(Ulasan) Redmi Note 13 Pro+ 5G - Telefon Pertengahan Dengan Ciri 'Flagship'

Pada tahun lalu, siri Redmi Note 12 telah dilancarkan dan selang setahun sahaja siri Redmi Note 13 telah dilancarkan Xiaomi dalam acara pelancaran untuk pasaran global dan Malaysia di Bangkok, Thailand.

Seperti mana model-model sebelumnya, nama untuk model yang paling berkuasa memang sangat panjang dan boleh terbelit lidah untuk menyebutnya.

Untuk pengetahuan anda, selain daripada model Pro+ 5G, Xiaomi turut memperkenalkan 3 model lain untuk siri Redmi Note 13 iaitu Redmi Note 13, Redmi Note 13 5G dan Redmi Note 13 Pro 5G.



Redmi Note 13 Pro+ 5G ini didatangkan dengan kamera utama 200MP dengan OIS. Kami sudah mencuba kamera peranti ini di Bangkok dan kami cukup berpuas hati dengan hasil gambar dan prestasi yang ditampilkan.

Bagi mereka yang minat dengan fotografi jalanan, peranti ini memang sesuai untuk dimiliki oleh anda kerana hasil gambar daripada telefon ini tidak akan mengecewakan penggunanya.

Spesifikasi


CPU - MediaTek Dimensity 7200-Ultra

GPU - Mali-G610

Skrin - 6.67", CrystalRes AMOLED display, HDR10+ (2712 x 1220), 120Hz

Memori - 8GB/12GB LPDDR5

Storan - 256GB/512GB UFS3.1

Kamera Utama - 200MP utama OIS, 8MP ultra lebar, 2MP makro

Kamera Hadapan - 16MP

Bateri - 5000mAh, 120W HyperCharge berwayar

Lain-lain - Android 14, MIUI 14


Kamera


Hasil gambar daripada kamera utama memang agak menarik. Tambahan pula, elemen warna dan objek dalam gambar agak tepat. Selain itu, kamera peranti ini turut menawarkan zum 2x dan 4x.



Untuk kamera swafoto pula, gambar yang dihasilkan agak memuaskan. Sesuai juga untuk mereka yang suka berswafoto. Hasil gambar pada waktu malam pula, sekiranya anda menggunakan mod malam, gambar akan menjadi lebih jelas, lebih cantik dan lebih baik berbanding menggunakan mod biasa.



Namun, ada satu perkara yang kurang, iaitu mod ultra lebar. Jika anda menggunakan mod ini pada waktu malam, kejituan gambar yang dihasilkan agak lari sedikit.



Hal ini kerana, ketika saya cuba mengambil gambar, silau daripada cahaya yang dikesan pada kamera peranti ini memang terlalu ketara sekali gus akan menjadikan hasil gambar nampak teruk.

Terdapat satu perkara yang kami perasan pada kamera peranti ini, iaitu kamera peranti ini terlalu bersungguh-sungguh untuk berikan hasil gambar yang cantik sehingga tona kulit dan ketepatan warna agak lari sedikit daripada warna asal.

Walau bagaimanapun secara keseluruhan, kami agak berpuas hati dengan prestasi kamera yang ditawarkan pada peranti ini dan ia antara peranti kelas pertengahan yang mampu menawarkan prestasi kamera terbaik dalam kelasnya buat masa sekarang.

Prestasi


Dari segi prestasi pula, anda tidak perlu risau kerana dari segi perkakasan, peranti ini menggunakan cip daripada MediaTek, iaitu Dimensity 7200-Ultra, memori RAM LPPDR5 serta storan UFS 3.1.

Untuk pengetahuan anda, spesifikasi yang digunakan pada peranti ini adalah sama dengan yang digunakan pada peranti kelas andalan tahun 2022. Jadi anda tidak perlu risau walaupun telefon ini berada pada kelas pertengahan tetapi ia cukup berkuasa untuk melakukan kerja-kerja suntingan, bermain game, tonton video mahupun rakam video dalam jangka masa yang lama.



Selain itu, Redmi Note 13 Pro+ 5G turut hadir dengan pengecasan pantas 120W HyperCharge yang Xiaomi tawarkan. Teknologi pengecasan pantas yang ditawarkan merupakan antara yang terbaik dalam pasaran telefon pintar selain OPPO.

Walaupun peranti ini merupakan kelas pertengahan, namun kapasiti bateri yang ditawarkan adalah 5000mAh. Memang cukup tahan lama ditambah lagi dengan pengecasan pantas yang mengambil masa cas penuh kurang daripada 20 minit sahaja.

Jadi, dengan prestasi bateri dan pengecasan yang ditawarkan pastinya dapat mengurangkan isu bateri anxiety kepada anda di luar sana.

Skrin


Jika anda menggunakan telefon, salah satu penggunaan yang kerap kita lakukan adalah menonton video melalui platform penstriman seperti Youtube dan Netflix. Peranti ini memang sangat sesuai untuk tujuan tersebut.

Hal ini kerana, skrin yang digunakan adalah jenis AMOLED melengkung dengan kadar segar semula 120Hz. Resolusi adalah 1.5k dengan bezel yang nipis dan perkara paling menarik adalah skrin peranti ini dilindungi oleh Corning Gorilla Glass Victus.

Buat pengetahuan anda, Corning Gorilla Glass Victus ini digunakan pada peranti kelas andalan sahaja. Akan tetapi, anda boleh dapatkannya pada peranti ini walaupun ia bukan kelas andalan.



 

Selain itu, telefon ini turut mempunyai ciri kalis air dan debu IP68. Peranti ini juga turut menyokong ciri dolby vision dan dolby atmos. Jadi, untuk menonton platform penstriman memang anda akan mendapat pengalaman yang menggiurkan.

Terdapat juga ciri lain seperti IR blaster, NFC dan mempunyai akses 5G. Xiaomi turut memberikan selongsong TPU bukan selongsong silikon seperti yang diberikan pada peranti kelas pertengahan yang lain.

Akhir sekali, Xiaomi turut memberikan pada peranti ini 3 tahun kemas kini Android dan 4 tahun sekuriti yang mana menjadikan telefon ini masih relevan pada 3 tahun akan datang semasa anda membelinya.

Kesimpulan


Pada pendapat kami, Redmi Note 13 Pro+ 5G sememangnya telefon berkelas pertengahan terbaik pada awal tahun 2024. Dengan spesifikasi yang cukup berkuasa dan prestasi kamera yang memang kompetitif dalam kelasnya.

Baterinya yang tahan lama, pengecasan yang pantas, skrin yang memang cukup cantik dan setanding dengan kelas andalan. Terdapat juga ciri kelas andalan lain seperti IP68, dilindungi oleh Corning Gorilla Glass Victus serta menawarkan sokongan kemas kini sehingga 4 tahun walaupun kami mengharapkan peranti ini menjalankan HyperOS.

Beli Redmi Note 13 Pro+ 5G di Shopee - https://invl.io/clkm0se

https://youtu.be/dlrlR6mgvpA?si=-3RWdfUbrLtWxklU

{suggest}