Bagi seseorang yang selalu menggunakan peranti Android tiba-tiba bertukar menggunakan iPhone, apakah pandangan pengguna terhadap peranti tersebut? Adakah ia lebih bagus ataupun menyusahkan?
Sebelum kita cerita dengan lebih mendalam, mari kita lihat spesifikasi iPhone 13 ini terlebih dahulu. Jika bercakap tentang spesifikasi iPhone, jarang orang akan peduli atau ambil tahu secara mendalam tentang spesifikasi.
Spesifikasi dan rekaan
iPhone 13 ini menggunakan cip terbaru dari Apple iaitu A15 Bionic, paparan 6.1 inci Super Retina XDR OLED, memori 4GB dengan storan 128Gb, 256Gb atau 512GB.
Rekaan pula, iPhone 13 ini menggunakan kaca dari dengan perlindungan seramik (ceramic). Jadi, ketahanan kaca pada peranti ini memang lebih tahan dari model sebelumnya. Bingkainya juga diperbuat daripada aluminium yang membuatkan rekaan iPhone 13 ini menjadi lebih solid bila dipegang.
Pengalaman kali pertama beralih dari Android ke iPhone
Ketika mula-mula berpindah menggunakan iPhone 13 ini, perkara pertama yang penulis perasan ialah kadar segar semula. Bagi pengguna Android, kadar segar semula yang tinggi biasa digunakan pada peranti android sekurang-kurangnya 90Hz tetapi bagi iPhone 13 ini hanya berbekalkan 60Hz sahaja.
Jadi bagi sesiapa yang biasa menggunakan paparan dengan segar semula yang tinggi, akan terasa janggal dengan paparan segar semula yang rendah. Walaupun dengan kadar segar semula 60Hz, animasi iPhone ini masih lancar.
Perkara pertama kita buat bila tukar telefon mestilah kita perlu muat turun aplikasi yang kita biasa guna, betul? Jadi sebelum kita guna App Store, kita perlu cipta akaun iCloud terlebih dahulu.
Proses buat akaun iCloud ini senang sahaja tetapi bila hendak muat turun aplikasi di App Store, kita perlu mengimbas muka untuk teruskan muat turun. Mungkin ia merupakan sistem keselamatan yang disediakan oleh Apple tetapi bagi pengguna Android sebelum ini, perkara ini agak melecehkan.
Bagi aplikasi WhatsApp, untuk memindahkan data dari Android ke iPhone memang akan jadi masalah kerana WhatsApp tidak menyokong pemindahan data dari Sistem Operasi (OS) yang berbeza. Jadi anda perlu gunakan aplikasi pihak ketiga. Walaupun begitu, pemindahan data yang dilakukan tidak merangkumi semua perbualan dari aplikasi WhatsApp, hanya separuh sahaja.
Dari segi antara muka (UI) pula, disebabkan sudah banyak telefon Android yang sudah mula menggunakan UI seakan-akan iPhone, jadi UI yang terdapat pada iPhone 13 ini juga mudah untuk digunakan.
Memandangkan siri iPhone kini tiada Touch ID dan digantikan dengan Face ID, proses untuk nyahkunci peranti ini amat laju dan lancar. Tetapi masalah yang berlaku apabila Face ID tidak dapat mengimbas muka pengguna ketika memakai pelitup muka. Perkara ini agak melecehkan kerana pengguna perlu membuka pelitup muka setiap kali hendak nyahkunci iPhone mereka tidak seperti pengguna Android yang hanya perlu mengimbas cap jari.
Satu lagi masalah yang penulis perasan adalah pada sensitiviti paparan. Sensitiviti paparan pada iPhone 13 agak kurang apabila menggunakan aplikasi media sosial atau bermain permainan video kerana ada masanya bila peranti ini tidak mengesan imput sentuh yang diberikan. Buat masa ini, penulis masih lagi tidak mengetahui puncanya adalah daripada pepijat (bug) perisian iPhone ataupun daripada aplikasi yang digunakan.
Kamera lebih kurang Samsung Galaxy S21 Ultra
Beralih kepada kamera pula, Apple memang terkenal dengan keupayaan kamera siri iPhone mereka. iPhone 13 ini menggunakan sistem 2 kamera iaitu 12MP f/1.6 kamera utama dan 12MP f/2.4 kamera ulta lebar. Bagi kamera hadapan pula ia menggunakan 12MP f/2.2.
Gambar yang dihasilkan iPhone 13 ini tidak banyak beza jika dibandingkan dengan peranti andalan Android yang lain. Jika dibandingkan dengan gambar dari Samsung Galaxy S21 Ultra, gambar dari S21 Ultra lebih vibran. iPhone 13 ini tidak menyokong telefoto kerana fungsi telefoto hanya terpadat pada versi Pro sahaja.
Begitu juga dengan kamera swafoto, gambar yang dihasilkan kelihatan natural.
Yang menariknya adalah pada rakaman video. iPhone 13 mampu merakam video pada resolusi 4k dengan 60FPS dengan kamera utama serta kamera hadapan. Fungsi Cinematic Mode juga merupakan satu fungsi baharu yang diberikan kepada siri iPhone 13. Walaupun cinematic mode ini sudah lama terdapat pada peranti Android, tetapi iPhone membawa fitur ini kepada peringkat yang seterusnya (next level) dimana mod ini lebih mudah digunakan dan dapat mengesan objek selain manusia. Malangnya, mod ini hanya mampu merakam sehingga 30FPS sahaja.
Tiada masalah main game
Untuk prestasi iPhone 13, seperti yang dikatakan pada awal-awal tadi, peranti ini menggunakan cipset A15 Bionic yang setanding dengan cip andalan Android seperti Snapdragon 888. Jadi untuk main game seperti Mobile Legend, PUBG, Genshin Impact dengan high setting memang tiada masalah walaupun hanya mempunyai memori 4GB sahaja.
Bila dah sebut tentang game, mesti kita juga akan risau tentang ketahanan bateri peranti ini. iPhone 13 menggunakan bateri berkapasiti 3240mAh. Walaupun terasa kecil, tetapi dengan penggunaan bateri pada siri peranti ini dapat dioptimumkan dengan cipset A15 Bionic yang mampu bertahan sehingga sehari penggunaan.
Kesimpulannya, adakah menyusahkan bila pengguna Android bertukar ke iPhone? Jawapannya, ya tetapi ia lebih kepada penggunaan awal sahaja. Bila sudah mengadaptasi penggunaan iPhone ini, ia sama sahaja dengan peranti andalan yang lain.