(Ulasan) Samsung Galaxy A50 – Penguasa Baharu Kelas Pertengahan

Reading Time: 4 minutes

Nampaknya, tahun 2019 akan menjadi tahun yang sengit untuk persaingan antara pengeluar di kelas pertengahan. Jika sebelum ini majoriti pesaing hebat dalam kelas itu hadir dari pengeluar daripada China, kini Samsung pula dilihat mula mengorak langkah dalam kategori berkenaan.

Mereka mula agresif dalam membangunkan siri-siri baru dalam barisan peranti kelas pertengahan mereka. Jika sebelum ini siri Galaxy J boleh dikatakan sebagai siri utama kelas pertengahan Samsung, kini siri tersebut telah pun digantikan dengan Galaxy A.

Pada 18 Mac yang lalu, Samsung Malaysia telah pun membawa masuk secara rasmi dua model dibawah siri berkenaan, iaitu Galaxy A30 dan Galaxy A50.

Sehubungan dengan itu, saya diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan Galaxy A50 dan ini adalah pandangan saya mengenai peranti berkenaan.

SuperAMOLED Pada Sebuah Peranti Pertengahan

Galaxy A50 ini dibina hasil gabungan plastik dan kaca atau digelar “glass-tic” oleh pihak Samsung. Ia memang kelihatan cantik, namun terlalu mudah dikotori oleh kesan cap jari.

Semasa ingin mengambil gambar peranti, saya terpaksa mengelap panel belakangnya dengan lebih kerap berbanding model-model lain. Namun, apabila ia disimbahi cahaya, bahagian belakang panel ini nampak cantik dengan bingkainya yang berkilauan.

Kamera utama tiga lensa peranti ini telah dipasang di sebelah kiri panel belakang. Apa yang menarik pada kamera utama peranti ini ialah dua daripada lensanya dikelilingi oleh gegelung yang membuatkannya nampak lebih menonjol.

Beralih ke bahagian depan, Galaxy A50 hadir dengan skrin SuperAMOLED 6.4-inci FHD+ dengan rekaan takuk kecil atau Infinity-U.

Tambahan pula, kamera hadapan 25MP pada model ini juga dihiasi dengan gegelung bercahaya yang akan

Menggunakan skrin jenis SuperAMOLED pada sebuah peranti kelas pertengahan dengan harga mampu milik(RM1,199) jelas menunjukkan Samsung benar-benar serius kali ini.

Di bawah skrin ini jugalah terletaknya sensor imbasan cap jari bagi menyahkunci peranti ini. Cuma satu perkataan yang sesuai untuk prestasinya – perlahan.

Sisi bawah peranti ini pula menjadi “tempat kediaman” bagi bicu audio 3.5mm, pembesar suara serta port pengecasan USB Type-C manakala butang kawalan bunyi dan butang kuasa pula terletak di sisi sebelah kanan.

Dulang kad SIM serta kad mikroSD pula dipasang di sebelah kiri peranti dan ia mempunyai slot khusus untuk kegunaan mikroSD sehingga 512GB. Ini bermakna pengguna dapat menggunakan dua kad SIM dan satu kad mikroSD dalam masa yang sama.

Sedikit mengecewakan apabila peranti ini tidak mempunyai LED untuk notifikasi yang diterima.

One UI Tanpa Banyak Aplikasi Bloatware

Berbeza dengan satu lagi siri kelas pertengahan iaitu Galaxy M, Samsung telah membekalkan Galaxy A50 ini dengan antaramuka One UI dari dalam kotak.

Seperti yang saya pernah katakan, One UI ini adalah antara sistem operasi yang paling ringkas dan mudah digunakan.

Jumlah aplikasi bloatware yang ada pada peranti ini juga adalah sangat minimal. Pembantu pintar Bixby yang digunakan pula sekadar memuaskan.

Pengguna juga boleh mengubahsuai tetapan mengikut citarasa sendiri seperti penggunaan bar navigasi atau gestures.

Exynos 9610 Beraksi Tanpa Masalah 

Samsung Galaxy A50 ini dikuasakan dengan cip pemprosesan Exynos 9610 lapan-teras serta unit pemprosesan grafik Mali-G72 MP3.

Secara keseluruhan, peranti dapat beraksi dengan baik tanpa sebarang masalah, baik dari segi penggunaan biasa mahupun bermain permainan video.

Bagaimanapun, kita tidak boleh mengharapkan peranti ini bermain permainan video selancar cip kelas perdana.

Walaupun PUBG Mobile meletakkan tetapan High bagi grafik di peringkat awal permainan, saya merasakan permainan ini agak lag sekaligus menyebab saya menurunkan tetapan kepada yang lebih rendah.

Dari segi suhu peranti pula, Galaxy A50 ini berasa sedikit panas selepas bermain permainan video secara berterusan selama satu jam. Namun, panasnya tidaklah terlampau teruk hingga memberi rasa tidak selesa pada tapak tangan.

Antara Kamera Terbaik Dalam Kelasnya

Samsung menyediakan tetapan kamera yang berkualiti untuk sebuah peranti kelas pertengahan pada Samsung Galaxy A50 kali ini.

Kamera utamanya dilengkapi dengan tetapan tri-lensa 25MP f/1.7 + 8MP f/2.2 + 5MP f/2.2 manakala lensa 25MP f/2.0 pula menghiasi kamera hadapan peranti.

Berikut adalah sampel gambar yang dihasilkan oleh peranti ini:

Pada pengcahayaan yang baik, kualiti gambar yang dihasilkan juga adalah sangat memuaskan.

Tangkapan gambar pada waktu kurang cahaya pula agak sederhana, namun tidaklah teruk.

Manakala kualiti hasil swafoto pada peranti ini adalah baik dan memuaskan.

Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa kamera Samsung Galaxy A50 ini sebagai baik.

Bateri Yang Tidak Mengecewakan

Didatangkan dengan bateri berkapasiti 4000mAh, daya tahan bateri peranti ini mencapai tahap yang diharapkan.

 

Bermain permainan video secara berterusan selama 1 jam 30 minit telah menyebabkan pengurangan bateri kepada 79%.

Bagi penggunaan harian pula, sudah semestinya peranti ini mampu bertahan sehingga satu hari tanpa sebarang kesukaran.

Untuk tempoh pengecasan pula, 32% kuasa dapat dibekalkan selepas 30 minit pengecasan manakala pengecasan penuh pula mengambil masa selama lebih kurang 1 jam 49 minit.

Samsung Sudah Mula Berubah

Model Galaxy A50 ini membuktikan bahawa syarikat dari Korea Selatan ini sudah mula berubah.

Mereka menawarkan pelbagai ciri dan fungsi menarik pada peranti ini walaupun ia dipasarkan dengan harga hanya RM1,199.

Dengan skrin jenis SuperAMOLED yang memaparkan kualiti imej yang cantik serta kamera yang agak baik ditambah pula dengan bateri yang mampu bertahan lama, ia adalah nilai yang berbaloi.

Samsung Galaxy A50
  • Rekaan Bentuk
  • Sistem Operasi
  • Prestasi Dalaman
  • Kualiti Kamera
  • Daya Tahan Bateri
4.1

Keseluruhan

Yeahhh !!

  • Harga berbaloi
  • Skrin SuperAMOLED dengan harga yang murah
  • Kamera terbaik dalam kelasnya

 

Euwww

  • Kesan cap jari mudah melekat pada panel belakang
  • Tiada LED untuk notifikasi