(Ulasan) RedmiBook 15 - Komputer Riba Bajet Ala Kadar

Xiaomi Malaysia akhirnya telah membawa masuk komputer riba pertama RedmiBook 15 untuk pasaran tempatan.

Penulis telah berkesempatan menggunakan komputer riba pertama Redmi ini untuk tempoh beberapa minggu lamanya.

Dari aspek spesifikasi, RedmiBook 15 ditawarkan dengan 2 pilihan cip pemprosesan iaitu Intel Core Gen-11 i3 dan i5, 8GB RAM, storan 256 atau 512GB serta skrin bersaiz 15.6 inci.



Ia juga dilengkapi dengan 2x sambungan USB-3, 1x HDMI 1.4, 1x sambungan fon kepala, pembaca kad (menyokong kad SD3.0), 1x sambungan LAN dan pengunci Kensington.

Juga tidak lupa pengecas kuasanya yang menggunakan sambungan DC-IN.

Suatu yang boleh penulis katakan sebagai tindakan terbelakang untuk komputer riba Redmi ini di mana kebanyakkan model-model komputer riba moden kini sudah pun beralih kepada sambungan USB-C.


Prestasi


Dari segi prestasi, Redmi ini yang dikuasakan oleh cip Intel Core i3 ini adalah sebuah komputer riba berprestasi rendah.

Begitu rendah yang hanya sesuai digunakan untuk melaksanakan tugas-tugas ringan seperti melayari internet, menaip dan menonton video.

Skrinnya yang bersaiz 15.6 inci, memang puas layan Netflix di sini.

Malah baterinya juga tahan lama dan tiada masalah untuk anda melakukan pelbagai tugas walaupun tanpa penyambung kuasa.

Setakat yang penulis uji, bateri RedmiBook 15 ini mampu bertahan sehingga lebih 6 jam (bergantung kepada jenis aktiviti).

Kapsyen: RedmiBook 15 turut dilengkapi kamera HD 720p untuk aktiviti seperti panggilan video.

Isu


Secara khususnya, penulis berdepan 3 isu sepanjang menggunakan komputer riba Redmi ini.

Isu pertama adalah komputer riba ini tiada lampu terbina untuk papan kekunci (backlit) bagi membolehkan ia digunakan dalam keadaan gelap atau kurang pencahayaannya.

Jadi, menaip dalam suasana gelap memang tidak sesuai sama sekali untuk komputer riba ini.

Kapsyen: Papan kekunci RedmiBook 15 selesa digunakan. Cuma sayang tiada backlit.


Isu kedua pula adalah prestasi komputer riba di mana kadang-kadang penulis berdepan dengan aplikasi tergantung sementara.

Sebagai contoh, ketika melayari internet, berlaku isu aplikasi pelayar internet Microsoft Edge yang tergantung tiba-tiba.

Walaupun hanya untuk tempoh singkat, tetapi ia merencatkan keseronokan penulis ketika melayari internet.

Isu ketiga pula adalah sensitiviti touch padĀ komputer riba ini.

Walaupun bersaiz besar, tetapi ia menjengkelkan kerana kerap kali penulis terpaksa menekan beberapa kali seperti untuk membuat pilihan semua (select all), seret dan pilih dan lain-lain.

Jadi, menggunakan tetikus bersama komputer riba Redmi ini adalah lebih baik.

Kesimpulan


Daripada pengalaman penulis sepanjang tempoh mengguna komputer riba RedmiBook 15 ini, apa yang boleh disimpulkan adalah ia sebuah komputer riba bajet ala kadar.

Sebagai sebuah mesin yang hanya berharga RM1,899.00, ia merupakan antara komputer riba termurah (bawah RM2,000.00) yang ditawarkan dalam pasaran ketika ini.



RedmiBook 15 bukan untuk anda yang mahukan sebuah komputer berprestasi dan premium.

Ia sesuai untuk anda yang mahukan sebuah komputer riba mesra poket tetapi masih berupaya melancarkan aktiviti harian maya anda.

Tetapi, sekiranya anda mahukan sedikit kuasa dan ada bajet lebih, anda bolehlah membeli model RedmiBook 15 yang dikuasakan oleh Intel Core i5.

https://youtu.be/fpDjMdGGZkc

Beli Shopee RedmiBook 15 di :

Shopee - https://invle.co/clcebhh

Lazada : https://invle.co/clctmio

Berkaitan