(Ulasan) Samsung Galaxy A71 - Mampu Pikat Hati Anda

Selepas melancarkan A70s pada beberapa bulan lepas, Samsung kini tampil sekali lagi mengemaskini penawaran siri Galaxy A tersebut dengan A51 dan A71. Untuk ulasan kali ini, kita akan melihat lebih dekat kepada penawaran Galaxy A71.



Secara jujurnya, kami menyukai model ini dan nampak kemana siri A ini dihalakan. Jika barisan siri Galaxy S dan Note lebih terarah kepada golongan profesional dan mahukan peranti premium, siri Galaxy A pula nampak lebih sesuai disasarkan kepada kelompok pengguna muda. Ia mungkin ramuan yang bakal menjadikan Samsung pergi lebih jauh untuk awal 2020 ini.

Kebiasaannya golongan muda mencari sebuah peranti yang mempunyai memori yang besar, skrin yang baik, kapasiti bateri besar, kamera yang cantik serta harga mampu milik. Kesemuan aspek-aspek yang disebutkan ini ada pada Galaxy A71.

Kita mulakan spesifikasi Galaxy A71 dengan panel hadapan. Peranti ini tampil dilengkapkan dengan skrin paparan Super AMOLED 6.7 inci beresolusi FHD+. Paparannya agak memanjang dengan nisbah 20:9. Selesa diakses untuk pengguna yang bertangan besar dan bagi yang bertangan kecil mungkin memerlukan penggunaan dua tangan.



Dibahagian tengahnya terdapat rekaan Infinity O yang menempatkan kamera selfie. Bezel mengelilinginya nipis dan tiada keluhan untuk paparan Super AMOLED ini. Hasilnya terbaik.



Menyusur ke bahagian dalaman pula, Galaxy A71 ini dikuasakan dengan cip Snapdragon 730 tambah baik daripada Galaxy A70s yang hanya hadir dengan Snapdragon 675. Cip tersebut digandingkan bersama pasangan memori RAM 6GB dan storan 128GB.



Melapisi sistem operasi Android 10 yang digunakan adalah antaramuka OneUI 2.0. Berbanding versi yang pertama, OneUI 2.0 menampilkan ikon lebih kurang sama seperti versi terdahulu tetapi ditambah baik untuk penggunaan satu tangan. Contohnya seperti fungsi edge panel dan navigasi yang baik serta animasi yang kelihatan lebih lancar.

Menerusi penggunaan Snapdragon 730, pergerakan dalam antaramuka serta aplikasi berjalan licin tanpa sebarang masalah. Bagi aktiviti permainan pula, kebanyakkan aplikasi boleh dimainkan pada tetapan pertengahan dan tertinggi.



Berdasarkan pengalaman kami, walaupun bermain aplikasi permainan dalam jangka waktu yang lama, peranti tidak memanas dan sangat baik. Ditambah pula dengan kapasiti bateri 4500mAh, Galaxy A71 ini mampu bertahan sepanjang hari. Tetapi sudah pasti bergantung kepada cara penggunaan. Berita baik buat penggemar fon telinga berwayar, Samsung masih mengekalkan bicu audio 3.5mm.

Ke bahagian kamera pula, Samsung Galaxy A71 didatangkan dengan penggunaan kamera utama 64MP (f/1.8), 12MP ultra lebar (f/2.2), 5MP makro (f/2.4) dan 5MP depth (f/2.2). Rekaan Infinity-O yang terdapat pada paparan hadapan pula menempatkan kamera selfie 32MP (f/2.2). Kamera talaan hadapan ini juga berfungsi mengimbas wajah untuk nyahkunci skrin. Imbasannya tepat tetapi sedikit lambat.



Berbalik pada hasil kuad kamera belakang, secara keseluruhannya gambar daripada lensa 64MP cantik dengan warna natural, perincian yang cukup, serta jula dinamik yang seimbang. Bagi kamera ultra lebar, gambar kelihatan sedikit gelap tetapi mampu mengekalkan ketajaman imej. Herotan pada penghujung gambar juga berjaya dikurangkan.

Ke bahagian potret, bantuan lensa depth dan penggunaan live focus, subjek dan latarbelakang dapat dipisahkan dengan baik. Keluhan diberikan pada kamera makro yang seakan gimik. Rakaman jarak dekat boleh dibuat dengan jayanya tetapi hasil kurang tajam dan dipenuhi hingar walaupun pada kawasan yang cukup cahaya.

Rakaman waktu malam kita bahagikan pada dua senario. Apabila kawasan gelap dengan sedikit cahaya, rakaman melalui fungsi Night Mode memberikan gambar yang cantik. Namun pada kawasan yang gelap keseluruhannya, imej tidak memuaskan hati. Kamera selfie menghidangkan rakaman yang sedap mata memandang. Imej yang cukup perincian serta jelas. Bagi perkongsian Instagram Story, hasilnya baik jika dibandingkan dengan peranti Android yang lain.

Rakaman video pula, tetapan tertinggi yang boleh digunakan adalah pada UHD 30fps tetapi video kurang stabil. Untuk lebih penstabilan, anda boleh rakam pada tetapan FullHD dan sekiranya mahu lebih stabil boleh gunakan mod Super Steady. Aplikasi kameranya menyediakan ciri lain seperti AR, pilihan mod Pro, Hyperlapse dan lain-lain. Bagi prestasi keseluruhan kamera, kami gambarkan sebagai bukan terbaik tetapi just nice.

Imbas kembali apa yang sudah diceritakan diatas, Galaxy A71 cemerlang pada bahagian skrin paparan, prestasi dalaman dan kameranya.



Tetapi ia bukanlah peranti yang sempurna kerana kekurangan pada rekaan luar contohnya. Panel belakang plastik, bingkai plastik dan kalau di ambil kira dari segi ketahanan, ia kurang disitu. Pilihan warnanya boleh dikatakan menarik tetapi ia masih plastik dan terdedah dengan kemungkinan untuk mudah calar.

Modul kameranya juga agak tersembul dan anda boleh bayangkan ketika meletakknya diatas permukaan rata. Satu lagi keluhan adalah pada ciri imbasan cap jari.



Imbasan dapat dibuat dengan tepat tetapi mengambil sedikit masa untuk menyahkunci skrin paparan. Tidak dilupakan pada fungsi audio peranti ini. Ia menyampaikan bunyi yang lantang tetapi bila didengar telinga, seperti ada kurang umpphhh.

Harga jualan yang ditetapkan pada peranti ini adalah RM1799 dan adakah ia sebuah telefon pintar yang bagus? Ya ia cemerlang pada bahagian yang sepatutnya, dimana pengguna muda akan rasa tertarik pada model ini.

https://www.youtube.com/watch?v=8vAgQtUilQw

Tetapi berdasarkan harga jualannya, kemungkinan pengguna muda yang membelinya adalah peminat tegar Samsung ataupun yang tidak mempunyai masalah kewangan. Namun sekiranya anda bersedia untuk melaburkan nilai tersebut, tiada masalah kerana Galaxy A71 sebuah peranti yang boleh harap dan menawarkan prestasi yang baik untuk tahun 2020 ini.