati pelanggan?

Untuk mengetahuinya, ikuti ulasan kami bagi Vivo Nex Dual Display kali ini.

Panel Dwi-Skrin Super AMOLED Dapat Berfungsi Dengan Sangat Baik


Kedua-dua bahagian depan dan belakang pada peranti ini dilengkapi dengan panel Super AMOLED, di mana masing-masing bersaiz 6.39-inci dan 5.49-inci.

Skrin hadapan Vivo Nex baru ini hadir dengan teknologi Ultra FullView Display manakala skrin belakangnya pula digelar Lunar Ring Display.

 



Lunar Ring ini membentuk bentuk bulat seakan cincin dan merangkumi dua daripada tiga lensa kamera utama peranti ini. Ia juga menjadi penghubung kepada lensa kamera dan skrin belakangnya.

Malah, Lunar Ring ini juga boleh berfungsi sebagai panel notifikasi sekiranya ada sebarang notifikasi masuk.

Dari segi pengalaman penggunaan, panel skrin belakang Vivo Nex 2 ini dapat berfungsi dengan sangat baik.

Kualiti imejnya juga adalah memberangsangkan dan Vivo wajar dipuji di atas perkara ini.



Menonton video di YouTube menggunakan panel belakang ini adalah memuaskan, namun saya lebih memilih untuk menonton di skrin utama yang lebih besar.

Bagi bahagian lain pada rekaan peranti ini, ia hadir dengan rekaan yang biasa kita lihat pada kebanyakan peranti lain di luar sana.



Port pengecasan, pembesar suara dan dulang kad sim terletak dibahagian bawah, butang kuasa dan kawalan bunyi di sisi kanan manakala bicu audio 3.5mm pula disebelah atas.

Satu butang khas yang digunakan bagi pertukaran skrin paparan pula terletak dibahagian kiri peranti.

Secara keseluruhan, Vivo Nex Dual Display ini mempunyai reka bentuk yang agak baik.

Namun, apa yang merunsingkan kami ialah bagaimana pengguna mahu melindungi peranti ini memandangkan kerangkanya mungkin sukar untuk diperolehi.

Kalau jatuh, bukan phone je berkecai, hati pun berkecai nanti.

Mencapai Tahap Yang Diharapkan Bagi Peranti Snapdragon 845


Vivo Nex Dual Display ini dilengkapi dengan sistem cip yang sama dengan generasi Nex yang pertama iaitu Qualcomm Snapdragon 845.

Namun, ia ditambahbaik dengan sokongan memori sebesar 10GB RAM dan 128 GB simpanan dalaman. Malangnya, ia masih tidak menyokong fungsi kad mikroSD.



Seperti biasa, saya menguji keupayaan peranti ini dengan bermain permainan video. Permainan pilihan saya kali ini ialah dua permainan racing iaitu Real Racing 3 dan Asphalt 9.

Hasilnya, Vivo Nex Dual Display ini berjaya mencapai tahap yang diharapkan pada sesebuah telefon dengan cip kelas atasan.



Apatah lagi apabila saya menggunakan peranti ini bagi tujuan biasa seperti menonton YouTube dan menatal aplikasi media sosial. Memang lancar dan laju tanpa sebarang masalah seperti air yang mengalir di sungai-sungai di sekitar anda.

Dari segi keupayaan dalaman, Vivo Nex Dual Display ini lulus dengan cemerlang.

Kamera Tiga Lensa Dengan Dua Fungsi


Mengapa saya katakan sedemikian? Ya, kerana kamera tiga lensa yang ada pada peranti ini bertindak sebagai dua fungsi berbeza iaitu untuk tangkapan biasa dan juga tangkapan swafoto.

Ia dilengkapi dengan sensor 12MP f/1.8 + 2MP f/1.8 serta satu sensor TOF untuk tujuan pengesanan wajah 3D dan selfie beautification.

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan peranti ini.





 



Bagi rakaman video, ia boleh merakam pada kualiti sehingga 2160p pada 30fps dan disokong oleh sistem penstabilan imej optikal bagi mengurangkan kadar gegaran pada setiap rakaman.

Lebih Skrin Namun Kurang Kapasiti Bateri


Saya agak tertanya-tanya mengapa Vivo mengurangkan kapasiti bateri pada peranti ini(3,500mAh) berbanding Vivo Nex terdahulu(4,000mAh).

Tidak mahu terlalu awal memberi tanggapan negatif, saya menguji daya tahan pada bateri peranti ini.



Dengan bermain game secara berterusan selama 1 jam, saya dapati peranti ini kehilangan sebanyak 23%.

Untuk penggunaan harian biasa, saya dapati Vivo Nex baharu ini masih mempunyai baki 11% selepas sehari penggunaan. Ia menunjukkan peranti ini mempunyai daya tahan bateri yang amat baik.



Untuk pengecasan pula, Vivo mendatangkan sokongan pengecasan pantas 22.5W bersama model keluaran baharu mereka ini.

Ia membolehkan bateri peranti ini dicas pada tahap 62% dalam masa 30 minit, 92% mengambil masa satu jam dan pengecasan penuh pula hanya memerlukan pengecasan selama 1 jam 26 minit sahaja.

Vivo Nex Dual Display Bukan Hanya Bergantung Pada Skrinnya


Semasa ia diperkenalkan di China buat kali pertama, ramai yang menganggap peranti ini hanya berharap kepada fungsi dwi-skrinnya untuk menarik minat pelanggan(termasuk saya sendiri).



Namun, selepas mencuba sendiri model baru Vivo ini, ternyata telefon ini bukanlah hanya berharap pada dua skrin yang dimiliki.

Disamping kualiti skrin belakang yang sangat baik, peranti ini juga mampu memberi pengalaman bermain permainan video yang lancar selain daya tahan bateri yang agak lama.

Satu-satunya perkara yang kurang gemari ialah rekaan Lunar Ring-nya yang agak besar. Harga jualannya pada RM3,199 juga sedikit mahal, namun melihat kepada apa yang ditawarkan oleh peranti ini, ia sebenarnya adalah harga yang bersesuaian.