Samsung S20 Ultra yang diperkenalkan pada tahun lalu bukan sebuah telefon pintar premium yang diharapkan. Dengan membawa beban penamaan Ultra, ia turut membawa tanda harga premium yang tinggi.
Namun begitu, jika melihat kepada apa yang ditawarkan, harga yang dibayar seakan-akan tidak setanding dengan apa yang diterima.
Ia dibelenggu masalah seperti rekaan yang membosankan, zum 100x hampir gimik, skrin 120Hz tapi hanya pada FHD+ sahaja, prestasi cip yang sangat kontroversi, ketahanan bateri kurang bagus, dan seperkara lain yang menjadikan ia sebuah pakej yang lengkap untuk dielakkan dari membeli oleh kebanyakan peminat Samsung.
Siri S pada portfolio Samsung adalah merupakan barisan hadapan produk telefon pintar Samsung, lagi-lagi model paling berkuasa seperti Plus dan Ultra.
Namun, jika yang terbaik dari Samsung pun masih kurang mampu menawan hati pembeli dan peminat mereka, sudah tentu Samsung perlu membuat sesuatu untuk model yang seterusnya.
Memperkenalkan Galaxy S21 Ultra. Cip baharu. Rekaan baharu. Kamera lebih berkuasa dan dipertingkatkan. Lagi menarik, ada sokongan S-Pen, yang pertama untuk siri S.
Boleh dikatakan resepi hampir sempurna untuk mengembalikan siri mercu S kepada landasan yang sebenar (Sabar. Ya tahu tak ada pengecas).
Akan tetapi, terdapat satu lagi perkara penting yang perlu dinyatakan. Harganya semakin mencanak naik. Dari harga bermula RM4,999 untuk S20 Ultra, kita kini perlu membayar RM5,299 untuk memiliki Galaxy S21 Ultra pula.
Adakah harga yang semakin tinggi ini menterjemahkan kepada sebuah pembelian yang berbaloi? Dan yang paling penting, mampukah Galaxy S21 Ultra menawan semula hati peminat yang terluka dengan Galaxy S20 Ultra tahun lalu?
Spesifikasi
- Dimensi: (75.6 x 165.1 x 8.9)mm, 227g
- Skrin: Dynamic AMOLED 2X 6.8 inci (1440 x 3200), 20:9, 120Hz
- Cip pemprosesan: 5nm Exynos 2100 (Mali-G78 MP14 )
- Memori: RAM 12GB, Storan 256GB (UFS 3.1)
- 4 kamera belakang: 108MP(f/1.8) Utama + 12MP(f/2.2) Sudut Lebar + 10MP(f/4.9) Periskop 10x Zum Optikal + 10MP(f/2.4) Telefoto 3x Zum Optikal, Autofokus Laser TOF
- Swafoto: 40MP(f/2.2)
- Bateri: 5,000mAh (USB Type-C) dengan 25W, Tanpa Wayar 15W, Tanpa Wayar Berbalik 4.5W
- Perisian: One UI 3.1 berasaskan Android 11
Rekaan Berkelas Jauh Berbeza Dari S20 Ultra
Saya secara peribadi bukanlah peminat rekaan S20 Ultra yang boleh dikategorikan sebagai hambar untuk sebuah telefon premium. Ia hanya biasa-biasa sahaja namun menambah rasa kecewa apabila Samsung merasakan mereka patut untuk meletakkan label “100X Space Zoom” yang tak perlu ada pun.
Berita baiknya label tersebut telah dibuang dari Galaxy S21 Ultra. Rekaan modul kamera juga lebih unik. Ia ‘bersambung’ dengan bingkai sisi telefon menjadikan ia sebahagian dari telefon dan bukanlah modul yang tersembul keluar entah dari mana-mana.
Samsung menggelarkan rekaan sebegini sebegini sebagai rekaan kamera Contour Cut. Dari jauh dilihat memang tak ada telefon lain dengan rekaan sebegini. Ketika rekaan ini mula dikeluarkan melalui laporan awal sebelum pelancaran, ia kelihatan pelik dan janggal.
Namun, setelah dilancarkan dan dilihat berhadapan, ia agak cantik dan memberikan rupa unik yang tiada pada telefon lain. Tengok dari jauh pun sudah tahu ini siri dari siri S21. Mungkin sebelum jenama lain cuba meniru lah kot ia akan kekal unik.
Saya mengatakan ‘bersambung’ pada awalnya kerana jika dilihat secara dekat, terdapat jarak di antara sisi dan modul kamera. Namun ia bukan satu perkara buruk cuma pada mulanya saya menyangka modul kamera betul-betul bersambung dengan bingkai sisi telefon.
Modul kamera ini masih lagi tersembul dan agak besar namun rekaan Contour Cut ini sedikit sebanyak mencantikkan penyampaian bonggol kameranya berbanding S20 Ultra sebelum ini.
Jika S20 Ultra menggunakan bahan binaan kaca untuk modul kamera, S21 Ultra menggunakan besi. Lebih dirasakan premium dan yang paling penting lebih kukuh untuk melindungi 4 unit kamera jika terjatuh ke lantai.
Bercakap mengenai ‘terjatuh’, bahagian belakang Galaxy S21 Ultra dilengkapi dengan panel Gorilla Glass Victus, generasi ke-7 pada hadapan dan belakang. Secara teorinya adalah lebih kukuh dan tahan retak jika dijatuhkan, namun memang tidaklah kalau kami nak baling S21 Ultra ini.
Kemasan frosted seumpama satin ini juga lebih menarik. Ia lebih sedap untuk digenggam. Model yang kami terima adalah Phantom Silver yang mana sangat sangat mudah untuk cap jari melekat.
Model Phantom Black adalah lebih sesuai untuk pengguna yang gemarkan pilihan warna hitam klasik dan juga ia kurang mudah memerangkap cap jari.
Berat pada 227g, Galaxy S21 Ultra adalah sebenarnya lebih berat dari S20 Ultra yang hanya 222g. Berat ini juga adalah sama sahaja dengan berat iPhone 12 Pro Max yang mana jika anda sudah biasa dengan telefon bersaiz berat, pasti tiada masalah untuk menggunakannya.
Namun, dengan bantuan kemasan belakang yang tidak selicin kaca gloss, saya berasa lebih yakin untuk menggunakan telefon walaupun tanpa kerangka pelindung kerana pegangan telefon lebih jitu.
Galaxy S21 Ultra merupakan telefon dari siri S yang pertama menyokong aksesori S-Pen. Ia dijual secara berasingan malahan telefon ini juga tiada lubang untuk penyimpanannya.
Kami tidak menerima S-Pen jadi pendapat kami tentang aksesori ini pada S-Pen adalah terbatas. Namun secara kasarnya, menggunakan S-Pen pada S21 Ultra ini tiada bezanya dengan model Note sebelum ini.
Tiada lagi kad microSD pada siri S21 bererti saiz storan hanya bergantung pada storan dalaman sahaja. Sedikit mengecewakan kerana Samsung merupakan pejuang terakhir model Android yang menggunakan ciri ini.
Ia juga bermaksud anda perlu berfikir 2-3 kali ketika mahu membeli S21 Ultra sama ada versi 256GB atau 512GB. Untuk penggunaan jangka masa panjang, sudah tentu storan dalaman lebih besar diperlukan.
Namun untuk pengguna yang bergantung kepada storan awanan, 256GB pun tidak menjadi masalah. Samsung mungkin sudah mengkaji ciri kad microSD dan mendapati tidak ramai pengguna yang menggunakannya.
Secara peribadi kesemua telefon yang saya gunakan hanya bergantung kepada storan dalaman dan tidak menggunakan ciri microSD. Apa-apapun, belasungkawa microSD.
Tiada Lagi Kadar Segar Semula 120Hz Pada Resolusi FHD+ Sahaja
Yes, akhirnya. Tahun lepas Samsung kalah dengan telefon pesaing seperti OnePlus 8 Pro dan OPPO Find X2 Pro kerana mampu untuk menawarkan 120Hz pada resolusi QHD+ tetapi tidak untuk S20 Ultra.
S21 Ultra kini menyelesaikan masalah tersebut di mana pengguna boleh mengaktifkan ciri kadar segar semula 120Hz pada resolusi maksimum QHD+.
Panel yang digunakan adalah jenis LTPO adaptif yang membolehkan skrin disegar semula serendah 10Hz dari 120Hz secara dinamik bergantung kepada aplikasi yang dibuka.
Ini sudah tentu membantu menjimatkan bateri kerana tidak perlu menyegar semula 120Hz pada situasi yang tidak digunakan. Mungkin ini skrin yang terbaik pernah wujud dalam industri telefon pintar.
Saya tidak memilih mod Natural pada tetapan warna kerana padanan mod Vivid dengan AMOLED dari Samsung sangat menghidupkan dan menceriakan kandungan skrin. Ia juga boleh mencapai kecerahan sehingga 1,500 nits yang sudah tentu berguna ketika di bawah cahaya matahari.
Satu pengalaman penggunaan yang bagi saya agak menarik adalah kepantasan pengimbas cap jari. Zon imbasan kini 1.7 kali lebih besar dan proses mengimbas 50% lebih pantas. Jika kebanyakan pengimbas cap jari perlu meletakkan jari lebih dari 1 kali untuk log masuk ke dalam telefon, S21 Ultra pula hanya sekadar 1 tap lembut sahaja.
Tidak perlu ditekan dengan kuat lagi-lagi ketika berada dalam keadaan sejuk yang mana jari biasanya gagal mengimbas.
Samsung juga kekal menggunakan ciri panel ‘rata’ pada siri Galaxy S21 sewaktu mula-mula diperkenalkan pada siri Galaxy S20. Ia tidaklah rata secara teknikal kerana masih menggunakan bentuk kaca 2.5D, namun ia bukanlah melengkung seperti model-model Samsung yang lama dan juga seperti Huawei Mate 40 Pro.
Jika anda mahukan skrin rata sepenuhnya, ia hanya boleh dimiliki pada Galaxy S21 biasa dan S21+.
Antaramuka Dan Perisian
One UI 3.1 pada S21 Ultra banyak memfokuskan kepada animasi dan visual secara keseluruhan. Berbanding One UI 3.0, ia dirasakan lebih ringan, lancar dan responsif. Peningkatan hanya sekadar 0.1 bermaksud ia bukanlah kemaskini dan perubahan drastik namun tetap ada penambahbaikan berbanding sebelumnya.
Buat pertama kalinya Samsung memperkenalkan ciri Google Discovery sebagai pilihan pada skrin Home. Google Discovery lebih intuitif untuk digunakan kerana lebih tepat dari segi pemilihan berita untuk pengguna.
Bixby masih ada pada S21 Ultra, begitu juga Google Assistant. Namun pengguna masih belum boleh mengaktifkan Google Assistant daripada butang kuasa kerana Bixby yang akan keluar. Dari segi pengalaman, Bixby masih tidak sebaik Google Assistant jadi jarang-jarang saya gunakannya.
Pada One UI 3.1, Samsung memperkenalkan pelbagai ciri dalam kamera seperti mod fotografi, penuras, Director’s View dan sebagainya. Pengguna juga kini boleh menambah animasi pada latar belakang ketika menerima panggilan.
Selain dari itu, terdapat pelbagai fungsi dan penawaran perisian jika anda mempunyai masa untuk menggodek One UI 3.1. Ia secara tidak langsung menjadikan S21 Ultra mesin produktiviti yang hebat dengan ciri-ciri seperti DeX, Multi Window, panel Edge, dan sebagainya.
Exynos 2100 Sebuah Cip Mercu, Panas Hanya Pada Satu Tempat
Ujian Geekbench 5 mendapati Exynos 2100 melengkapan ujian dengan skor purata 1058/3363 sedikit di atas Snapdragon 865+ (952/3246) namun masih belum mampu menandingi Apple A14 Bionic (1591/4101).
Pada ujian Antutu pula sebaliknya di mana Exynos 2100 tidak dapat mengalahkan Snapdragon 865+. Perbandingan pada Antutu lebih sukar untuk dibandingkan antara cip ke cip disebabkan skor ukur aras turut terkesan dengan varian memori serta prestasi antaramuka telefon yang berbeza dari telefon ke telefon.
Tolak tepi nombor dan ujian prestasi, dari segi penggunaan dunia sebenar, cip ini terbang tinggi tanpa tersangkut. Ditambah dengan kadar segar semula 120Hz, animasi dan antaramuka dirasakan sangat lancar dan responsif. Tiada masalah yang ditemui namun itu sememangnya apa yang perlu Samsung berikan untuk sebuah telefon super mahal ini.
Unit yang kami terima adalah varian RAM 12GB dan storan 256GB. Model 16GB/512GB sudah tentu akan mempunyai skor Antutu sedikit lebih tinggi serta prestasi keseluruhan lebih memuaskan. Namun model RAM 12GB ini sudah cukup baik dalam memberikan pengalaman penggunaan yang bagus.
Saya mencuba beberapa permainan seperti Asphalt 9, PUBG Mobile, COD Mobile, Mobile Legends, Genshin Impact dan League of Legends: Wild Rift dan mendapati prestasi grafik sangat memuaskan.
Bermain permainan pada sesi berpanjangan juga hanya sedikit suam, tidak menjadi panas. Namun telefon menjadi panas ketika menggunakan kamera pada jangka masa lama. Saya akan mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini pada segmen kamera.
Namun, secara keseluruhan isu prestasi telah banyak diperbaiki pada S21 Ultra. Untuk anda yang ada pandangan skeptikal terhadap prestasi S21 Ultra ini, usah bimbang kerana ia merupakan cip yang cemerlang untuk kegunaan seharian.
Sensor 108MP Lebih Berkuasa, Zum 100X Space Zoom Masih Gimik Tetapi Lebih Seronok
Sebagai sebuah model Ultra, ia perlu mempunyai sesuatu yang lebih hebat untuk membezakan dirinya dengan adik-beradik yang lain.
Namun, meninggikan jumlah MP, menambah lensa tidak semestinya menjamin kualiti gambar atau pengalaman guna yang bagus. Lihat sahajalah S20 Ultra tahun lepas yang mempunyai pelbagai masalah seperti pemfokusan walaupun mempunyai sistem perkakas kamera terbaik dalam sirinya.
Menjadi sebuah model paling mahal, S21 Ultra perlu menjadi lebih baik dari model S21 yang lain dan yang paling penting setaraf dengan pesaing dalam pasaran.
Hasilnya? Mereka berjaya.
Sistem kamera S21 Ultra adalah antara yang terbaik pernah saya gunakan sama taraf dengan Huawei Mate 40 Pro. Ia mempunyai 4 lensa belakang dengan 1 lensa swafoto, tiada darinya hanya sekadar gimik atau pengisi modul kamera.
- Utama: 108MP, OIS, f/1.8, 0.8μm
- Sudut Lebar: 12MP, 120 darjah, f/2.2, 1.4μm
- Telefoto 1: 10MP, 3x Optikal, OIS, f/2.4, 1.22μm
- Telefoto 2: 10MP, 10X Optikal (Periskop), OIS, f/4.9, 1.22μm
- Swafoto: 40MP, f/2.2, 0.7 μm
Terdapat tambahan unit laser autofokus yang membantu menyelesaikan masalah dan isu pemfokusan. Autofokus adalah lebih pantas dan boleh diharap tidak seperti S20 Ultra tahun lepas yang menggunakan sensor 3D TOF.
Lensa utama 108MP ini adalah lensa baharu Samsung HM3 yang boleh merakam sehingga 12 bit warna. Julat dinamik juga lebih bagus berbanding HM1 pada S20 Ultra dan juga lebih cemerlang pada ketika kurang cahaya.
Gambar dari S21 Ultra rata-ratanya mempunyai atribut kecerahan yang tinggi dan warna lebih ke arah neutral. Prestasi HDR yang dipersembahkan sangat baik menyeimbangkan antara highlight dan shadow. Namun begitu, S21 Ultra kadangkala suka mencerahkan bahagian shadow membuatkan kadang-kadang ia terlalu cerah.
Namun jika anda merasakan warna tidak mencukupi dan memerlukan lebih suntikan kepekatan, anda boleh cuba mengaktifkan fungsi Scene Optimizer. Saya nyah-aktifkan fungsi ini kerana warna hijau pokok sangat pekat sehingga dirasakan seperti berada dalam alam fantasi.
Lensa sudut lebar 12MP pada S21 Ultra mempunyai jarak fokus yang sangat dekat menjadikannya sebuah kamera makro. Ini baru betul kamera makro. Bukannya bagi sensor 2MP atau 5MP dan labelkannya sebagai kamera makro.
Gambar pada waktu malam sangat baik dengan kecerahan yang tinggi, walaupun tanpa menggunakan Night Mode. Hingar juga kurang kelihatan disebabkan pasca pemprosesan yang agak agresif.
Sudah bosan dengan mod biasa? Jom bermain dengan kamera zum pula. Samsung memuatkan 2 lensa telefoto yang mana bagi saya kedua-duanya patut ada untuk mewujudkan proses zum dari 1x ke 100x lebih lancar.
Ciri Space Zoom 100x masih adalah lagi yang saya rasa masih gimik disebabkan jika zum sudah lebih dari 30x, sukar untuk individu lain mengecam apakah yang sebenarnya kita tangkap. Tambahan ia memerlukan pencahayaan yang cukup kerana bukaan apertur telefoto hanyalah sekadar f/4.9 sahaja.
Tetapi tahun ini, S21 Ultra ada muslihat baharu untuk menjadikan gimik 100x zum tersebut lebih seronok dengan Zoom Lock. Ia membantu memfokuskan gambar lebih stabil walaupun tangan terketar-ketar dengan lebih mudah.
Bagaimana pula dengan video? Anda boleh merakam sehingga 8k 24fps, namun ia sedikit terpotong. Tambahan, ia memakan terlalu banyak storan sekitar 600MB setiap minit.
Video 4K 60fps sangat baik dengan julat dinamik yang tinggi. Penstabilan juga nampak lebih berkesan dengan kualiti audio yang enak didengar. Ciri Super Steady boleh merakam gambar lebih stabil seumpama gimbal, namun ia hanya mampu merakam setakat 1080p 60fps sahaja.
Cuma terdapat sedikit ‘masalah’ pada penggunaan kamera ini iaitu isu sedikit panas yang dirasakan pada bahagian belakang. Saya perasan ia lebih panas berbanding ketika bermain permainan pada satu-satu tempoh yang lama.
Panasnya masih lagi boleh dipegang cuma mungkin anda akan berasa sedikit tidak selesa disebabkan penggunaan biasa tidak sepanas itu.
Ini mungkin adalah disebabkan kemampuan Exynos 2100 itu tersendiri. Jika anda melihat acara pengenalan cip ini, Samsung mengatakan cip ini mampu merekod data dari 4 lensa sekaligus berbanding 3 di Snapdragon 888.
Kemampuan ini telah dijadikan satu fungsi pada Director’s View yang merekod dari keempat-empat lensa secara serentak (yang mana merupakan fungsi baharu pada S21 Ultra).
Jadi, Samsung mungkin membuka dan memproses data dari keempat-empat lensa belakang pada S21 Ultra ketika mana aplikasi kamera dibuka walaupun hanya satu lensa digunakan.
Perkara ini mungkin dilaksanakan supaya pengalaman menggunakan kamera antara lensa ke lensa lebih lancar dan tidak tersekat-sekat akibat lensa belum bersedia untuk memproses data.
Jadi, semata-mata untuk menjadikan antaramuka dan pengalaman menggunakan sistem kamera S21 Ultra lebih lancar, sedikit pengorbanan dan sedikit ‘panas’ terpaksa dihadapi oleh pengguna.
Namun begitu, sebagai pengguna. saya berharap Samsung akan memperbaiki isu ini kerana ia hanyalah satu-satunya perkara kurang enak ketika menggunakan kameranya.
Bateri? Kapasiti Sama Namun Pengecasan Pantas Lebih Perlahan
Kapasiti 5,000mAh yang sama masih lagi dibekalkan pada S21 Ultra namun sedikit mengecewakan pengecasan pantas telah diturunkan dari 45W (S20 Ultra) kepada hanya 25W sahaja.
Itu belum pula cakap pasal ketiadaan pengecas yang disertakan pada kotak pembelian. Jika anda ada pengecas yang lama, anda bernasib baik. Jika tidak, anda perlu mengeluarkan wang lebihan untuk membelinya pula.
Dengan kelajuan 25W, ia memerlukan pengecasan penuh dari kosong sekitar 1 jam 10minit manakala mengecas pada 30 minit memenuhkannya pada aras 53%. Untuk sebuah bateri berkapasiti 5,000mAh, ia tidaklah perlahan namun sudah tentu tidak setanding dengan pengecasan seperti yang ditawarkan realme, OnePlus, OPPO, Huawei dan lain-lain.
Yang lebih mengejutkan adalah prestasi bateri yang sangat baik. Penggunaan S21 Ultra seringkali mencecah pada hari kedua dengan prestasi standby yang cemerlang.
Ketika PKP ini agak sukar untuk menguji telefon di waktu luar dengan penggunaan GPS, LTE dan sewaktu dengannya. Namun saya cukup berpuas hati dengan prestasi bateri yang mencecah sekitar 8-9 jam screen-on-time (SOT).
Ini juga diuji ketika menggunakan resolusi QHD 120Hz sepenuhnya, jika menurunkan kepada tetapan skrin lebih rendah, sudah tentu jangka hayat bateri akan lebih lama.
Masalah isu prestasi bateri pada S20 Ultra dan Note 20 Ultra nampaknya telah diselesaikan sebaiknya. 5,000mAh kini bukan lagi sekadar spesifikasi atas kertas dan diterjemahkan secara sempurna oleh S21 Ultra.
Selain itu, S21 Ultra juga menyokong pengecasan tanpa wayar 10W dan tanpa wayar berbalik 4.5W. Kelajuan ini adalah lebih perlahan dari Mate 40 Pro dan lebih sesuai digunakan pada sesetengah situasi tertentu sahaja.
Ultra Yang Bukan Sekadar Nama
Apabila telefon pintar dijual pada harga yang agak premium, ia perlu mempunyai justifikasi yang tepat untuk dijual pada harga tersebut.
Galaxy S21 Ultra dipasarkan pada harga bermula RM5,299 untuk storan 256GB dan RM5,899 untuk varian 512GB. Dengan pilihan storan yang diberikan, sudah tentu sukar untuk pengguna memilih versi 256GB kerana agak kecil untuk sebuah telefon yang memfokuskan produktiviti.
Harga ini juga lebih tinggi berbanding S20 Ultra yang dipasarkan bermula pada RM4,999 di Malaysia. Namun, berbanding S20 Ultra tahun lepas, penawaran S21 Ultra adalah lebih lengkap dengan pakej perkakasan dan kepenggunaan lebih sempurna.
Samsung banyak memperbaiki isu S20 Ultra seperti masalah kamera, prestasi penggunaan, isu jangka hayat, dan banyak lagi. Samsung Galaxy S21 Ultra kini betul-betul telefon Ultra, bukan hanya sekadar nama sahaja.
Kelebihan
- Rekaan bahan binaan segar dan premium
- Prestasi cip pemprosesan setanding dengan pesaing
- Sistem kamera dan perkakas yang jitu
- Kualiti dan prestasi gambar sangat baik
- Kini sokong QHD pada 120Hz (tidak seperti model sebelumnya)
- Ketahanan bateri cemerlang
- Kamera makro sebenar tanpa perlu memanggilnya ‘kamera makro’
Kekurangan
- Pembuangan microSD dan pengecas
- Panel belakang panas apabila menggunakan kamera agak lama
- Harga jualan lebih mahal berbanding tahun lepas