(Ulasan) Samsung Galaxy Buds Pro


Fon telinga tanpa wayar dah pun diperkenalkan sejak 5-6 tahun yang lepas. Di awal kewujudan peranti ini, ia dilihat menarik kerana boleh digunakan tanpa sebarang kabel. Tak kisahlah apa jenis peranti sekalipun, kalau tanpa wayar pasti lebih bagus. Tak perlu hadap masalah wayar berselirat.

Kurang bagusnya, dahulu ada macam-macam kekurangan. Kualiti audio, tempoh kuasa bateri yang pendek, kurang selesa dipakai dan lain-lain. Itu lumrah peranti yang keluar awal dimana setakat ini, kita dah lihat penawaran semakin berkembang dan semakin baik.

Cukuplah sekapur sirih setakat ini, dimana sekarang kita nak lihat sejauh mana prestasi dan kualiti yang ada pada fon telinga tanpa wayar Samsung Galaxy Buds Pro.

Sebagai bukan penggguna tegar mahupun peminat fon telinga dari jenis tanpa wayar, saya sudah mencuba Galaxy Buds Pro untuk beberapa hari. Mari ikuti sedikit kupasan ini satu persatu.

Rekaan

Sewaktu Apple mengumumkan Airpods suatu ketika dahulu, ada yang sebut ia tak ubah seperti berus gigi elektrik tergantung di cuping telinga. Selepas itu, Samsung pula dengan rekaan lebih radikal melalui Galaxy Buds Live yang seakan bentuk ginjal.

Tak dilupakan juga jenama 1More, sedikit besar umpama buah tamar yang disumbat ke dalam telinga. Macam-macam lagi bentuk, tapi masih dengan satu fungsi, salurkan audio untuk anda.



Menerusi Galaxy Buds Pro yang diperkenalkan pertengahan Januari lepas, Samsung perlihatkan rekaan yang dicanang-canang lebih ergonomik dan dijanjikan dengan penggunaan yang selesa.



Setiap satu fon telinga ini hanyalah seberat 6.1g dan ia boleh disimpan kemas didalam bekas petak dengan bukaan seperti kotak cincin Sama seperti Buds Live, tetapi kali ini dengan kemasan matte. Bukaan seperti ini memudahkan fon telinga ditarik keluar. Engsel penutup bekas simpanannya pun terasa kukuh, sepadan dengan tanda harga yang premium, RM799.



Tip silikon disediakan dengan dua lagi saiz berbeza didalam kotak bungkusan. Dari kecil, sederhana hinggalah ke besar. Ubah ikut kesesuaian telinga, untuk pastikan keselesaan, dan boleh halang bunyi persekitaran masuk dicelah-celah telinga. Dari segi warna pula, terdapat tiga pilihan iaitu Phantom Violet, Black dan Silver.



Sebahagian dari kita pernah hadapi rasa kurang selesa apabila gunakan fon telinga terlalu lama. Saya juga alami masalah sama pada beberapa cubaan fon telinga terdahulu. Namun sepanjang penggunaan Galaxy Buds Pro ia mudah untuk saya simpulkan, ia selesa.

Saya turut memakai fon telinga ini sewaktu berjoging, dan sepanjang aktiviti sihat itu ia terletak kemas di telinga. Ada sesetengah fon telinga yang kurang kemas rekaannya, baru sahaja disentuh sedikit sudah mula goyang. Tetapi tidak pada model ini. Selain itu terdapat juga pensijilan IPX7, setakat peluh dan terendam air seketika tidak menjadi masalah.



Dalaman Galaxy Buds Pro diisi dengan sebuah woofer 11mm dan 6mm tweeter. Bunyi yang dihasilkan kita akan cerita dibahagian bawah.
Isyarat sentuhan

Ciri paling asas untuk sebuah fon telinga tanpa wayar adalah isyarat secara sentuhan. Sentuh sekali untuk main atau jeda muzik, sentuh dua kali untuk mainkan muzik seterusnya dan jawab/henti panggilan, sentuh tiga kali untuk mainkan muzik sebelumnya.

Satu lagi isyarat sentuhan adalah sentuh dan tahan boleh ditetapkan mengikut kemahuan pengguna. Contohnya anda tetapkan sama ada untuk tukar kawalan bunyi dari ANC kepada bunyi Ambient. Boleh tetapkan pada salah satu fon telinga.



Bermaksud, sebelah tetapkan kawalan bunyi (ANC kepada Ambient) dan sebelah lagi boleh tetapkan arahan suara Google Assistant. Kalau mahu tetapkan kepada pelaras kelantangan bunyi, unit kiri akan menjadi Volume Down, unit kanan untuk Volume Up.

Kapsyen: Bahagian luar dengan kemasan berkilat sementara sebelah dalam matte


Arahan suara Siri dan Google Assistant disokong pada Galaxy Buds Pro. Untuk panggil pembantu ini, tekan dan tahan fon sebelah kanan. Namun ada ketikanya, ia seperti 'keliru' dan apa yang dilakukan adalah mengubah kawalan bunyi dari ANC kepada Ambient, bukan mengaktifkan arahan suara.

Bagi kedua-dua telefon Android dan iOS, saya boleh memanggil Google Assistant dan Siri tanpa masalah. Perkara sebaliknya berlaku pada MacOS, apabila sentuhan dibuat Siri tidak pula muncul.

Isyarat sentuhan pada Galaxy Buds Pro boleh dikatakan sensitif. Hatta sekadar membetulkan kedudukannya ditelinga, audio akan dijeda. Sekiranya anda gemar mendengar lagu ketika berbaring sambil meletakkan tangan di dahi, lengan pasti terkena sedikit pada Galaxy Buds Pro. Ia mengganggu dan lebih elok untuk aktifkan ciri Block Touches melalui aplikasi Wearable.
Ciri yang ada pada Samsung Galaxy Buds Pro

Kalau diingatkan kembali pada Galaxy Buds Live yang berbentuk ginjal dahulu, ia hadir dengan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC). Tetapi ada juga keluhan pengguna yang mana ia tidaklah begitu 'kedap'. Masih terdapat bunyi-bunyian masuk.

Berbeza pula dengan Galaxy Buds Pro kali ini, ANC lebih baik dan sewaktu menulis ulasan ini, saya menerima kemaskini terbaru. Dalam kemaskini tersebut dinyatakan tambah baik kepada ANC, Ambient, dan kestabilan.



Ada juga disebut perubahan pada tingkah laku fon telinga sekiranya dipakai sebelah unit sahaja. Tetapi tidak dijelaskan secara spesifik apa yang berubah.

Berkenaan dengan ANC, kawalan hingar ini boleh diaktifkan dengan cara sentuh dan tahan sementara (bergantung kepada tetapan yang kita sudah sembang atas tadi).

Bagi yang tidak faham bagaimana ANC berfungsi, ia menapis bunyi persekitaran. Rasa lebih 'sunyi' ketika memakainya. Samsung mendakwa, ciptaan mereka kali ini mampu tapis sehingga 99% bunyi luar. Apabila mengaktifkannya tanpa lagu, bunyi pusingan kipas siling masih sayup-sayup kedengaran.



Jika anda pilih ambient, lebih jelas bunyi persekitaran yang akan didengar. Senang kata, ia akan tingkatkan lagi bunyi persekitaran. Terpulang kepada anda untuk memilih mod mana yang lebih sesuai. Mungkin jika berjalan diluar, gunakan Ambient untuk sentiasa peka dengan sekeliling. Bila berseorangan dibilik dan tidak mahu melayan bebelan isteri, aktifkan ANC.

Tetapi menariknya fon telinga ini boleh diubah dari ANC kepada Ambient secara automatik. Bagaimana? Galaxy Buds Pro gunakan ciri Voice Detect untuk kesan suara, tukar mod kepada Ambient dan dalam masa yang sama kelantangan audio akan direndahkan.



Tidak perlu bersusah payah mengangkat tangan untuk menekan butang. Semunya dilakukan secara automatik. Selepas beberapa saat (5-15 saat berdasarkan tetapan) anda berhenti bercakap, ia akan bertukar kembali kepada mod asal.
Tidak lengkap tanpa aplikasi Samsung Wearable

Anda boleh jumpa lebih banyak tetapan pada aplikasi Galaxy Wearable yang tersedia pada Google Play Store. Buat masa sekarang, aplikasi ini hanya menyokong telefon Android sahaja.

Bagi pengguna iOS anda masih boleh menyambung Galaxy Buds Pro pada iPhone, tetapi terhad.  Tiada akses kepada fungsi-fungsi menarik seperti Equaliser, dan tetapan isyarat sentuhan, sekaligus membantutkan pengalaman penggunaan. Mudah kata, jika gunakannya tanpa aplikasi ini ibarat burger daging tiada sayur dan sos. Boleh dimakan tetapi kurang enak.



Antara fungsi lain yang disediakan adalah paparan bateri fon telinga, Find My Earbuds dan Block Touches.

Samsung Galaxy Buds Pro menyokong Bluetooth 5.0 dan tiga codec, SBC, AAC dan Samsung Scalable Codec. Untuk masuk ke mod Bluetooth, anda perlu sentuh kedua-dua fon telinga serentak untuk beberapa ketika sehingga bunyi berulang-ulang.



Saya menguji fon telinga ini melalui telefon Android, iOS dan MacOS. Ketiga-tiganya tidak bermasalah kecuali sokongan aplikasi yang telah disebutkan diatas.
Prestasi dan kualiti

Dipasarkan pada harga RM799 tunai tanpa was-was, sememangnya kita mengharapkan kualiti audio yang terbaik. Seperti yang sudah diterangkan diatas, pengguna Android boleh mengakses Equaliser mengikut halwa telinga masing-masing.

Secara lalai (default) fon telinga ini ditetapkan pada Normal. Saya berpendapat audio sudah cukup enak untuk kebanyakan orang. Namun saya lebih terarah untuk menetapkan Bass boost atau Dynamic untuk muzik kegemaran.



Anda mungkin perasan, lagu yang mempunyai bass berdentam-dentum kebiasaannya menyebabkan vokal sedikit tenggelam. Tetapi vokal dan bunyian instrumen dipisahkan dengan baik sekali pada fon telinga ini. Kedengaran audionya luas dan treble tidak bingit. Terutama sekali ketika melayan Far Beyond The Sun, Lai Lai Hei mahupun Still Got The Blues.

Pengalaman panggilan suara juga memuaskan, dimana suara penerima panggilan jelas. Adakalanya suara pemanggil terasa mendatar dan mungkin ini disebabkan mikrofon yang jauh dari mulut pemanggil.

Sekiranya digunakan untuk bermain aplikasi permainan, delay pastinya ada mengenangkan ini adalah fon telinga tanpa wayar. Mahupun begitu, ia minimum dan tidaklah mengganggu pengalaman ketika bermain serta belum sampai ke tahap untuk dirungutkan.
Berapa lama bateri mampu bertahan?

Kalau lihat pada halaman web Samsung, mereka menyatakan Galaxy Buds Pro mampu bernyawa sehingga 5 jam untuk satu pengecasan penuh. Tambah lagi 13 jam dengan kuasa yang disalurkan dari bekas simpanan.

Kapsyen: Port USB-C untuk pengecasan


Berdasarkan pengalaman penggunaan, ia boleh digunakan sehingga sekitar 4 jam 40 minit dengan ciri ANC yang diaktifkan. Tambah lagi dengan pengecasan dari bekas simpanan, bolehlah saya gunakanya sehingga masuk ke hari kedua tanpa perlu memikirkan dimana letaknya kabel pengecasan.

Beli atau tidak Samsung Galaxy Buds Pro?

Beli sekiranya anda mempunyai bajet RM800 untuk sebuah TWS dengan ANC yang baik (jangan sesekali dibandingkan dengan fon kepala), kualiti audio yang bagus dan sokongan suara.

Saya juga berpendapat bahawa ciri Voice Detect adalah salah satu sebab mengapa saya membuat kesimpulan mudah diatas.



Selain itu, jika anda pentingkan keselesaan pemakaian untuk tempoh panjang, sudah pasti saya syorkan fon telinga ini. Saya langsung tidak mengalami kesakitan pada bahagian dalam telinga untuk waktu penggunaan yang panjang.

Suka diingatkan kembali, KKM sebelum ini pernah menyarankan penggunaan fon telinga terlalu lama mampu mendatangkan masalah terhadap deria pendengaran. Jadi, tanpa ambil peduli berapa jauh tahap selesa sesebuah fon telinga itu, bersederhanalah dalam penggunaannya.



Walaubagaimanapun, jika dibandingkan dengan keluaran terdahulu, bateri mungkin perkara yang perlu diberi pertimbangan. Galaxy Buds Live lebih panjang kuasanya, namun ia tidak pula meletakkan kuasa bateri Galaxy Buds Pro pada tahap yang teruk. Sekurang-kurangnya untuk orang seperti saya lebih banyak gunakannya pada waktu bekerja sahaja.

Ketiadaan sokongan untuk peranti Apple juga sedikit menganggu, terutama sekali sekiranya mahu mengemaskini fon telinga ini.

Adakah saya akan terus menggunakan Samsung Galaxy Buds Pro? Rasanya sudah tiba untuk saya beralih sepenuhnya dari fon telinga berwayar kepada Samsung Galaxy Buds Pro.

 
Beli Samsung Galaxy Buds Pro:
Lazada:
https://invol.co/cl2pst3
Shopee:
https://invol.co/cl2pstk